Kerja gila - menjelajah dunia dengan kereta elektrik dan poket kosong!

oleh DIANA ISMADI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Melancong ke negara orang sekali-sekala untuk melupakan masalah kerja untuk seketika adalah perkara yang biasa kita dengar. Tetapi pernahkah anda mempunyai angan-angan Mat Jenin mahu mengembara ke seluruh dunia? Ini pun biasa kita dengar, ada duit semua pun jadi.

 

Bagaimana pula dengan mengembara dari Netherland ke Australia dengan memandu kereta elektrik tanpa duit sekupang pun? Ini Gila! Tetapi pemuda ini buktikan yang dia boleh buat kerja gila ini!

 

Baru-baru ini team Careta telah berjaya menerjah matsaleh ini dengan kereta elektrik beliau ketika singgah di Kuala Lumpur. Jadi kami tidak melepaskan peluang ini untuk menyerang beliau dengan beribu persoalan yang bermain di minda kami. Siapakah beliau?

 

Wiebe Wakker

 

Wiebe Wakker, 29 tahun yang berasal dari Netherland telah memulakan projek pengembaraan beliau “Plug Me In” pada 15 Mac 2016 selepas beliau tamat pengajian dalam jurusan Pengurusan Acara dari Utrecht University of Art, Holland. Beliau kini telah mengembara selama 18 bulan dan sejauh 52,000 km dengan kereta yang dikuasakan elektrik sepenuhnya.

 

Menurut Wiebe, beliau melakukan projek pengembaraan ini dengan objektif untuk mempromosikan “sustainability” dalam kehidupan seharian dan penggunaan kereta elektrik demi menjaga alam sekitar.

 

Wiebe wakker

 

Beliau mahu membuktikan kepada dunia bahawa beliau mampu meneruskan kehidupan seharian dengan hanya bergantung kepada ihsan dan sikap tolong menolong masyarakat dunia.

 

“Poket saya kosong, saya mengembara tanpa duit sesen pun, dan hanya bergantung kepada orang ramai untuk membantu saya meneruskan perjalanan dengan memberikan tempat tidur, makanan dan tenaga elektrik untuk cas kereta saya” kata Wiebe.

 

Wiebe Wakker

 

Wiebe dibekalkan dengan kenderaan Volkswagen Golf 5 yang dikuasakan elektrik sepenuhnya yang ditaja oleh syarikat dari Netherlands, Bundle’s. Jentera ini mampu bergerak untuk jarak 200 km dengan bateri penuh, serta kuasa 200 hp, jentera ini tidak pernah mengalami sebarang masalah sepanjang perjalanan.

 

Setakat ini, beliau telah mengembara ke 28 negara antaranya, Malaysia, Indonesia, India, Dubai, Italy, United Kingdom, Norway, Sweden, Finland dan banyak lagi.

 

Wiebe Wakker

 

Wiebe Wakker

 

Projek ‘Plug Me In’ ini merupakan projek “crowdfunding”. Selain bergantung kepada penaja yang memberi sumbangan dari segi kenderaan, alat ganti kereta, kamera, dan sebagainya, Wiebe menjelaskan bahawa projek pengembaraan ini boleh dikatakan 100 peratus bergantung kepada bantuan masyarakat setempat untuk memberikan beliau keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan sumber elektrik untuk mengecas kenderaan.

 

“Di laman web http://www.plugmeinproject.com/start/#6 yang juga dibangunkan atas sumbangan penaja, ruangan untuk orang ramai menderma dalam bentuk wang kepada saya turut disediakan. Orang ramai yang menyumbangkan wang akan mendapat pulangan mengikut jumlah yang diberikan. Antaranya ialah saya akan menjadi pemandu peribadi anda untuk sehari jika anda menyumbangkan €75 (RM 378) kepada saya”, kata beliau.

 

Wiebe Wakker

 

 

Jika tiada yang membantu, bagaimana beliau dapat meneruskan perjalanan?

 

“Jika saya tak dapat tempat tidur, saya akan tidur dalam kereta. Jika saya tak dapat tahan lapar, dengan muka tak malu saya akan meminta tolong pada orang ramai untuk memberikan saya makanan” kata beliau.

 

Ya, mungkin bagi kita orang Asia tidak biasa dengan budaya meminta secara percuma dari orang lain, tetapi lain pula bagi orang Eropah. Dalam pengembaraan ini, beliau bergantung kepada internet untuk mendapatkan bantuan tempat tinggal, makanan dan tenaga elektrik menerusi laman web dan akaun “Facebook” https://www.facebook.com/PlugMeIn/ dan “Instagram” beliau.

 

Wiebe Wakker

 

Jika anda melayari laman web plugmeinproject.com, anda akan dapati laluan yang dilalui oleh pengembara muda ini berbentuk “zigzag”. Menurut beliau, laluan dilalui beliau bergantung kepada bantuan yang diberikan.

 

“Sekiranya bantuan yang mahu diberikan berada sedikit keluar dari trek saya, saya tiada pilihan dan harus pergi mendapatkan bantuan” kata beliau.

 

Wiebe Wakker

 

Wiebe ini bukan sahaja jiwa kental, muka pun tebal juga. Beliau pernah ‘walk-in’ aja ke lobi Hotel lima bintang serata dunia, dan minta penginapan hanya menggunakan air liur!

 

Selain tinggal di rumah orang, beliau juga mampu tinggal di hotel bertaraf lima bintang secara percuma! Antara strategi yang digunakan beliau adalah menjual popularitinya di laman sosial. Wiebe berkongsi skrip ringkas yang sering digunakannya, “Tumpang tanya encik, boleh encik berikan satu bilik penginapan buat saya malam ini? Saya akan sebutkan nama hotel ini dalam akaun laman sosial saya dan seluruh masyarakat dunia yang mengikuti projek ini akan mengenali anda”.

 

Boleh tahan juga kelakar mat saleh ini, tetapi kami sangat kagum dengan semangat dan kekentalan beliau.

 

WIEBE WAKKER

 

Dalam manis, pasti ada cabaran yang terpaksa diharungi…..

 

Apabila di tanya mengenai cabaran dan halangan yang ditempuhi sepanjang pengembaraan projek ini, Wiebe menjelaskan “Setiap kilometer yang saya lalui adalah cabaran kerana saya tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku di hadapan memandangkan saya berada di negara orang”.

 

Beliau menceritakan bahawa beberapa minggu sebelum sampai di Malaysia, dugaan datang satu demi satu. “Bermula dengan masalah kecil apabila ‘coil spring’ kenderaan ini patah, kemudian kenderaan saya di tahan di Bangladesh oleh kastam, dan masalah menjadi lebih kronik apabila alat pengecas kenderaan rosak akibat litar pintas”.

 

Wiebe Wakker

 

Wiebe juga diberi tawaran oleh salah satu syarikat petroleum terkemuka di Malaysia yang ingin membantunya untuk sampai ke Australia, jadi beliau terpaksa berpatah balik dari Johor Baru ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berjumpa dan berbincang dengan syarikat tersebut. Ketika sudah berada di Kuala Lumpur, tiba-tiba beliau mendapat berita bahawa syarikat tersebut menukar fikiran dan tidak boleh membantu.

 

Walaubagaimanapun, Wiebe berkata beliau tidak pernah rasa keseorangan apabila dia sentiasa mendapat pertolongan oleh masyarakat luar secara “online” mahupun “offline” untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi untuk menjayakan projek ini.

 

Wiebe wakker

 

Saya banyak belajar tentang kehidupan dan budaya di setiap tempat yang saya lawati. Pengalaman saya di satu negara rahsia, (kami tak mahu timbulkan isu perkauman), saya dapati mereka lebih cenderung untuk membantu orang kaya dan berkedudukan. Yang miskin, kelaparan, tak berduit macam saya ni memang tak ditolongnya” Weibe berkata dengan penuh sinis.

 

“Lain pula orang Asia, mereka lebih membantu orang yang dalam kesusahan. Kerana itu, saya sangat kagum dan bangga dengan orang-orang Asia” kata beliau lagi.

 

wiebe wakker

 

Ada yang berbasikal, ada yang bermotosikal menjelajah serata dunia. Jadi rakyat Malaysia, apakah kita cukup gila untuk menjelajah bumi indah ini tanpa duit sesen pun? Careta pasti dan yakin, Malaysia boleh!

 

Tapi sebelum nak orang tolong kita apabila kita menjelajahi dunia menggunakan “skateboard” atau kasut roda nanti, apa kata kita tolong Mat Saleh yang sedang dalam pengembaraan beliau. Anda boleh menghulurkan bantuan kepada Wiebe di laman web http://www.plugmeinproject.com/start/#6