Kluang Rail Coffee diiktiraf sebagai Kopitiam Kereta Api Tertua di Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Kluang Rail Coffee yang terletak di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Kopitiam Kereta Api Tertua di Malaysia.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Pegawai Pemasaran MBOR Jwan Heah menyerahkan sijil tersebut kepada Pengarah Kluang Rail Coffee Lim Jit Tong dalam satu majlis yang diadakan di kedai kopi stesen kereta api yang berusia 84 tahun itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, anak lelaki Jit Tong iaitu Lim Ben Winn selaku Pengarah Kluang Rail Coffee berkata beliau bangga dan bersyukur kerana kedai kopi yang diusahakan moyangnya Lim Huan Hee sejak 1938 itu terpilih dalam MBOR.
 

Kluang


Ben Winn sebagai generasi keempat berkata Kluang Rail Coffee kini mempunyai empat cawangan di Kluang dan bakal membuka satu lagi cawangan di Shah Alam, Selangor pada September ini.

"Kita sangat gembira apabila kopitiam warisan keluarga ini terpilih mendapat anugerah MBOR. Roti bakar merupakan menu utama di kopitiam ini dan ia mampu dijual antara 5,000 hingga 6,000 set setiap hari," katanya.

Sementara itu, Jwan berkata pihaknya berharap Kluang Rail Coffee, KTM dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang merupakan pemilik bangunan kedai kopi itu dapat meneruskan operasi kopitiam berkenaan dengan mengekalkan konsep asalnya sekali gus menjadi antara destinasi pilihan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain turut senada dan berkata kopitiam itu berpotensi menjadi produk pelancongan bersejarah di negeri ini selain mempunyai banyak ciri menarik termasuk pelanggan yang berbilang kaum.

Sumber: Bernama