Skup udara itu disambung kepada snorkel dan menggantikan kemasukan udara sisi dan menghalakan laluan udara terus kepada enjin secara optimum.
Penggunaan badan pendikit (throttle body) dengan sepuluh gerakan elektronik (electronically actuated) meningkatkan lagi kecekapan enjin.
Enjin kereta lumba ini menggunakan injap titanium dan keseluruhan sistem direka oleh Squadra Corse dan dipasang hanya dengan empat skru.
Kaedah itu digunakan kali pertama pada Essenza SCV12 bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.
Bahagian badan dari gentian karbon direka dengan kerjasama Pusat Reka Bentuk atau Lamborghini Centro Stile.
Tahap kecekapan aerodinamik ditingkatkan dengan splitter baharu, peresap dan bahagian bawah kereta.
Kereta ini mempunyai lebih daya mendap berbanding GT3 EVO hasil penggunaan lantai gentian karbon dengan lapisan gentian Zylon berkekuatan tinggi dan peresap baharu.
Lagi inovasi ialah sayap atau spoiler belakang yang dipasang menggunakan tiang aluminium Ergal 7075 T6 ala STO.
Tiang itu memberikan tahap pelarasan sayap yang lebih tepat berbanding model EVO.
Bahagian dalam kereta lumba ini menggunakan rangka keselamatan rekaan baharu dengan tambahan dua tiang belakang dan panel sisi karbon Kevlar corak sarang lebah.
Ianya telah diuji di dalam Essenza SCV12 dan meningkatkan lagi tahap keselamatan apabila berlaku impak pada pintu dan selari dengan peraturan FIA 2022.
Tingkap sisi jenis plexiglas dilekatkan pada panel pintu gentian karbon dengan gugusan skru untuk lebih kuat dan tahan.
Sistem pembrekan dipertingkatkan dengan angkup dan pad baharu yang direka oleh Squadra Corse bagi mengoptimumkan prestasi di dalam perlumbaan tahan lasak (endurance) dan pecutan.
Set itu bersama Kawalan Cengkaman (TCS) dan sistem brek anti kunci (ABS) direka supaya kereta senang dikawal dalam keadaan cengkaman rendah walaupun dikendalikan oleh pemandu biasa.
Menjamah litar ialah tayar PZero saiz 18 inci dengan ukuran 325/680 di depan dan 325/705 di belakang.
Pelanggan yang menempah Huracán GT3 EVO2 akan menerima kereta mereka pada separuh tahun kedua 2022.
Pelanggan atau pasukan yang sudah memiliki Huracán GT3 EVO pula boleh menaik taraf kepada spesifikasi GT3 EVO2 menggunakan kit evolusi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin