Kes pukul: Mekanik dan tukang cat motosikal didenda RM4,000

oleh Hamimah Hamid|
DUA individu yang video tular memukul seorang lelaki di tengah jalan minggu lalu masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Majistret Jesseca Daimis menjatuhkan hukuman itu terhadap tukang cat motosikal, Helmi Zaharuddin, 43, dan mekanik, Aslam Suliman, 28 tahun selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan lelaki tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas menyebabkan cedera ke atas K Gopal, 34 tahun, di bahagian kepala dengan menggunakan batang aluminium.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun kira-kira pukul 5.30 petang pada 27 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pada prosiding berasingan, Aslam turut didenda RM1,800 dan dikenakan pengawasan selama dua tahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 8.40 malam pada 24 Oktober 2022.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM5,000.

Jesseca Daimis turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan selepas video kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp, minggu lalu.