Lotus umum harga Emeya di UK, 3 varian, daripada 94.9 ribu pound (RM570.9 ribu)

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lotus Emeya
Lotus Emeya
Selepas diperkenal pada September 2023, Lotus mengumumkan harga Emeya untuk pasaran United Kingdom dan Eropah.

Kereta elektrik GT hiper pertama dari Lotus ditawarkan dalam tiga varian iaitu Emeya, Emeya S dan Emeya R.

Dari segi teknologi, Lotus mengoptimumkan reka bentuk bentangan bateri supaya dapat memuatkan 20 peratus lebih banyak sel di dalam ruang sama.

Faedahnya, jarak pemanduan bertambah 20 peratus selain keupayaan pengecasan yang cemerlang.

Menggunakan pengecas pantas DC 350 kilowatt (kW), pemandu hanya perlu menunggu 18 minit untuk menambah tenaga dari 10 sehingga 80 peratus.

Jarak pemanduan pula sehingga 610 kilometer (km) (WLTP).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lotus Emeya

 

Dari segi prestasi, kuasa sehingga 905 bhp membolehkan Emeya memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) di bawah 2.8 saat.

Prestasi itu meletakkan Emeya sebagai satu daripada kereta elektrik terpantas di dunia.

Terdapat lima mod pemanduan yang boleh dipilih pemandu seperti Range, Tour, Sport, Individual dan Track.

Pemandu boleh menetapkan ketinggian kereta, kekenyalan suspensi udara, tindak balas pecutan, tetapan kerusi dan pelbagai lagi untuk mengoptimumkan kecekapan dan prestasi.

Dari segi aerodinamik, Emeya mempunyai kadar pekali seretan 0.21 Cd dan daya mendap 150 kilogram (kg) pada 250 km/j.

Tidak hanya bergantung kepada bentuk badan, Emeya dilengkapi perkakasan aktif seperti pengempang udara (air dam) di bawah bampar depan dan spoiler aktif di belakang.

 

Lotus Emeya

 

Perkakasan tersebut meningkatkan daya mendap dan kestabilan semasa diaktifkan dan mengurangkan seretan ketika tidak digunakan.

Dari segi pengendalian, sistem suspensi udara kawalan elektronik dengan penderia terbina bertindak balas kepada keadaan jalan raya dan melaras tetapan kereta secara automatik.

Sistem itu berfungsi bagi memberikan pemanduan paling lancar dan optimum.

Menghentikan Emeya ialah brek seramik karbon yang mengurangkan berat dan jarak pembrekan dan turut menyumbang kepada pengendalian dinamik.

Bersama kedudukan pemanduan rendah, setiap bahagian Emeya direka bagi menghubungkan pemandu kepada jalan dan membangkitkan keberadaan di dalam kereta sport Lotus sejati.

Sebagai sebuah GT dan model era baharu, Lotus bermain dengan kemewahan sebagai contoh lima mod urutan kerusi. Bayangkan sebuah Lotus mempunyai kerusi dengan urutan!

 

Lotus Emeya

 

Pintu kereta jenis bantuan kuasa memudahkan penumpang. Penderia boleh mengesan halangan supaya pintu tidak dibuka jika terdapat risiko kerosakan.

Selain itu, penderia kaki memudahkan pemandu atau penumpang membuka but tanpa menggunakan tangan bagi memuatkan barang ke dalam but 509 liter.

Ukuran badan yang panjang juga membolehkan penumpang mempunyai ruang kaki luas. 

Lampu suasana berubah mengikut keadaan sebagai contoh nyalaan dalam bentuk nadi apabila menerima panggilan telefon atau bertukar kepada hijau apabila kereta dicas.

Satu lagi perkakasan praktikal ialah bumbung kaca panoramik pintar yang mempunyai pilihan kabur untuk pemandu dan terang pada bahagian penumpang.

Skrin besar 15.1 inci definisi tinggi HD OLED menjadi pusat kepada sistem maklumat hibur dengan sistem operasi Lotus Hyper OS.

 

Lotus Emeya 2024

 

Sistem itu dikuasakan teknologi permainan Unreal Engine dan bertindak balas dengan pantas dalam masa nyata mengikut tetapan dan arahan pemandu.

Sebagai contoh, sentuhan pada skrin bagi membuka pintu dibuat secara serta-merta.

Walaupun tiada perkakasan fizikal di sebalik stereng, pemandu dibekalkan papar pandu (HUD) realiti terimbuh (AR) yang memaparkan data penting tanpa mengalihkan mata daripada jalan.

Lotus menawarkan enam warna iaitu Solar Yellow, Akoya White, Stellar Black, Kaimu Grey serta dua pilihan baharu Boreal Grey dan Fireglow Orange.

Berkenaan harga, Emeya ditawarkan daripada 94,950 pound (RM570,815) dan 107,450 pound (RM645,938) untuk Emeya S.

Model andalan Emeya R pula daripada 129,950 pound (RM781,068). Tempahan sudah dibuka dan pelanggan di Eropah akan menerima unit mereka bermula suku ketiga 2024.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lotus Emeya

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Usah risau, ini kerana Lotus Emeya sudah pun selesai menjalani ujian pembangunan menyeluruh dalam…
Berita Global
  Tahukah anda? Emeya mampu menyiapkan sehingga 25 trilion operasi dalam tempoh sama yang…
Berita Global
  Dari segi reka bentuk, garis badan tunggal pada sisi kereta daripada muncung depan sehingga ke…