Model ikonik Dino 246 GT untuk dibida, harga mungkin lebih RM1.9 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Dino 246 GT
Dino 246 GT
Tahukah anda? Ferrari mempunyai jenama kereta berasingan iaitu Dino dan dinamakan oleh Enzo Ferrari sempena anak lelaki beliau.

Sejarah awal jenama itu bermula dengan kereta lumba Dino 156 F2 dan berlanjutan sehingga beberapa model jalanan termasuk Dino 246 GT.

Direka Pininfarina, Dino tampil cantik dengan lenggokan menawan dan garisan badan yang kemas. 

Dino 246 GT dan GTS dikeluarkan dari 1969 sehingga 1974 dan walaupun berpuluh tahun, tarikan dan keanggunannya masih kekal.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Dino 246 GT

 

Contoh boleh dilihat pada Dino 246 GT 1971 yang menjalani 12 tahun proses baik pulih dan dibuka untuk bidaan oleh Car & Classic di United Kingdom (UK).

Sebelum dibaik pulih, kereta ini berada di dalam keadaan yang teruk. Segala perkakasan ditanggalkan dan panel kereta dibaiki dan diganti.

Kerangka kereta dibersihkan dengan bagas pasir untuk mendapatkan permukaan asas yang sempurna bagi kerja baik pulih.

Kerja sebegini tidak mudah dan perkakasan asli yang tidak diperolehi diganti dengan perkakasan keluaran semula seperti rim Superperformance, stereng dan balutan kalis kusam.

 

Dino 246 GT

 

Satu perkara menarik ialah logo Ferrari ditampal di belakang kereta.

Baik pulih semestinya merangkumi enjin 2,418cc V6 DOHC dan barisan enjin V6 terawal Ferrari yang kini bersambung dengan 296 GTB.

Enjin itu hanya perlu menggerakkan jisim 1,080 kilogram dan berupaya memecut dari 0 sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.5 saat dengan kelajuan maksimum 238 km/j.

Angka tersebut memintas pesaing iaitu Porsche 911S. Selepas dibaik pulih, unit ini hanya dipandu sejauh 1,770 kilometer. 

 

Dino 246 GT

 

Kereta ini juga dibekalkan pelbagai dokumen sepanjang usia lebih lima dekad seperti invois pembelian asal dan perincian lima pemilik terdahulu.

Unit ini sudah disahkan dan disenaraikan di dalam Dino Compendium yang memperincikan sejarah model.

Menurut penyelidikan Hagerty UK, nilai Dino 246 kekal stabil untuk beberapa tahun sehingga 2021 apabila harga purata jualannya menghampiri Ferrari Daytona.

Bidaan Dino 246 GT berlangsung dari 13 sehingga 20 Disember dengan jangkaan harga di antara 330,000 pound (RM1,942,738) sehingga 360,000 pound (RM2,119,351).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Dino 246 GT