Malaysia selepas BN - apa akan jadi pada industri automotif negara?

oleh HEZERI SAMSURI|
Akhirnya rakyat sudah bersuara dan terbukti suara mereka tidak mampu ditenggelamkan oleh jutaan poster dan papan iklan atau video-video mahal dari selebriti tempatan.
Merdeka Bonanza

 

Malah, suara rakyat juga terbukti lebih kuat dari kehendak istana sendiri, membuktikan Malaysia benar-benar merdeka.

Umum mengetahui bahawa Perdana Menteri ketujuh negara, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bapa automotif negara dan beliau mempunyai pelbagai agenda untuk industri tersebut, terutamanya untuk Proton.

Di sini kita senaraikan apa yang mungkin berlaku dalam industri automotif negara.

 

 

Cukai kenderaan

Ini ialah antara manifesto kerajaan baharu dan ramai yang mahu melihat harga kenderaan turun kerana mereka juga mahu membeli kereta-kereta sport dan trak-trak dari Amerika.
Kami di Careta juga ingin melihat apa yang boleh dilakukan kerana implikasi dan impaknya cukup besar. 
Antara jenis cukai yang wujud ialah cukai jualan, cukai untuk kenderaan di bawah AFTA, cukai kenderaan CBU, cukai kenderaan CKD dan juga cukai berdasarkan genre kenderaan adalah antara yang wujud. 
Adakah ia mampu diturunkan? Jika boleh, Careta harap cukai kenderaan diturunkan mengikut faktor-faktor ini:

  • Mesra alam
    • Kenderaan yang paling efisen perlu diberi insentif
  • Kenderaan mesra keluarga
    • Kenderaan dengan tujuh atau lebih tempat duduk dan alatan keselamatan yang baik perlu direndahkan cukai agar ia membantu keluarga-keluarga membeli kenderaan yang lebih sesuai untuk mereka. Zaman enam sekeluarga duduk di dalam Axia atau Viva harus ditamatkan segera.
  • Kenderaan mewah
    • Kenderaan mewah perlu dikenakan cukai tambahan, selaras dengan apa yang dilakukan oleh negara-negara jiran, negara-negara Eropah dan di US.
    • Cukai dari jualan kenderaan mewah boleh dijadikan subsidi untuk menaik-taraf sistem keselamatan jalanraya atau dijadikan subsidi untuk penurunan cukai kenderaan mesra alam yang mampu milik.
  • Keselamatan
    • Kenderaan dengan kadar keselamatan yang tinggi perlu diberikan insentif agar standard keselamatan kenderaan ditingkatkan dengan kadar segera.

 

 

Cukai jalan

Cukai jalan yang wujud sekarang adalah berdasarkan kapasiti enjin.
Walaupun secara dasar ia berkesan tetapi ia perlu diubah dan cukai perlu berdasarkan pencemaran yang dilakukan dan juga tahap kondisi kenderaan.
Namun begitu, cukai jalan tahunan sebenarnya ialah satu cara lama dan kebanyakan negara sudah tidak ada lagi cukai jalan tahunan.

* Gambar dari laman web Elita.my

 

 

Dasar permit import atau AP

Sekarang ini, kerajaan mengawal kemasukan kenderaan import dengan penggunaan AP.
Ini sebenarnya digunakan sejak zaman Tun Mahathir lagi dan permit ini diberikan kepada bumiputra terpilih agar mereka menjadi pemangkin kepada industri automotif.
Walaupun kebanyakannya senyap sunyi dan lebih suka menjual kenderaan import terpakai (reconditioned), ada yang benar-benar menggunakan peluang itu untuk membangunkan industri tempatan.
Careta percaya AP akan terus wujud kerana perlu ada kawalan dan pelabur di dalam negara juga perlu dilindungi tetapi kepada siapa ia diberikan akan menjadi satu persoalan.
Kita semua tahu siapa yang paling pandai dalam bab penjualan dan siapa paling mahir dalam bab Ali Baba.

 

 

Kempen panggil semula

Kerajaan harus meletakan Akta Recall dan mewajibkan syarikat kenderaan melaporkan secara rasmi kempen panggil semula yang wujud, jumlah kenderaan yang terbabit, usaha yang dilakukan untuk memastikan pemilik datang untuk servis itu dan sebagainya.
Selama ini, amat menghairankan kerana ada kempen panggil semula yang wajib dan serius dilakukan oleh negara jiran tetapi di Malaysia, pihak agensi berwajib cuma mampu melihat ke langit dan bersiul riang.
Keselamatan pengguna perlu diutamakan. Zaman KPDNKK menjaga hanya harga beras dan gula perlu dihentikan kerana kementerian itu perlu menjaga hak pengguna secara menyeluruh, bukannya menjaga kepentingan Menteri sahaja.

 

 

Hak pengguna dan Akta Lemon

Hak pengguna dalam bidang automotif sebenarnya sangat terhad. 
Sekarang ini, hanya ada Tribunal Pengguna yang mampu membantu, tetapi untuk tuntutan tidak lebih dari RM25,000 sahaja.
Ini sedikit merungsingkan kerana harga transmisi sahaja sudah lebih dari itu. 
Kes-kes transmisi atau komponen lain rosak berkali-kali memang terjadi dan tidak adil jika kita tahu ia akan rosak sekali lagi selepas waranti tamat. 
Di negara maju, Akta Lemon atau Lemon Law diwujudkan kerana industri dan kerajaan di sana mengaku wujudnya kenderaan yang senantiasa rosak tanpa tahu puncanya dan tanpa ada jalan penyelesaiannya.
Tidak adil untuk pembeli terpaksa membaiki kenderaan selama-lamanya.
Pihak kerajaan perlu merangka dasar yang lebih menjaga kepentingan pengguna kerana tidak ada gunanya kita memandu kenderaan dengan teknologi paling baharu sedangkan hak pengguna masih menggunakan akta yang direka pada zaman seterika menggunakan arang batu.

 

 

Fungsi JPJ perlu diubah dari pembuat wang kepada pengawas yang serius

Fungsi JPJ perlu diselaraskan kembali kerana sekarang ini, JPJ lebih aktif dalam perniagaan.
Umum diketahui bahawa sistem plet negeri sudah tidak digunakan kerana sesiapa sahaja boleh membeli mana-mana plet di dalam negara. Plet R contohnya bukan digunakan oleh kenderaan dari Perlis langsung dan sebagainya.
JPJ juga mejual rekod-rekod pemilikan kenderaan dan penjualan kenderaan, sehinggakan media tidak dapat membuat laporan kajian trend penjualan kenderaan kerana rekod yang wujud tidak dikongsi secara umum.
Careta sangat berharap agar fungsi JPJ dirombak agar mereka lebih menjaga kepentingan industri dan pengguna jalanraya.
Pegawai-pegawai tinggi JPJ juga diharapkan agar lebih arif dengan perkembangan automotif dunia dan bersedia untuk mengubah akta bagi membolehkan teknologi automotif baharu masuk dengan lebih mudah.

 

 

Pendidikan 

Pendidikan keselamatan lalulintas patut diterapkan seawal dari Tadika lagi. 
Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan perlu memasukan kurikulum keselamatan jalanraya seawal darjah satu.
Ini ialah teras kepada keselamatan jalanraya dan ia perlu dilakukan dengan serius, bukan sebagai satu "knee-jerk reaction" yang hilang setiap kali menteri bertukar.

 

 

Dasar Automotif Negara lebih proaktif dan lengkap

Polisi-polisi yang diwujudkan perlu lebih mendalam dan boleh dicapai dalam masa jangkamasa pendek dan juga panjang.
Ini perlu agar rakyat mampu melihat pencapaian dalam masa terdekat, dan perancangan jangka masa panjang membantu syarikat asing membuat pelaburan di dalam negara.
Dengan kadar penjualan domestik yang terhad, Malaysia perlu menjadi lebih "attractive" atau menarik bagi syarikat automotif dunia melabur dan menjadikan Malaysia sebuah hab automotif sebenar - bukan hanya untuk melakukan operasi CKD bagi jualan domestik dengan harapan ia "akan" dieksport.
Konsep TIV atau Total Industry Volume yang hanya mengira jumlah jualan kenderaan perlu diubah dan tidak dijadikan KPI sebenar.
Negara perlu melihat ke arah TPV atau Total Production Volume, iaitu jumlah penghasilan kenderaan di dalam negara.
Thailand contohnya, mempunyai kadar TIV yang lebih rendah dari TPV kerana Thailand banyak mengeksport kenderaan yang dipasang di sana ke seluruh negara.
Dasar automotif juga perlu lebih tegas akan pilihan tenaga yang akan digunakan oleh negara - elektrik, hidrogen atau sebagainya dan ia perlu selari dengan kemajuan prasarana.
Contohnya jika kita mahu lebih kenderaan elektrik atau EV, kementerian lain perlu duduk dan berbincang akan tarif elektrik yang bakal ditukar agar lebih mesra EV.
Dalam erti kata lain, Malaysia perlu mengubah dasar Jaguh Kampung kepada dasar Jaguh Dunia.

 

 

Syarikat kenderaan nasional

Sebenarnya, kerajaan telah pun mengubah insentif-insentif kepada yang lebih global.
Jika dahulu syarikat kenderaan nasional mendapat insentif berdasarkan status mereka, kerajaan telah mengubah dan memberikan insentif berdasarkan pelaburan yang dibuat di dalam negara.
Ini bermakna jika Honda atau Toyota melabur dengan lebih banyak di dalam negara, mereka akan mendapat insentif yang lebih besar.
Cara ini sebenarnya lebih baik kerana syarikat automotif nasional akan terus bergerak maju untuk memastikan mereka tidak ketinggalan kerana mereka tidak akan hanya mengharapkan geran atau insentif percuma.
Adakah cara ini akan diteruskan atau adakah syarikat kenderaan bukan nasional bakal menerima cukai lebih tinggi bagi melindungi syarikat tempatan? 

 

 

Insuran kenderaan

Insuran kenderaan untuk Malaysia memang sudah dalam proses perubahan.
Namun begitu, Bank Negara masih mahu mengurangkan impak perubahan tersebut dan Careta menyokong hasrat Bank Negara.
Namun begitu, pendidikan rakyat perlu dipergiatkan lagi agar pengguna bersedia untuk kadar insuran kenderaan yang lebih progresif dan bebas.

 

 

Harga bahan api

Percaya atau tidak, harga bahan api Malaysia masih terendah di wilayah Asia Tenggara, kecuali Brunei.
Tindakan populis ialah menurunkan harga dengan memberikan subsidi.
Pendapat Careta pula, jika bekalan bahan api itu semakin berkurangan, ia hanya bermakna kadar subsidi akan meningkat dari setahun ke setahun dan akan memakan belanja yang besar kepada negara.
Rakyat perlu didedahkan kepada konsep bekalan  bahan api, elektrik dan air ialah bekalan yang finite atau terhad dan jika mereka faham, mereka akan lebih menghargai sumber-sumber itu dan akan mengurangkan pembaziran.
Masalah sekarang, ramai rakyat yang masih tidak faham akan konsep itu dan mustahil Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju jika konsep itu tidak dapat dihadam.

 

 

Beban konsesi tol jalanraya

Masalah legasi ini masih lagi wujud dan dengan kerajaan baharu, dasar konsesi tol ini perlu diselesaikan dengan adil.

Umum mengetahui Malaysia mempunyai jalanraya bertol paling banyak di rantau ini, atau mungkin di dunia. Bagi penduduk warga kota, tidak menghairankan jika kos tol bulanan mencecah lebih dari RM300.

Kajian perlu dilakukan agar perlu ada jalan penyelesaian kerana ia mampu mengurangkan kadar bebanan rakyat dan jika kena caranya, ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas. 


 

 

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Global
  Menurut Bloomberg, sumber dari dalam kerajaan negara tersebut telah memberi amaran bahawa China…
Berita Global
Ramai yang tidak tahu bahawa Tesla ialah sebuah syarikat yang hanya akan masuk ke sebuah negara…