Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario, ekzos Akrapovič, ada sebuah sahaja

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario
Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario
Lamborghini sudah memasuki era elektrifikasi yang bermakna pasaran telah dan bakal menerima model hibrid dan elektrik.

Contoh boleh dilihat pada Revuelto yang menggabungkan enjin 6.5 liter V12 dengan tiga motor elektrik sebagai kenderaan hibrid plug-in (PHEV).

Berada di dalam era elektrifikasi juga bermakna model lama akan ditamatkan seperti yang telah diumumkan untuk Huracán.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Sebelum ditamatkan, pasaran boleh dikatakan puas dengan hidangan sejak 2014 melalui pelbagai varian termasuk versi off-road Sterrato.

Bagi menjamu mata, Lamborghini tampil dengan Huracán STO SC 10° Anniversario dan sempena ulang tahun ke-10 bahagian perlumbaan Squadra Corse.

Kereta ini adalah hasil kerja Lamborghini Ad Personam Opera Unica dan menjamu mata bermaksud dibuat sebuah sahaja. 

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Huracán STO SC 10° Anniversario dibangunkan jurutera Squadra Corse dengan memanfaatkan pengalaman dari litar bagi meningkatkan kualiti dinamika dan prestasi di litar.

Sepasang sirip gentian karbon baharu dipasang pada bonet dan bersama sayap belakang meningkatkan daya mendap depan dan belakang kereta.

Sayap belakang itu tiga darjah lebih tinggi berbanding model produksi. Sayap belakang dan Lamborghini mempunyai hubungan istimewa dan mengingatkan kepada Countach.

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Cengkaman mekanikal ditingkatkan secara signifikan melalui empat penyerap hentak yang disesuaikan dari perlumbaan dan menggantikan set asal jenis aktif.

Penyerap hentak baharu mempunyai empat larasan dengan tetapan lantunan dan mampatan pada kedua-dua frekuensi tinggi dan rendah.

Turut melonjakkan prestasi di litar ialah tayar baharu yang dibangunkan bersama Bridgestone. 

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Sama seperti STO, model ini digerakkan enjin 5.2 liter V10 dengan padanan kotak gear dua cekam tujuh kelajuan dan pacuan roda belakang.

Di dalam STO, enjin itu menghasilkan 631 kuasa kuda (hp) dan tork 565Nm.

Lamborghini melengkapi model istimewa ini dengan ekzos titanium Akrapovič sebagai ciri asas berbeza dengan STO yang ditawarkan secara pilihan.

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Bahagian luar kereta diilhamkan dari model prototaip SC63 yang bakal menyertai perlumbaan 24 Jam Le Mans dan 12 Jam Sebring pada 2024.

Jelas dilihat warna Verde Mantis (hijau) dan Nero Noctis (hitam) dan jaluran tiga warna yang merentasi cofango (tukup dan dapra) dan bumbung.

Jaluran Rosso Mars (merah) menjalar dari depan dan belakang kereta. Logo Squadra Corse boleh dilihat pada sirip belakang.

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Terpampang pada pintu logo Squadra Corse 10° Anniversario bagi meraikan ulang tahun bahagian permotoran itu.

Di antara sejarah yang dicatatkan ialah menang kategori GTD di dalam 24 Jam di Daytona dan lebih daripada 50 kemenangan keseluruhan di dalam kelas GT3.

Bahagian dalam kereta dihiasi kerusi sport balutan Alcantara Nero Ade (hitam) dan sulaman Verde Fauns (hijau).

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario

 

Tali pinggang keledar empat sudut dan bar oleng aluminium melindungi pemandu dan penumpang.

Juga istimewa pelapik lantai gentian karbon dan plak khas dari bahan sama dan diletakkan pada dinding sekat belakang.

Harga? Tidak dinyatakan lagi pula kereta ini dibuat sebuah sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Huracán STO SC 10° Anniversario