LLM, syarikat konsesi kerjasama laksana sistem bayar tol terbuka

oleh Hamimah Hamid|
LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka.

LLM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pelaksanaan itu akan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini.

“Ini merupakan langkah yang tepat dalam usaha kerajaan memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Menurut LLM pihaknya bersama syarikat konsesi lebuh raya sangat menyambut baik saranan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka itu.

Justeru pada masa yang sama LLM turut berharap pengguna lebuh raya memberikan komitmen dan sokongan berterusan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol.

“Kami juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada pengguna lebuh raya,” katanya.

Semalam, Alexander memaklumkan lima lagi lebuh raya bersetuju mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka yang dimulakan pada pertengahan September ini.

Katanya, lima lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Pada 24 Mac lepas, beliau mengumumkan enam lebuh raya iaitu Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang termasuk Lebuhraya Butterworth – Kulim akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol di lebuh raya masing-masing bagi memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna.