Kia Grand Carnival 2.2D KX - Untuk mereka yang arif sahaja.

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pasaran MPV sebenarnya memang satu segmen yang unik dan dipenuhi oleh pelbagai jenis pembeli.

Ada yang yang mahukan sebuah MPV yang mampu menandingi sebuah kereta sport, walaupun yang dibawa ialah semua ahli keluarganya.

Ada yang mahukan gaya, walaupun mengah ketika mendaki kerana enjin yang sebesar kuih bahulu cermai itu tidak mampu membawa badan yang direka untuk enjin 3.5L V6.

Ada juga yang suka sesuatu yang besar, tetapi ada dua beg udara untuk dikongsi dengan lapan atau 12 penumpang.

Sebenarnya, pemilihan sebuah MPV lebih berdasarkan ciri-ciri keselamatan, keselesaan, kuasa enjin dan kos pemilikan.

Ia adalah belian berdasarkan keperluan, dan kerana itu ia perlu banyak pemikiran. 

 

Kia Grand Carnival side

 

Kali ini kami memandu uji sebuah MPV yang baharu dilancarkan tahun ini - Kia Grand Carnival 2.2D KX.

Datang dalam tiga varian pada asalnya, 2.2D, 2.2D EX dan 2.2D KX di mana varian KX ini ialah varian pertengahan.

Menurut laman web Kia Malaysia, varian paling mampu, 2.2D sudah ditiadakan. Oleh kerana itu, KX ini menjadi varian paling bawah, walaupun spesifikasinya tetap menarik berbanding dengan pesaing lain.

Kenapa diesel? Bukankah diesel ini sesuatu yang buruk.
Ini satu soalan normal. 
“Kenapa diesel bang?” “Eh, enjin diesel ke?” “Macam lori lah bang, enjin diesel ni.” dan pelbagai lagi soalan-soalan dari mereka di luar sana.
Mungkin soalan itu relevan kepada mereka kerana mereka memandu dengan duduk di atas tempat tutup enjin kerana jika dipandu dengan cara normal, iaitu duduk di dalam dengan tingkap ditutup dan pendingin hawa terpasang serta lagu Fattah Amin di radio, bunyi enjin itu langsung tidak kedengaran.

Apa best-nya enjin diesel ini?

Jika kita mahukan sesuatu yang mempunyai halaju maksimum yang tinggi, enjin diesel memang bukan dalam senarai pendek.
Istimewanya enjin diesel ialah kadar daya kilas atau tork yang tinggi dari enjinnya yang kecil. 
Contohnya enjin 2.2L DOHC CRDi dari kumpulan Hyundai-Kia ini menghasilkan cuma 190 hp pada kelajuan enjin 3,800 RPM tetapi tork yang ditawarkan ialah pada 440 Nm dari serendah kelajuan enjin 1,750 RPM.
Ini bermakna kita tidak perlu menekan pendikit agar enjin meraung ke RPM tinggi untuk memecut semasa bergerak.
Ia juga bermakna bila kita membawa sekeluarga penuh dengan barang-barang, Kia Grand Carnival ini tidak perlu meraung bila memanjat bukit, bila memotong dan bila mahu masuk ke laluan sebelah.
Dan cara pemanduan itu yang digunakan oleh kita setiap hari, bukannya memecut dari 0 - 100 kmsj atau memandu pada 200 kmsj.
Ia memberikan kesan praktikal yang sangat digunakan dalam pemanduan seharian, dan untuk MPV yang besar dan berat, tork adalah yang anda perlukan untuk memandu dengan selesa.

 

Kia Grand Carnival  boot

 

Ia besar
Mahu atau tidak, ruang adalah perkara penting kerana tidak ada gunanya jika MPV itu sempit.
Jika dibandingkan dengan Toyota Vellfire contohnya, Kia Grand Carnival ini 185 mm lebih panjang dan 135 mm lebih lebar.
Vellfire bagaimanapun 140 mm lebih tinggi, cukup untuk memuatkan sebuah kipis siling Panasonic Bayu 5 mungkin.
Di bahagian tempat barang pula, Kia Grand Carnival mempunyai ruang but terbesar di dalam kelasnya. 
Ia mempunyai “lubang” yang dalam dan ruang antara tempat duduk barisan ketiga, walaupun tidak boleh diubah ke hadapan atau ke belakang, masih membenarkan banyak ruang.
Dan paling menarik, barisan ketiga itu boleh “ditanam” ke dalam lubang tadi dan bukannya dilipat ke tepi seperti Mitsubishi Pajero Kementerian Kesihatan tahun 1995 dahulu.
Hasilnya, anda boleh membawa lapan orang penumpang dan tetap mempunyai ruang but yang besar untuk kelengkapan bercuti.
Sayang sekali ia tidak mempunyai bumbung yang tinggi dan lantai yang rendah seperti Nissan Serena S-Hybrid kerana ia sangat praktikal bila membawa kargo besar seperti motosikal dan sebagainya.

 

Kia Grand Carnival side quarter

 

Ia praktikal
Tempat duduk barisan ketiga dilipat berdiri untuk memberi ruang yang besar kepada penumpang masuk ke tempat duduk barisan ketiga.
Selain dari itu, ia mempunyai unit pendingin ahwa sendiri untuk penumpang di belakang, yang boleh dikawal dari panel di siling atau dari papan pemuka di hadapan.
Corong udara di belakang diletakan di siling dan ia mampu menyejuk kabin dalam masa yang sangat singkat.
Konsol di antara tempat duduk pemandu dan penumpang tengah juga sangat luas dan bertindak menjadi aram-rest yang boleh digelongsor ke hadapan.
Antara kelengkapan lain yang kami kira praktikal ialah:

  • Fungsi keyless entry dan butang Start/Stop.
  • Remote boot opener dan remote sliding door opener.
  • Tiga input USB - hadapan (juga untuk audio), di dalam konsol tengah dan di belakang konsol tengah.
  • Tiga soket 12 volt (papan pemuka, konsol tengah dan di dinding but).
  • Tayar sementara di bawah lantai tempat duduk barisan kedua.
  • 12 tempat letak bekas minuman.
  • Glovebox dua tingkat.
  • Cermin pengawasan kanak-kanak.
  • Pintu gelungsur eletrkik (kedua-dua belah).
  • Rim 18-inci dengan tayar bersaiz 235/60 - tebal dan selesa.
  • Tempat duduk bahagian tengah untuk barisan kedua boleh dibuka terus untuk menjadikan dua kerusi kapten.

Dan banyak lagi!

Kia Grand Carnival safety

 

Keselamatan
Ini adalah faktor yang penting untuk ibubapa. Kia Grand Carnival ini nyata tinggi dalam spesifikasi keselamatan.
Standard ialah enam beg udara, termasuk curtain airbag untuk bahagian tepi, dari depan sehingga ke belakang.
Juga ada ialah kawalan stabiliti elektronik ESC, brek ABS dan EBD serta Hill Assist Control.
Untuk kerusi bayi atau kanak-kanak, ada sistem Isofix untuk barisan kedua dan ketiga.

Waranti dan jaminan harga jual balik
Kia Malaysia memberikan waranti selama lima tahun, TANPA had perbatuan.
Dan anda juga boleh memilih pakej Kia Value 5 di mana sekiranya kita mahu menjual balik Kia Grand Carnival ini kepada Kia Malaysia untuk model Kia yang lain, anda dijamin harga belian kembali pada 50 peratus dari harga pembelian.
Ini memang sesuatu yang bagus kerana kebanyakan MPV hilang lebih dari separuh nilainya selepas empat tahun.

 

Kia Grand Carnival river

 

Pemanduan di jalanraya
Kia Grand Carnival ini kami gunakan semasa Hari Raya Aidil Fitri tempoh hari, membawa keluarga enam beranak di mana, lengkap dengan kerusi bayi.
Tidak ada satu pun beg yang perlu diletakkan di kaki penumpang dan semuanya muat di dalam but.
Di sepanjang lebuhraya dari Lembah Kelang ke Muar, Kia Grand Carnival bergerak lancar dan tidak langsung memberikan tanda-tanda ia “lelah” ketika mendaki.
Halaju boleh dikekalkan walaupun bukit yang didaki curam, tanda kuatnya enjin turbo-diesel ini.
Di kawasan popular dengan angin lintang, Kia Grand Carnival ini tidak mengalami masalah “diriku umpama layang-layang, terhuyung-hayang akibat tiupan angin”. Kia ini rasa mantap dan solid, seperti seorang jantan sado.
Tukaran nisbah dari transmisi 6-kelajuan automatik tidak terasa dan ia menggunakan sepenuhnya daya tork tinggi yang datang dari enjin untuk memudahkan pemanduan mendaki.

 

Kia Grand Carnival  driving


Kuasa membrek juga kuat dan mudah dikawal dengan pedal (ada brek yang terlalu sensitif).
Namun begitu, pemandu perlu biasakan untuk membrek kuat kerana pedal perlu ditekan ke dalam lagi.
Di laluan persekutuan, nyata sistem gantungan dengan penyerap hentak (damper atau absorber) berprestasi tinggi menghentikan olengan badan MPV besar ini ketika mengambil selekoh.
Sebenarnya, kami sendiri tidak sangka ia boleh membelok dengan sangat stabil, tetapi ia bukan bermakna kami boleh memandunya untuk mengejar Satria Neo dengan ekzos perang di hadapan.
Ia lebih untuk memberi keyakinan kepada pemandu dan membolehkan pemandu memandu tanpa rasa penat.
Untuk mereka yang berbadan besar, tempat duduk pemandu dan penumpang memang terasa empuk dan selesa. Ia tidak seperti tempat duduk Serena S-Hybrid yang kecil dan hanya sesuai untuk mereka yang berbadan ala-ala Datuk Sheila Majid.

Kia Grand Carnival dashboard


Untuk varian KX, tempat duduk hadapan dikawal secara manual dan kami tiada masalah dengan ketiadaan kawalan elektrik. Malah, kawalan manual lebih cepat!
Ketika melanda jalan-jalan berlubang dan tidak rata, bahagian belakang dirasa keras oleh pemandu, tetapi penumpang di bahagian paling belakang berkata ia selesa.
Untuk parkir, ada dua sensor diberikan (hadapan dan belakang) dengan bantuan skrin pada paparan meter. 
Kamera undur turut wujud, dan ia sangat membantu kerana Kia Grand Carnival ini memang lebar.
Pemanduan malam juga terasa lega kerana capaian lampu utama jauh ke hadapan dan tempat duduk yang tinggi sedikit memudahkan pemandu membaca jalanraya.

Penggunaan bahan api
Selama dua minggu menggunakannya, Kia Grand Carnival ini secara purata memberikan bacaan antara 8.2L ke 9.5L untuk setiap 100 km.
Bahan api yang digunakan ialah diesel Euro 5 dari Shell sahaja dan setangki penuh bahan api (80 liter) mampu mencapai lebih dari 700 km.
Oleh itu, kita tidak perlu sering berhenti untuk mengisi minyak.


Yang kurang bestnya
Tidak ada perkara yang sempurna di dunia ini, terutama apabila ia dibuat oleh manusia.
Untuk Kia Grand Carnival, ada beberapa penambah-baikan yang kami rasa Kia Malaysia mampu lakukan untuk menjadikan MPV besar ini lebih sempurna.

  • 1. Tolong wujudkan fungsi Bluetooth untuk audio streaming dan hands-free telefon bimbit. Menyedihkan kenderaan semodern ini tiada fungsi Bluetooth.
  • 2. Wujudkan sistem ambient lighting agar ia nampak lebih premium.
  • 3. Berikan ia fungsi kamera keliling kerana saiz Kia Grand Carnival ini memang besar.
  • 4. Ia perlukan side-skirting agar bahagian tepi tidak nampak terlalu “jinjang”.
  • 5. Untuk prestasi yang terbaik selama hayatnya, ia perlu bekalan minyak diesel Euro 5. Nasib baik diesel Euro 5 mudah dicari sekarang ini (terutama di Johor).
  • 6. Berikan jaring/net untuk kargo agar kargo tidak melempah. Tempat cangkuk sudah disediakan tetapi net tidak diberi.
  • 7. Wujudkan pilihan pemaind DVD dan skrin LCD untuk penumpang. Sekarang ini, ia tiada sistem DVD.
  • 8. Berikan ia lampu DRl jenis LED agar nampak seperti produk 2017.

 

Kia Grand Carnival  front

 

Jadi ia sesuai untuk siapa?
Kia Grand Carnival ini sesuai untuk sebuah keluarga yang besar, dan mempunyai ruang cukup untuk tempat parkir kerana saiznya.
Kerana ia rendah, kita tidak perlu runsing untuk masuk ke kawasan parkir bawah tanah (kecuali yang hanya mempunyai ruang lega kurang dari 1,740 mm).
Susunatur tempat duduk juga membolehkan praktikaliti dimaksimumkan untuk storan kargo dan penumpang.
Untuk harganya, memang MPV terpakai dari Jepun (reconditioned) boleh menjadi pilihan tetapi dengan masalah-masalah transmisi yang melanda sistem CVT yang tidak ditala untuk cuaca dan pemanduan di Malaysia, adalah lebih afdal untuk membeli sesuatu yang benar-benar baharu, tidak mempunyai bau sake di tempat duduk dan paling penting, ada waranti lengkap selama lima tahun.

Tepuk dada dan jangan tanya pada selera.
Tanyakan pada akal kerana ini ialah jentera untuk keluarga, dan bukan untuk anda seorang sahaja.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Saiz DAL-e Delivery sebenarnya lebih kecil berbanding model terdahulu dan dapat beroperasi…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…