Banyak juga rumah penala yang hadir dengan program restomod yang tersendiri, namun jika anda inginkan sebuah Porsche 911 klasik dengan kondisi serba baharu, RUF RCT Evo merupakan jawapan yang anda cari.
RUF menawarkan model RCT Evo dalam stail badan standard dan lebar, di mana para pelanggan boleh menempah untuk mendapatkan panel badan penuh yang diperbuat daripada gentian karbon bertujuan untuk mengurangkan lagi berat badan, dan aspek aerodinamik yang dipertingkatkan.
Selain daripada itu, pakej yang ditawarkan turut merangkumi rim dengan kekunci tengah, pemasangan sangkar keselamatan, dan penawaran opsyen brek seramik karbon.
Lebih menarik, RUF memberikan kebebasan kepada para pelanggannya untuk memilih warna luaran, bahan upholsteri, dan ciri kustom yang menjadikan RCT Evo lain daripada yang lain.
Harga yang perlu anda laburkan untuk kesemua pilihan di atas bermula dari 350 ribu euro, atau RM1.7 juta sahaja termasuk kos untuk mendapatkan sebuah model penderma Porsche 964.