Senang kata, saiz yang kecil bukanlah penghalang malah ia digunakan sebagai satu kelebihan. Lihatlah teknologi enjin SKYACTIV, pada masa pengeluar lain sibuk dengan pengecas turbo, Mazda masih setia dengan enjin aspirasi normal dan terus menambah baik apa yang ada.
Gayaan Mazda juga berbeza, jika pengeluar lain memberi perhatian kepada praktikaliti, saiz yang besar dan sebagainya, Mazda kekal dengan ukuran kecil seolah-olah kerusi di belakang hanya berfungsi sebagai wayang sahaja.
Tetapi itulah yang membuat Mazda istimewa. Mereka bukan lagi salinan sebuah Ford.
Pada Pameran Kenderaan Tokyo ke-45 yang sedang berlangsung sekarang, Mazda mempertontonkan KAI CONCEPT iaitu sebuah hatchback yang memberikan bayangan generasi baharu kenderaan Mazda.
Dari laporan media-media di internet, KAI CONCEPT ini berkemungkinan memberi bayangan kepada Mazda3 baharu.
Menurut siaran rasmi Mazda, KAI CONCEPT ini menggunakan teknologi baharu seperti enjin petrol SKYACTIV-X dan evolusi seterusnya gaya bahasa KODO yang lebih matang.
Mazda turut menyatakan bahawa model baharu itu nanti mempunyai lebih perincian di mana ia lebih senyap, selesa dan rasa prestasi yang dipertingkatkan. Dari segi rekaan, KAI CONCEPT tampil dengan gayaan bersendi, perkadaran (proportion) yang teguh dan bahagian sisi yang beralun.
Bahagian dalaman pula adalah tipikal sebuah Mazda dan kali ini ia begitu ringkas dan ajaibnya tanpa paparan skrin tablet yang walaupun popular dalam kereta masa kini tetapi menggangu garisan berterusan papan pemuka.
Pameran KAI CONCEPT di Tokyo ini tepat pada masanya kerana walaupun Mazda3 terasa seperti baru lagi dilancarkan tetapi sudah pun empat tahun berada di pasaran. Mengikut kitaran produk biasa, sesebuah model akan digantikan sepenuhnya apabila ia genap lima tahun di pasaran.
Penulis: Muhammad Md Tajudin