Pada September MINI Cooper Electric diperkenal dan seperti namanya adalah sebuah kenderaan elektrik (EV).
MINI turut memperkenalkan Countryman dan menariknya mempunyai dua nadi iaitu enjin pembakaran dalaman dan elektrik.
Turut menjadi amalan MINI ialah menawarkan versi berprestasi John Cooper Works (JCW) dan telah pun dipenuhi melalui JCW Countryman pada November.
Bagaimana pula dengan MINI Cooper JCW? Bagaimana MINI menala kuasa elektrik bagi memenuhi nama JCW?
Nampaknya MINI mengambil pendekatan berbeza dengan memperkenalkan Mini Cooper SE John Cooper Works Trim.
Model itu asalnya sebuah MINI Cooper Electric yang dipakaikan perkakasan JCW atau turut dipanggil MINI Cooper Electric dengan Sport trim.
Sebagai sebuah Trim, MINI Cooper ini kekal dengan 218 kuasa kuda (hp) dan tork 330Nm. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 6.7 saat.
MINI membekalkannya dengan bateri 54.2 kilowatt-jam (kWj) dan boleh dipandu sehingga 402 km (WLTP.
Menggunakan nama Sport juga bermakna model ini membawa identiti sukan permotoran dan sejarah kejayaan MINI di dalam perlumbaan.
Dari depan boleh dilihat bampar yang lebih menonjol dengan peresap dan logo JCW pada panel jeriji selain grafik hitam merah pada tukup.
Bahagian sisi diserlahkan dengan rim 18 inci sepuluh bilah dan cermin sisi warna merah cili yang disepadan bersama bumbung. Skirt sisi juga berbeza daripada model biasa.
Bampar belakang lebih menyerlah dengan peresap yang bersegi dan menampakkan kelebaran sebuah kereta kompak.
Turut menyerlah ialah spoiler yang memanjang ke belakang. Satu perkara menjimatkan tentang EV ialah tiada ekzos yang perlu ditukar!
Bahagian dalam kereta membawa tema hitam dan merah. Kerusi dibalut kulit sintetik dengan jahitan merah dan sulaman pelbagai warna pada bahu.
Turut menyerlah papan pemuka dengan corak kibaran bendera JCW.
Skrin OLED yang menonjol mempunyai diameter 240 milimeter (mm) dan memaparkan pelbagai maklumat seperti navigasi, media, telefon dan tetapan penyaman udara.
Melalui MINI Experience Modes, pemandu boleh menikmati pelbagai suasana termasuk mod GO-KART yang diinspirasi dari JCW.
Mod itu menukar skrin dan lampu dalaman kepada warna Anthracite Red. Selain bunyi khas GO-KART, pemandu juga boleh merasakan tindak balas pendikit yang lebih sporti.
Tanpa ekzos pun tidak mengapa kerana kereta ini mengeluarkan bunyian istimewa agar tidak membosankan dan sepadan dengan nama yang dibawa.
Tesla yang tidak mempunyai bunyi pun tetap digemari kerana prestasinya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin