Monopoli Touch ‘n Go bakal berakhir?

oleh HEZERI SAMSURI|
Dominasi unggul Touch ‘n Go di persada pembayaran tanpa tunai mungkin akan berakhir tidak lama lagi apabila agensi kerajaan, syarikat perkhidmatan pengangkutan awam dan konsesi lebuhraya di Malaysia kini sedang serius mempertimbangkan untuk menawarkan beberapa pendatang baru bayaran elektronik tanpa sentuh sebagai pembayaran tambang pengangkutan awam, parkir dan tol lebuhraya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Difahamkan bahawa Prasarana Malaysia Berhad, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang memperhalusi permohonan dari WeChat Pay, Boost, GrabPay, vcash, Paypass, MyDebit, payWave dan lain-lain penyedia tanpa tunai sebagai antara pelbagai pilihan pembayaran tanpa sentuh untuk tambang pengangkutan awam atau tol lebuhraya.

Careta.my dimaklumkan bahawa salah satu penyedia pembayaran digital terbesar di dunia iaitu WeChat Pay telah pun berbincang secara mendalam dengan Prasarana, SPAD dan Kementerian Pengangkutan untuk membenarkan penyedia dompet elektronik (e-wallet) yang berasal dari China itu sebagai alternatif selain daripada Touch ‘n Go untuk sektor pengangkutan awam.

 

 

Semalam, akhbar tempatan melaporkan bahawa pengguna WeChat boleh menggunakan aplikasi itu untuk digandingkan bersama dengan akaun dari bank-bank tempatan bermula Jun. Syarikat di belakang WeChat Pay iaitu Tencent sudah mendapat lesen pembayaran elektronik dari Bank Negara pada November lalu.

Jika ini menjadi kenyataan kelak, orang ramai hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk imbasan Kod QR (Quick Response atau Balas Pantas) ketika mahu membayar tambang LRT, MRT, Monorel atau bas RapidKL sebagaimana ratusan juta transaksi oleh pengguna pengangkutan awam yang telah berlaku di negara China.

 

 

“Kami berharap dengan kerajaan baru ini akan dapat menolong membuka pasaran e-wallet dan beri peluang kepada pemain baru untuk pembayaran digital,” kata seorang pengurus pemasaran vcash.
Pada September tahun lepas, kerajaan terdahulu telah mengumumkan bahawa Touch ‘n Go telah dipilih sebagai satu-satunya penyedia pembayaran digital seiring dengan Sistem ICPS (Integrated Common Payment System atau Sistem Pembayaran Tanpa Tunai Bersepadu) yang dijangka mula beroperasi awal 2019.

Sumber kerajaan telah memaklumkan bahawa Sistem ICPS yang sedang dibangunkan oleh SPAD akan mampu menampung penggunaan QR Code oleh mana-mana penawar perkhidmatan e-wallet termasuk oleh Boost, VCash, WeChat Pay atau GrabPay. Difahamkan juga, SPAD pada mulanya mahukan mekanisma NFC sebagai penambahan kepada ciri Kod QR.

 

 

Seperti yang telah dilaporkan oleh Careta.my pada bulan lalu, Plus Malaysia Berhad telah menyatakan hasrat kepada kerajaan sejak suku ketiga 2017 untuk memperkenalkan Paypass, MyDebit dan Visa paywave sebagai pilihan tambahan selain daripada Touch ‘n Go untuk rangkaian lebuhrayanya di seluruh Semenanjung.

Menurut sumber dari Kementerian Pengangkutan, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 juta edaran kad Touch ‘n Go di Malaysia dengan hampir 92 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi Touch ‘n Go adalah untuk pembayaran tol di kesemua 31 lebuhraya seluruh negara.

“Manakala, jumlah pengguna aktif untuk membayar tambang pengangkutan awam adalah hampir 650,000 pengguna dan penggunaan berterusan untuk sektor ini adalah sekitar lima peratus dari keseluruhan penggunaan kad Touch ‘n Go,” ujar pegawai kanan itu.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Rawi, masalah utama Smart Lane ialah ramai pengguna yang tidak tahu laluan kecemasan di…
Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Berita Domestik
MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan…