Lamborghini Revuelto Opera Unica, HPEV yang ada sebuah sahaja!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Revuelto Opera Unica
Lamborghini Revuelto Opera Unica
Dengan pelancaran Revuelto pada Mac 2023, maka bermula langkah serius Lamborghini di dalam dunia elektrifikasi.

Menariknya, Lamborghini tidak memanggil Revuelto sebagai kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) tetapi High Performance Electrified Vehicle atau HPEV.

Revuelto digerakkan enjin 6.5 liter V12 yang menghasilkan 814 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rpm dan tork 725Nm pada 6,750 rpm.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Revuelto Opera Unica

 

Enjin dipadan bersama tiga motor elektrik dengan dua di depan dan satu di belakang untuk pacuan semua roda dan kotak gear cekam berkembar lapan kelajuan.

Gandar elektrik depan mempunyai kuasa 220 kW (295 hp) pada 3,500 rpm dan motor elektrik P2-P3 belakang berkuasa 110 kW (148 hp) pada 10,000 rpm.

Gabungan enjin petrol dan elektrik menghasilkan 1,001 hp. Dari segi pecutan, 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 2.5 saat dan kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.

 

Lamborghini Revuelto Opera Unica

 

Sempena ulang tahun ke-60, Lamborghini menyambutnya melalui seni dengan mempersembahkan Revuelto Opera Unica.

Objek seni yang hanya dihasilkan sebuah sahaja menampilkan Revuelto dengan warna tersendiri atau ibarat kanvas yang diwarnakan oleh seniman.

Bahagian badan Revuelto dilayangkan cat dengan tangan menggunakan warna Viola Pasifae dan Nero Helene.

 

Lamborghini Revuelto Opera Unica

 

Warna itu memerlukan 76 jam untuk dibangunkan dan diuji dan secara keseluruhannya mengambil masa 435 jam.

Dari sisi, contengan warna sejuk dan panas dan sebahagian lagi warna gelap begitu menyerlah ibarat Revuelto sedang memecut laju walaupun dalam keadaan pegun.

Bahagian dalam kereta menggunakan gabungan warna sama dan beberapa bahagian disulam logo sambutan ulang tahun ke-60.

Turut menarik penutup butang hidup dan henti yang menggunakan lakaran sama.

 

Lamborghini Revuelto Opera Unica

 

Fakta Lamborghini Revuelto:

  • Pengganti Aventador
  • Enjin V12 Lamborghini paling berkuasa, berat 218 kg dan 7 kg lebih ringan daripada enjin V12 Aventador
  • Bateri 3.8 kWj dengan pengecasan sehingga 7 kW dan mengambil masa 30 minit atau 6 minit melalui tenaga regeneratif motor elektrik atau terus dari enjin 
  • Berat kering 1,772 kg
  • Pembahagian berat 44:56
  • Mod Citta dengan pemanduan elektrik penuh sehingga 9.6 km
  • Ditawarkan di pasaran tempatan bermula daripada RM6.5 juta!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Revuelto Opera Unica