Land Rover Discovery Td6 2018 tunda lori dan gerabak 110 tan di Australia!

oleh Muhammad Md Tajudin|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jika dilihat pada hari ini, kenderaan SUV begitu banyak di atas jalan raya. Populariti itu disumbang oleh gaya hidup, kualiti jalan raya dan juga akses harga untuk pelbagai tingkat pendapatan pembeli.

SUV yang dipasarkan sekarang ini terdiri daripada pelbagai segmen dari B hinggalah kepada E. Ia menjadi mudah memandangkan kebanyakan pengeluar menggunakan platform yang sama dari model kereta penumpang. Bukan setakat platform, enjin dan peralatan lain pun sama.

Satu lagi senario ialah, kebanyakan pengeluar kereta penumpang semakin galak mengeluarkan SUV. Ada yang terus-menerus mengeluarkan SUV dan meninggalkan segmen kereta penumpang seperti yang dilakukan Mitsubishi pada Lancer.

 

Land Rover Discovery Td6 2018 tunda lori dan gerabak 110 tan di Australia!

 

Porsche pula menjual ratusan ribu unit SUV seperti Cayenne dan Macan. Lamborghini pula mahu kembali ke segmen ini selepas puluhan tahun meninggalkan model 4x4 mereka tanpa ganti.

Tetapi pernahkah anda mendengar pengeluar 4x4 menghasilkan kereta penumpang? Janggal bukan.

Di situlah letaknya nilai Land Rover sebagai pengeluar sejati kenderaan 4x4. Walaupun Range Rover sudah menjadi ibarat supercar 4x4 atau Evoque yang lebih kepada ikon fesyen.

Peredaran zaman dan perubahan citarasa juga nampaknya turut mempengaruhi sebuah lagi model tradisional Land Rover iaitu Discovery.

 

Land Rover Discovery Td6 2018 tunda lori dan gerabak 110 tan di Australia!

 

Daripada gayaan berkotak kini sudah membujur termasuklah kedudukan plat nombor belakang yang lari daripada konvensional.

Walau bentuk apa pun, Land Rover masih tidak lupa ciri utama yang membentuk kehebatan Discovery selama ini iaitu keupayaan menunda.

Sempena pelancaran model baharu dan juga untuk membuktikan ia masih lagi kekal perkasa, sebuah Discovery telah digunakan untuk menunda lori dan tujuh gerabak jalan raya berukuran 100m panjang dan seberat 110 tan (satu tan bersamaan 1000 kg).

Demonstrasi keupayaan itu dilakukan di sebuah kawasan terpencil di wilayah utara Australia menggunakan Discovery Td6. Di atas kertas model terbaru itu mempunyai keupayaan tunda sehingga 3,500 kg (3.5 tan) dan walaupun begitu tetap berjaya dalam tugasnya menunda lori dan gerabak 110 tan dengan jarak 16 km di lebuh raya Lasseter yang tertutup.

Jika disoroti sejarah, rekod tunda menunda tidak asing buat model ini. Pada tahun 1989 sewaktu pelancaran Discovery I, ia telah digunakan untuk menunda kereta api dan pada tahun lalu, Discovery Sport digunakan untuk menunda tiga gerabak kereta api berukuran 85 kaki di atas landasan Sungai Rhine.

 

Land Rover Discovery Td6 2018 tunda lori dan gerabak 110 tan di Australia!

 

Discovery Td6 yang digunakan dalam demonstrasi terbaru ini menggunakan transmisi lapan gear automatik standard dan sistem pacuan empat roda. Trak tersebut disangkut menggunakan cangkuk tunda keluaran kilang.

Selain itu, trak dan gerabak jalan raya yang digunakan mempunyai berat sebanyak 100 tan dan ditambah beban sebanyak 10 tan lagi untuk mencukupkan sasaran.

Land Rover Discovery Td6 dikuasakan enjin 3.0 liter diesel turbo tunggal dengan sistem pacuan empat roda. Enjin tersebut mempunyai kuasa 258 PS dan tork 600 Nm. Selain berkuasa, enjin tersebut juga cekap bahan api dengan kadar penggunaan 7.2 liter untuk setiap 100 km.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Domestik
LROM ialah kelab Land Rover berdaftar yang pertama di Malaysia dan ahlinya terdiri dari "otai-otai…
Berita Global
  Walaupun terbuka, Okavango mempunyai bumbung atas boleh alih yang melindungi kabin dengan…
Berita Global
  Land Rover Series IIA dikeluarkan dari 1961 hingga 1971 dan satu daripada 'Len Roba' yang…