Mercedes-Benz Sprinter 2018 Hadir Dengan Lakaran Mempesona

oleh Muhammad Md Tajudin|

Beberapa bulan sebelum ini, Mercedes-Benz telah melancarkan pikap sederhana pertama X-Class yang dibina berasaskan platform Nissan Navara. Pelbagai reaksi yang diterima dan jika diperhatikan dalam media sosial, pengguna kurang menggemarinya.

Di antara alasan yang biasa dibaca ialah X-Class terlalu ringkas untuk sebuah jenama premium seperti Mercedes-Benz.

Di rantau sebelah sini, Mercedes-Benz sememangnya diposisikan sebagai jenama premium total berbeza dengan beberapa pasaran utama lain seperti Eropah, Amerika Utara dan Amerika Latin.

Di pasaran tersebut, pengeluar Jerman itu bukan sahaja giat memasarkan kenderaan premium tetapi juga kenderaan komersil melalui divisyen Mercedes-Benz Vans. Bahagian ini memasarkan kenderaan komersil seperti Sprinter dan Metris.

Ia sama sahaja dengan satu ketika dahulu apabila BMW (Bas Mini Wilayah) dan Merc 911 (Lori balak) begitu banyak di atas jalan raya tempatan.

Kini setelah dua generasi dipasarkan, Mercedes-Benz Vans mendedahkan Sprinter 2018 sempena Pameran Kenderaan Komersil Amerika Utara (NACV) di Atlanta pada 25 hingga 28 September.

Apa yang menarik tentang Sprinter baharu ialah bagaimana reka bentuk hadapannya menyamai reka bentuk hadapan kereta dan SUV Mercedes-Benz terkini.

Mercedes-Benz memang sengaja menggunakan tema gayaan sama supaya kenderaan mereka tampil dengan reka bentuk konsisten.

Mercedes-Benz Sprinter pertama kali diperkenalkan pada tahun 1995. Van komersil ini menerima sambutan menggalakkan dengan jualan sudah pun melebihi 3.3 juta unit di lebih 130 buah negara.

Sprinter merupakan salah satu kenderaan komersil yang paling berjaya dan merupakan produk paling laris dalam barisan kenderaan Mercedes-Benz Vans. Jualan pada tahun ini menunjukkan trend menggalakkan.

Pada setengah tahun pertama 2017, jualan Sprinter meningkat kepada 96,200 unit berbanding 95,100 dalam tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, Mercedes-Benz memilih AS untuk mendedahkan Sprinter memandangkan negara itu adalah di antara pasaran dengan pertumbuhan paling pesat untuk segmen van. Selepas Jerman, AS adalah pasaran kedua terbesar bagi jualan individu untuk van besar seperti Sprinter.

Mercedes-Benz Vans juga merancang untuk mengeluarkan model ini di kilang baharu Sprinter yang terletak di North Charleston, AS. Sebelum ini Sprinter diimport dari Jerman dan dipasang secara separa terurai (SKD) di North Charleston bagi mengelak kadar cukai tinggi. 

Satu lagi perkara menarik ialah selain memiliki Mercedes-Benz Vans, Daimler menguasai lebih dari 40 peratus pegangan pasaran dalam segmen kenderaan komersil di AS yang membolehkannya berada di kedudukan nombor satu. Jenama lain di bawah Daimler ialah Freightliner, FUSO dan Western Star.

Merceds-Benz Sprinter akan mula dilancarkan di Eropah pada setengah tahun pertama 2018 sebelum diikuti oleh beberapa pasaran lain. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tiada perubahan teknikal yang dapat Careta lihat dari risalah PDF yang diberikan, cuma tambahan…
Pelancaran
Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model terbaharu iaitu Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ sebentar…
Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal akan jenama kereta berbentuk bintang ini sememangnya lahir di zaman batu…