Lelaki pukul kepala pemandu wanita diberkas polis

oleh Hamimah Hamid|
LELAKI tular videonya memukul kepala seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah telah ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 29 tahun terbabit yang ditahan di Serdang, Selangor akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Mohd Yusri, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 323 atas pertuduhan mencederakan dan Seksyen 502 kerana mengugut dan Seksyen. 

 

Tambah beliau, kes turut disiasat atas Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam.

 

Menurut Mohd Yusri, wanita berusia 24 tahun yang terlibat dalam kes tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pukul 10 pagi tadi. 

 

"Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pukul 5.33 petang semalam ketika pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun. 

 

"Wanita terbabit hendak memotong sebuah kereta persona warna kelabu yang berada di hadapan pengadu namun tidak dapat memotong," katanya. 

 

Ujar beliau, pemandu lelaki terbabit yang bekerja sebagai Supervisor kilang telah bertindak menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar. 

 

"Pemandu tersebut kemudian telah turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta pengadu. 

 

" Apabila pengadu buka cermin saspek telah memarahi pengadu serta secara tiba-tiba dan memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya. 

 

Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta PROTON Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.