KTM 390 Adventure nampaknya mensasarkan pasaran BMW G310 GS dan kedua-duanya memang dibangunkan dan dibina di India (rakan teknikal BMW di India ialah TVS sementara Bajaj pula mempunyai pegangan saham di dalam KTM).
Model 390 ini dijangka sangat sesuai untuk pasaran India, dan ada kemungkinan akan dieksport ke negara-negara lain seperti di Eropah dan juga Malaysia.
Untuk pasaran Malaysia, model 390 ini memang sedikit unik kerana ia memerlukan lesen B penuh.
Selagi ada ramai peminat motosikal yang sanggup membayar untuk sebuah jentera baharu walaupun berenjin kecil, selagi itu akan wujud pasaran 250cc dan 400cc.
Mungkin Kementerian Pengangkutan boleh menukar akta dengan mewajibkan mereka yang mahu naik ke lesen B penuh untuk menunggang motosikal 250cc selama 12 bulan dahulu.
Konsep "training bike" atau motosikal latihan ini digunapakai di beberapa negara maju kerana adalah lebih selamat bagi seorang penunggang menggunakan motosikal perantaraan seperti sebuah 250cc sebelum terus melompat ke motosikal yang lebih besar.