Manakala bagi jawatan kelas bawahan, hanya 178 orang pegawai penguatkuasa SPAD yang akan menerima tugas baharu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada 400 orang pegawai sedia ada.
Tindakan ini dikatakan bertentangan dengan langkah penstrukturan semula yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Mei lalu yang menyatakan tiada seorang pun kakitangan SPAD yang akan diabaikan.
Sebelum ini, SPAD dilaporkan antara agensi yang bakal dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebahagian daripada penjimatan kos dan mengelakkan pertindihan tugas, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut satu sumber yang telah melihat dokumen pelantikan pegawai baharu APAD, hanya mereka yang terlibat di dalam penstrukturan semula agensi tersebut akan menerima kenaikan pangkat satu tahap (ke JUSA B dan JUSA C) berbanding posisi mereka di tempat yang lama.
Sebagai maklumat tambahan, pegawai gred JUSA B dan JUSA C masing-masing menerima gaji minimum sebanyak RM7,788 dan RM7,189.
Dokumen tersebut turut menyatakan JPJ bakal memperkembangkan lagi operasi mereka dengan kekosongan jawatan melebihi 400 pekerjaan termasuklah di Sabah dan Sarawak, namun kekosongan itu tidak menjamin penyerapan secara kekal warga kerja SPAD yang masih tinggal.
Dikatakan seramai 600 orang pegawai SPAD akan menerima surat pemberhentian kerja bermula bulan hadapan, namun tiada sebarang maklumat lanjut diberikan kepada mereka berhubung isu ini.
Isu berkenaan pegawai SPAD ini sudah lama dilaporkan pada bulan Julai yang lalu, dengan keputusan yang dibuat melibatkan hanya 30 peratus pekerja yang akan terjejas akibat pembubaran SPAD.
Namun, menteri Anthony Loke ketika ditanya tidak memberikan sebarang jawapan muktamad berkenaan nasib SPAD yang tidak menentu itu sehinggalah ke hari ini.
Rang undang-undang melibatkan pembubaran SPAD dan membentuk agensi baharu APAD kini telah diluluskan oleh sidang parlimen bulan lepas dan usul tersebut akan dibangkitkan di Dewan Negara tidak lama lagi.