Litar drag haram IM14 digempur, tiga pelumba ditahan

oleh Mohamad Hanif|
Tiga 'pelumba' dan 142 penonton ditahan bersama kenderaan masing-masing selepas litar haram yang menjadi lokasi acara drag race di kawasan Perindustrian Indera Mahkota 14 di sini digempur polis dalam Operasi Khas Cegah Lumba Haram.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Operasi bersepadu melibatkan  60 anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira jam 5.30 petang itu bermula  dengan tindakan mengepung kawasan berkenaan dan menutup laluan keluar masuk sebelum serbuan dilakukan.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengutkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad berkata, pihaknya menahan tiga pemandu untuk siasatan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah.

Menurutnya,  seorang pemandu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42 akta sama kerana memandu secara bahaya.

"Manakala penonton yang  ditahan bersama kenderaan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat JPJ Pahang Indera Mahkota untuk pemeriksaan dan proses dokumentasi.

"Hasil pemeriksaan, kita mengesan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan melibatkan lesen memandu, pengubahsuaian ekzos dan penggunaan nombor plat tidak mengikut peraturan.

"Hasil pemeriksaan juga, pihak JPJ bertindak menyita sebuah kereta kerana melakukan pengubahsuaian ekstrem disyaki bagi tujuan berlumba,"katanya ketika ditemui selepas operasi itu, malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, operasi itu digerakkan hasil aduan orang ramai dan risikan pihaknya terhadap aktiviti di litar haram yang menjadi tumpuan peminat perlumbaan drag terutama pada hujung minggu.

Ia juga bersempena Operasi Khas Cegah Lumba Haram yang dilancarkan seluruh negara bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

 

Sumber: Sinar Harian