MBI gerakkan jentera ke misi bantuan pasca banjir

oleh Hamimah Hamid|
MAJLIS Bandaraya Ipoh ( MBI) menghantar lapan jentera dalam misi bantuan pasca banjir di Mersing, Johor.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, lapan jentera berat itu ialah empat lori, satu shovel, dua pacuan empat roda dan satu lori tangki
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, misi bantuan banjir bencana kali kelima ke negeri lain itu turut melibatkan 47 anggota MBI.

"Dalam tempoh setahun, ini adalah bantuan bencana banjir buat kali kelima MBI. 

" Sebelum ini kita dah hantar selain misi bantuan ke Bentong, Pahang; Kuala Langat, Selangor; Baling, Kedah dan Bidor," katanya.

Datuk Rumaizi berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir MBI ke Mersing, Johor di perkarangan MBI. 

Ujar beliau, pembabitan MBI dalam misi bantuan tersebut adalah atas dasar semangat setiakawan sesama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Antara 19 bandar raya dalam negara, sebagai sebuah bandaraya atau PBT terbesar dalam negara ini kita mengambil tanggungjawab sosial sekiranya ada permintaan daripada mana-mana PBT yang lebih kecil untuk dibantu.

"Mersing meminta bantuan, difahamkan kawasan itu kritikal sekarang, jadi menjadi tanggungjawab sosial kita untuk membantu," katanya. 

Datuk Rumaizi berkata, MBI juga bersedia sekiranya terdapat mana-mana PBT lain di Johor memerlukan bantuan. 

Beliau berkata, pasukan pertama yang dihantar ke lokasi ini akan membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

"Pasukan akan mencuci dan mengutip sampah dan sebagainya, mungkin selepas ini kita akan hantar kumpulan kedua.

"Pasukan pertama kita hantar dalam tempoh seminggu, pasukan yang kedua juga nanti dalam seminggu," katanya.