Lamborghini SC63, pencabar baharu Le Mans 2024!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini SC63 2024
Lamborghini SC63 2024
Sekarang ini banyak kereta berprestasi tinggi yang dikeluarkan dan masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri.

Selain reka bentuk, paling menonjol ialah model mana paling berkuasa dan bunyi nyaring di litar lumba. 

Dua ciri tersebut tidak cukup, anak jantan perlu buktikan di litar dan tidak semestinya perlu bersaing di dalam Formula 1.

Satu medan yang mempunyai prestij ialah perlumbaan 24 Jam Le Mans.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini SC63 2024

 

Untuk rekod, Toyota lima kali berturut-turut menang perlumbaan 24 Jam Le Mans dan dominasi itu dipecahkan Ferrari pada tahun ini.

Bermula tahun 2024, ada penyertaan baharu dari Itali iaitu Lamborghini yang baru sahaja melancarkan prototaip perlumbaan ketahanan (endurance) SC63.

Kereta itu dibangunkan untuk bersaing dalam kategori Hypercar FIA World Endurance Championship 2024 termasuk 24 Jam Le Mans.

SC63 juga bakal bersaing di dalam kelas GTP IMSA WeatherTech Sports Car Championship Endurance Cup yang turut merangkumi 24 Jam Daytona dan 12 Jam Sebring.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Lamborghini bekerjasama dengan Iron Lynx untuk program perlumbaan antarabangsa dan telah mendapatkan pemandu dari F1 dan perlumbaan ketahanan.

SC63 dipasang enjin 3.8 liter turbo berkembar V8 yang dibangunkan khusus jurutera Lamborghini untuk perlumbaan. 

Enjin itu mengggunakan konfigurasi cold V iaitu pengecas turbo dipasang di luar sudut V dan mudah untuk disejukkan dan diselenggara.

Bentangan itu turut membantu mengurangkan berat dan mengoptimumkan pusat graviti kereta.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Ciri tersebut dan aerodinamik kereta menjadi kaedah paling berkesan untuk mendapatkan cengkaman tayar dan keseimbangan yang sempurna.

Di samping itu, pakej tersebut membantu dari segi pemanduan dan memberikan kelajuan konsisten pada pusingan perlumbaan dan juga perlumbaan jarak jauh.

Kuasa dari enjin dan sistem hibrid adalah sama untuk kategori LMDh dan dihadkan kepada 500kW (670 hp). Unit Kuasa (PU) diuruskan unit kawalan elektronik Bosch.

Peraturan LMDh juga menetapkan kotak gear, bateri dan unit motor penjana (MGU) yang standard dan membantu dari segi kos pembangunan prototaip.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Di sebalik kotak gear standard, masih ada kebebasan untuk membuat perubahan seperti nisbah gear dan gelinciran pembeza mekanikal.

Untuk monokok kereta, Lamborghini memilih Ligier sebagai rakan pembangunan.

Sekali lagi Lamborghini bebas untuk membangunkan spesifikasi sendiri seperti rekaan rod penolak suspensi depan dan pembahagian berat keseluruhan.

Perumah di antara belakang enjin dan depan kotak gear (bell housing) membantu dari segi ketegaran kilasan dan direka untuk menempatkan enjin elektrik.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Satu lagi aspek penting ialah sistem pembrekan yang bukan sahaja perlu mempunyai prestasi tinggi tetapi juga tahan lasak dalam semua keadaan.

Badan kereta direka Centro Stile Lamborghini dan bersama pasukan perlumbaan.

Gayaan Lamborghini boleh dilihat pada keseluruhan kereta terutama sekali lampu depan dan belakang bentuk Y dan identiti Itali jelas dilihat pada tiga warna hijau, putih dan merah.

Warna dan grafik kereta sama seperti model lumba Huracán GT3 dengan kombinasi hijau Verde Mantis dan jalur hitam Nero Noctis.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Satu perkara penting dalam kereta lumba sebegini ialah penyejukan.

Ambilan udara kepada pod sisi di belakang di belakang kokpit telah melalui beberapa perubahan sebelum disiapkan.

SC63 mempunyai lapan radiator yang berbeza termasuk dua penyejuk antara (intercooler), satu penyejuk kotak gear dan satu pemeluwap penyaman udara.

Masih belum cukup, SC63 menggunakan satu radiator untuk Sistem Pemulihan Tenaga (ERS), satu untuk Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) dan dua radiator air.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Pembangunan kereta juga melibatkan dunia maya menggunakan simulator Driver in the Loop (DiL). 

Mirko Bortolotti dan Andrea Caldarelli selaku pemandu Lamborghini turut membantu dan dua bekas pelumba F1, Daniil Kvyat dan Romain Grosjean.

Mereka berdua mempunyai pengalaman memandu jentera lumba hibrid F1 dan membantu jurutera untuk menala sistem LMDh.

 

Lamborghini SC63 2024

 

Bermula 2024, sebuah SC63 akan bersaing dalam pusingan penuh FIA World Endurance Championship dan sebuah lagi dalam North American Endurance Championship (IMSA).

Iron Lynx menggalas tanggungjawab dalam kedua-dua siri dan barisan pelumba terdiri daripada Bortolotti, Caldarelli, Grosjean dan Kvyat.

Pelumba lain akan diumumkan kemudian dan jelas Lamborghini bukan sekadar memeriahkan perlumbaan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini SC63 2024