Sejak pengenalannya, Lotus terlebih dulu menawarkan Emira 3.5 dan kini tiba giliran Emira dengan enjin lebih kecil namun kekal berkuasa.
Satu pilihan yang tepat kerana enjin itu paling berkuasa dalam kategori empat silinder keluaran massa.
Enjin M139 pada Emira First Edition 2.0 tidak sekadar pasang dan muat. Lotus telah memasang ambilan dan sistem ekzos baharu.
Lotus juga menggunakan kalibrasi khas pada enjin dan gear transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan.
Emira 2.0 menghasilkan 365 kuasa kuda (hp) dan tork 430Nm dan lebih rendah daripada Mercedes-AMG A45 S.
Angka itu juga lebih rendah berbanding Emira 3.5 yang berkuasa 400 hp dan tork 420Nm (manual) dan 430Nm (automatik).
Bagaimanapun, perbandingan tidak boleh dibuat di atas kertas sahaja kerana perlu mengambil kira faktor lain seperti berat dan pemanduan.
Di sebalik angka-angka tersebut, Emira 2.0 merupakan model empat silinder paling berkuasa Lotus dan mengatasi model lain seperti Elise, Esprit, Europa, Elan dan Elite.
Pada kadar 180bhp/liter, Emira 2.0 mempunyai output kuasa tertinggi berbanding Emira 3.5.
Dari segi ketangkasan, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 4.4 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 290 kilometer sejam (km/j).
Sekali lagi sebagai perbandingan, untuk kelajuan yang sama Emira 3.5 memerlukan 4.2 saat (automatik) dan 4.3 saat (manual) dengan kelajuan maksimum 290 km/j.
Walaupun sedikit perlahan, dompet pemilik Emira 2.0 lebih jimat kerana cukai jalan yang jauh lebih rendah sekiranya dibawa masuk ke pasaran tempatan kelak.
Bercakap tentang Lotus tidak sah tanpa menyentuh pengendalian. Dari luar nampak sama namun isi berbeza.
Emira 2.0 menggunakan sub kerangka belakang aluminium tuang baharu bagi menggantikan perkakasan keluli pada Emira 3.5 dan jimat 12 kilogram (kg).
Kerangka itu juga dipasang suspensi belakang baharu. Set pegas Eibach dan penyerap hentak Bilstein ditala khas untuk disesuaikan pada Emira.
Ada dua tetapan casis untuk pilihan pelanggan iaitu Tour yang sesuai untuk jalan raya dengan pegas dan penyerap hentak lebih lembut.
Pilihan casis Sport pula seperti biasa dengan pakej pegas dan penyerap hentak lebih tegar. Darjah kamber dan toe dinaikkan untuk memaksimumkan cengkaman.
Selain itu, ketegaran bar anti oleng juga dibuat khas dan komponen pada gandar depan lebih ringan.
Perubahan juga melibatkan sistem elektronik dan Lotus menggunakan pemetaan baharu pada Kawalan Penstabilan Elektronik.
Tidak seperti kereta Lotus terdahulu, Emira mempunyai fungsi e-Diff yang melaras operasi tekanan brek pada roda belakang bagi memaksimumkan cengkaman.
Lagi ciri Emira 2.0 ialah tayar yang dibangunkan khas dengan saiz tak semetri supaya sepadan dengan keperluan stereng dan cengkaman kereta.
Set tayar Goodyear Eagle F1 Supersport saiz 245/35/R20 (depan) dan 295/30/R20 (belakang) dijadikan ciri standard untuk casis Tour dan pilihan kepada pembeli casis Sport.
Lotus memberikan set Michelin Pilot Sport Cup 2 untuk Emira Sport dan direka untuk penggunaan di litar tanpa mengabaikan keselesaan.
Kedua-dua tayar mempunyai tanda LTS pada dinding sebagai perakuan kepada spesifikasi yang diluluskan Lotus.
Spesifikasi Lotus Emira 2.0:
- Enjin: 1,991 turbo empat silinder, suntikan terus dan suntikan kebuk (port)
- Kuasa: 360 bhp, 430Nm
- Transmisi: Klac berkembar lapan kelajuan
- Pecutan 0 - 100 km/j: 4.4 saat
- Kelajuan maksimum: 290 km/j
- Stereng: Elektrohidraulik
- Brek: AP Racing 4 omboh
- Cakera: 370mm x 32mm (depan), 350mm x 32mm (belakang)
- Dimensi: 4,413mm (P), 2,092mm (L), 1,226mm (T)
- Trek: 1,626 (depan), 1,608 (belakang)
- Jarak roda: 2,575mm
- Pekali seretan: 0.349 Cd
- Berat: 1,446 kg
- Muatan bagasi belakang: 151 liter
- Muatan bagasi kabin: 208 liter
- Kapasiti tangki petrol: 52.5 liter
Bagaimana dengan harga? Lotus Emira First Edition 2.0 dijual daripada 81,495 pound (RM490,140).
Penulis: Muhammad Md Tajudin