Lebuhraya Plus bakal tawar bayaran tol melalui payWave, MyDebit dan PayPass?

oleh Muhamad Hanif|
PUTRAJAYA: Kerajaan kini sedang mempertimbangkan hasrat Plus Malaysia Berhad (Plus) untuk menawarkan pembayaran tol menerusi kad debit dan kad kredit melalui Visa payWave, MyDebit dan Mastercard Paypass sebagai alternatif selain daripada sistem Touch ‘n Go untuk pengguna lebuhraya di bawah rangkaian Plus yang disasarkan akan mula beroperasi awal tahun hadapan.

Menurut pegawai kanan Kementerian Kerja Raya, Plus sedang merancang untuk memperkenalkan pembayaran tanpa tunai melalui Visa payWave, MyDebit dan Mastercard Paypass sebagai pilihan tambahan kepada sistem tol elektronik yang sedia ada di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Seremban-Port Dickson , Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.
Promosi Duit Raya

Dengan kemunculan pelbagai jenama dan kaedah pembayaran elektronik kebelakangan ini, Careta difahamkan bahawa Plus mahu menawarkan lebih nilai mata ganjaran kesetiaan kepada pengguna lebuhraya melalui payWave, MyDebit dan PayPass yang semakin mendapat sambutan orang ramai di sektor peruncitan.


 

Semenjak April 26 tahun lalu, Plus telah mewajibkan pembayaran tanpa tunai hanya melalui Touch ‘n Go kepada semua pengguna di pelbagai rangkaian lebuhraya di bawah Plus dengan langkah perlaksanaan berperingkat semenjak 2008.

Dengan pegangan 20 peratus di dalam Touch ‘n Go oleh Plus Expressways Berhad, Careta difahamkan Plus akan terus mengekalkan Touch ‘n Go sebagai salah satu cara pembayaran tol di rangkaian lebuhraya di bawah Plus.

Namun, tidak dipastikan sejauh mana Touch ‘n Go akan dapat membantu perancangan Plus kerana syarikat pengendali rangkaian lebuhraya terbesar di negara ini berkemungkinan akan turut cuba memanfaatkan infrastruktur elektronik sedia ada yang telah lama dibangunkan oleh Touch ‘n Go untuk perlaksanaan sistem terbaharu ini.

Careta telah mengajukan pertanyaan dan jurucakap Touch ‘n Go menyatakan: “Pihak kami ingin memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen pada masa ini kerana inisiatif tersebut diusahakan oleh pihak Plus dan Touch ‘n Go tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.”

 

Sekiranya Plus mendapat lampu hijau dari kerajaan, Careta dimaklumkan oleh sumber Kementerian bahawa Plus yakin dengan pengenalan payWave, MyDebit dan PayPass akan dapat mengukuhkan lagi sistem kutipan tol di seluruh rangkaiannya, selaras dengan perancangan kerajaan yang mahu menghapuskan kewujudan hadangan palang di laluan tol melalui sistem Pelbagai Laluan Bebas atau Multi Lane Free Flow (MLFF) di plaza-plaza lebuhraya tol seluruh negara dua tahun lagi.

Pada ketika ini, adalah tidak dapat dipastikan sekiranya kad MyDebit, payWave atau PayPass boleh digunakan sebagai 'contactless' (tanpa sentuh) seperti di laluan SmartTAG Touch n' Go atau pun MyDebit, PayPass dan payWave boleh menjadi sebahagian dari perlaksanaan RFID kelak. 

Careta turut dimaklumkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya sedang melakukan kajian teliti sebelum beri kata putus terhadap hasrat Plus ini kerana tidak mahu perlaksanaan MLFF terbantut atau menjadi sukar.

Sumber Kementerian Pengangkutan pula berkata bahawa kerajaan perlu ambil langkah berhati-hati kerana tidak mahu suasana bercelaru dalam melaksanakan Sistem Permit Masuk Kenderaan atau 'Vehicle Entry Permit' (VEP) melalui penggunaan RFID untuk bayaran caj jalanraya (road charge) di semua pintu masuk sempadan negara.

 

sumber gambar dari Sin Chew Daily
sumber gambar dari Sin Chew Daily

 

“Kerajaan juga tidak mahu mengelirukan orang ramai dengan pengenalan kaedah pembayaran tol elektronik yang baharu memandangkan sistem RFID bersama Touch ‘n Go baru sahaja hendak diperkenalkan kepada pengguna bermula hujung tahun ini,” jelas sumber itu lagi.

Tambahan pula, katanya lagi, RFID adalah pintu kepada aplikasi dompet elektronik Touch ‘n Go dari telefon pintar yang bakal menggantikan fungsi kad Touch ‘n Go untuk tujuan pembayaran tol lebuhraya, caj jalanraya dan VEP.

Menurut laporan NST awal bulan ini, pengedaran tag RFID akan diedarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Touch ‘n Go melalui pengenalan dompet elektronik Touch ‘n Go bermula tahun hadapan.

“Kini terdapat lebih daripada 20 juta edaran kad Touch ‘n Go di Malaysia dengan hampir 92 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi Touch ‘n Go adalah untuk pembayaran tol di kesemua 31 lebuhraya seluruh negara,” kata sumber Kementerian Pengangkutan tersebut.

Penulis: Mohamad Hanif Suib

Add new comment

banner articles