Selain kemewahan dan keselesaan, kereta GT juga membawa maksud pemandu dan penumpang mempunyai ruang selesa untuk membawa bagasi atau muatan.
Untuk Mclaren GT, ruang depan mempunyai kapasiti 150 liter dan 420 liter di belakang.
Dari segi kitaran hayat produk, GT masih baharu selepas dikeluarkan pada 2019 dan McLaren membuat keputusan untuk menggantikannya dengan model baharu iaitu GTS.
Nama baharu namun GTS lebih kepada GT yang dipertingkat dengan penambahan kuasa, penyejukan dan beberapa lagi perubahan.
Bahagian depan nampak sama tetapi mempunyai bukaan lebih lebar untuk mengalirkan lebih banyak udara kepada sistem radiator.
Skup udara dapra belakang lebih tinggi dan seperti di depan berfungsi untuk kemasukan lebih banyak udara kepada enjin.
GTS kekal digerakkan enjin sama iaitu M840TE 4.0 liter V8 turbo berkembar namun 15 ps lebih berkuasa atau 635 ps pada 7,500 rpm.
Pertambahan kuasa disumbang oleh peningkatan tujahan aci engkol hasil daripada pemfasaan kebuk lebih agresif dan pemasaan pencucuhan baharu.
Menggunakan fungsi kawalan pelancaran yang merupakan ciri asas, GTS boleh memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.2 saat.
Pecutan dari 0 sehingga 200 km/j pula dalam masa 8.9 saat atau 0.1 saat lebih cepat daripada GT dan boleh dipandu sehingga 326 km/j.
Berat GTS juga lebih ringan iaitu 1,520 kilogram (kg) atau 10 kg berkurang daripada GT.
Enjin V8 dipadan bersama kotak gear tujuh kelajuan SSG dan beroperasi dengan lancar dan tangkas dalam mod Comfort.
Untuk lebih agresif, pemandu boleh memilih mod Sport atau Track melalui Active Dynamics Panel.
Jika tidak mahu kotak gear dikawal komputer, pemandu boleh menukar sendiri melalui pedal pada stereng.
Sistem stereng GTS memberi bantuan secara automatik pada kelajuan rendah untuk pengendalian yang mudah seperti meletak kereta secara selari.
Menghentikan kereta ialah angkup enam omboh dan cakera brek 390 milimeter (mm) di depan dan empat angkup dan cakera 380 mm di belakang.
Angkup aluminium dan cakera karbon seramik itu berupaya menghentikan kereta dari 100 km/j dalam jarak 32 meter.
Turut membantu dalam mengurangkan berat ialah peredam hidraulik injap berkembar yang dibekalkan Monroe dan dipadan bersama perkakasan ampaian double wishbone aluminium.
Melalui teknologi Proactive Damper Control McLaren, sistem ampaian membuat penyesuaian mengikut mod Comfort, Sport dan Track.
GTS menggunakan casis monokok MonoCell II-T yang dibuat daripada gentian karbon. Bumbung dibuat daripada gentian karbon kitar semula.
Pemilihan itu jawapan kepada sebuah kereta super yang ringan tanpa mengurangkan mutu pemanduan atau bunyian, kekasaran dan gegaran tidak perlu.
Sebagai kereta GT, GTS mempunyai ruang pandang depan yang bagus termasuk cermin belakang besar dan cermin sukuan yang membantu pandangan belakang.
Jarak kelegaan bumi 110 mm boleh dinaikkan kepada 130 mm melalui fungsi angkatan kenderaan.
Bahagian depan GTS boleh dinaikkan dan diturunkan hanya dalam empat saat atau lebih dua kali ganda berbanding sistem GT.
Pada bahagian dalam, kerusi Comfort dibalut kulit Nappa dan pembeli diberikan dua lagi pilihan dalaman iaitu Performance dan TechLux.
Pakej Performance lebih kepada sporti manakala TechLux pula menggunakan skema keanggunan klasik dan moden.
Pemandu diberi skrin digital 10.25 inci dan skrin tengah berukuran tujuh inci dengan pemproses 10 core untuk operasi yang responsif.
Keluar dari kilang, GTS dipasang rim aloi tempa sepuluh bilah berkembar dalam warna Silver, Gloss Black atau Gloss Black Diamond Cut dan pilhan khas Tungsten.
Rim 8J dan 10.5J dipadan bersama tayar Pirelli P ZERO di depan 225/35/R20 dan di belakang 295/30/R21.
Untuk warna badan, McLaren menawarkan baharu seperti Mantis Green, Tanzanite Blue, Ice White dan pilihan khusus Lava Grey.
Berikut pilihan aksesori GTS yang ditawarkan McLaren:
- Set ekzos sport
- Logo GTS dalam kemasan hitam - Stealth Badge Pack
- Perkakasan karbon terdedah - pemisah depan, bilah saluran udara, pelindung cermin sisi, skirt sisi, bahagian bawah bampar belakang dan peresap dan saluran udara dapra belakang
- Rim aloi tempa Turbine dalam warna Silver, Gloss Black, Gloss Black dengan kesan Diamond Cut dan Orum
- Bolt pengunci rim titanium - 35% lebih ringan daripada bolt asal
- Pakej dalaman Performance atau TechLux
- Sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 12 pembesar suara, wufer sub-bass gentian karbon, unit mid-range Kevlar
- Panel stereng, pedal gear dan perkakasan dalaman dengan kemasan karbon satin
- Lampu suasana enam warna
- Bumbung panoramik dengan panel elektrokromik
Penulis: Muhammad Md Tajudin