Mitsubishi L200 (Triton) Barbarian SVP II tampil dengan gaya ranggi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kebelakangan ini Mitsubishi di negara kita aktif mengeluarkan pelbagai edisi untuk model laku keras mereka. Di antara model yang mempunyai pelbagai varian ialah Triton. Satu lagi perkara menarik tentang Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ialah mereka tidak lagi mengeluarkan kereta penumpang seperti Lancer, Atrage dan Mirage.

Model-model dalam porfolio mereka sekarang ini ialah tinggi-tinggi belaka seperti ASX, Outback dan Triton.

Di antara tiga model tersebut, Triton paling meriah dengan pelbagai varian dari jenis standard 4x2 sehingga dipenuhi kelengkapan dan aksesori seperti Triton Athlete.

Trend naik taraf Triton bukan sahaja dilakukan oleh MMM tetapi juga Mitsubishi Motors UK. 
Mitsubishi L200 Barbarian SVP II

 

MMUK baru sahaja mengumumkan varian istimewa Mitsubishi L200 (Triton) Barbarian SVP II. Varian istimewa ini adalah yang kedua dikeluarkan oleh bahagian Special Vehicle Projects (SVP). Bunyinya sama pula dengan MSO atau McLaren Special Operations.

Mitsubishi L200 Barbarian SVP II sebenarnya dibina selepas kejayaan varian SVP I sebelum ini. Sama seperti SVP I, varian terbaru ini mengekalkan konsep dua tona warna dan penampilan yang menonjol pada bahagian luaran dan dalaman.

Berikut ialah ciri-ciri istimewa pada Mitsubishi L200 Barbarian SVP II:

  • Hanya 250 unit akan dihasilkan
  • Separuh daripadanya dalam warna pearlescent Diamond Black dan separuh lagi dalam warna metallic Atlantic Grey
  • Warna oren digunakan bagi menimbulkan imej kontra
  • Roda aluminium 17 inci berwarna hitam dan oren
  • Tayar AT BF Goodrich
  • Arka roda lebih besar
  • Gril dan rel bumbung SVP berwarna hitam dan oren
  • Warna oren turut dikenakan pada gegelung lampu kabus, pelindung lampu depan dan belakang, pembuka pintu kargo
  • Pemijak sisi dengan bentuk sirip ikan yu
  • Ruang kargo dengan lampu pencahayaan
  • Pintu kargo dengan bantuan spring
  • Kerusi balutan kulit six pack dengan riasan oren
  • Nombor siri SVP disulam pada perehat kepala

 

Mitsubishi L200 Barbarian SVP II

 

Selain kelengkapan di atas, L200 Barbarian SVP II dilengkapi peralatan standard seperti Mitsubishi Smartphone Link Display Audio (SDA), sensor hujan dan gelap, operasi tanpa kunci, Bluetooth, lampu Bi-Xenon dengan DRL LED, kawalan jelajah dan kamera undur.

L200 Barbarian SVP II dikuasakan oleh enjin aluminium 2.4-liter turbodiesel dengan sistem Super Select 4WD. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau lima kelajuan automatik yang boleh dianjak menggunakan pedal penukar gear di stereng.

Mitsubishi L200 Barbarian SVP II dipasarkan pada harga GBP 29,830 (termasuk VAT) atau RM 163,928. Harga pikap di Eropah lebih tinggi berbanding ASEAN kerana polisi percukaian.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

banner articles