Kereta Proton Wira meletup ketika mengisi petrol, lelaki nyaris maut

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Buletin TV3
Seorang lelaki nyaris maut apabila bahagian tangki petrol keretanya tiba-tiba meletup dan terbakar ketika sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Repoh, di Kangar pada Jumaat.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.10 petang dimana mangsa yang berusia dalam lingkungan 40an itu sedang berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol pada kereta Proton Wira Aeroback.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang berada di salah sebuah pam untuk mengisi petrol pada keretanya.

“Tatkala pengisian petrol sedang dilakukan, dengan tiba-tiba bahagian tangki kereta itu meletup sehingga mengakibatkan kereta mangsa dijilat api pada keseluruhan kereta.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat percikan serpihan kaca keretanya yang meletup dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh kakitangan stesen minyak berkenaan sekitar 4.25 petang selepas 15 minit kerja pemadaman dilakukan mereka.

“Berdasarkan maklumat siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis pula, mereka mendapati bahawa punca kebakaran atau cetusan api itu bermula di bahagian kiri tempat duduk hadapan penumpang.

“Malah, pihak bomba turut mengesyaki bahawa cetusan api ini adalah dari tindak balas sampel yang diambil iaitu sebuah telefon bimbit dengan wap petrol yang berada di dalam kereta itu sehingga tercetusnya ‘spark’ percikan api awal yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kiri tersebut.

“Selain itu, pihak bomba juga mengambil sampel pengecas telefon bimbit dan rokok di tempat yang dijumpai di bahagian kiri tempat duduk penumpang hadapan itu,” katanya.

Beliau berkata, setalkat ini kebakaran adalah disebabkan kemalangan semata-mata dan tiada unsur jenayah ditemui.

Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap JBPM Negeri Perlis berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

Kebakaran turut membabitkan kerosakan bahagian bumbung stesen minyak berkenaan.

 

BuletinTV3