Kereta Asean? Hmmm …

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Awal bulan lalu, Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kepada Bernama bahawa pengstrukturan semula Proton mungkin boleh menghidupkan kembali projek kereta Asean.

Beliau seterusnya berkata untuk projek itu dimulakan, Proton perlu mendapat persetujuan dari semua negara Asean. “Ia adalah satu konsep yang bagus tetapi banyak isu yang perlu dipersetujui.

Ia juga memerlukan kerjasama yang tinggi,” tambah Tok Pa. Beliau kemudian berkata lima tahun adalah satu masa yang sesuai untuk projek itu dimulakan.

“Lima tahun ialah masa yang yang mencukupi untuk projek ini dimulakan,” ujar Tok Pa di Forum Khazanah Megatrends 2017.

Bagi saya, Tok Pa adalah antara menteri yang saya hormati kerana ketegasan dan ketelusan beliau, dan juga kerana beliau memang bersifat marhaen di samping rakyat.

Saya pernah berpeluang mengikuti beliau semasa di Jeli dan beliau turun melawat dari satu rumah ke satu rumah di kawasan itu.

Mungkin itu normal, kata ramai tetapi yang tidak normal ialah beliau mampu bercerita kepada saya siapa keluarga itu dan apakah latar belakang mereka. 

Ini bermakna Tok Pa memang mengenali mereka dan selalu melawat mereka.

Tok Pa juga tidak begitu hirau akan benda keduniaan kerana kenderaan beliau di Jeli cuma sebuah Hyundai Santa Fe yang lama dan memang benar-benar digunakan beliau untuk ke hulu dan ke hilir. Saya kira, trak pikap saya lebih mewah dari Santa Fe beliau.

yokohama thailand
Pusat R&D tayar Yokohama di Thailand

Namun begitu, projek kereta Asean ini, pada hemat saya, ialah satu projek yang sangat besar dan tak perlu dibangkitkan lagi selagi tidak ada usaha kukuh.

Seperti semua sudah maklum, jenama asing sudah lama bertapak di negara-negara Asean dan mereka sudah melabur berbillion RM di sana. 

Thailand kini menjadi Detroit untuk Asia, di mana ia menjadi pusat R&D dan pengeluaran trak pikap saiz sederhana untuk global. Ia juga menjadi pusat R&D dan pengeluaran tayar terbesar di Asean, dan mempunyai kemudahan litar ujian seperti Yokohama di dalam gambar di atas.

Thailand menjadi pengeksport kenderaan terbanyak ke Australia. Malah, Thailand mengeksport lebih banyak kenderaan dari untuk jualan domestik.

asean car

 

Jadi sekiranya kita sudah pukul canang untuk menghasilkan kenderaan Asean, pastinya pemain-pemain asing yang sudah lama bertapak di sini akan merasa tidak senang duduk dan jika kita terlalu berani, mereka akan angkat kaki untuk ke Thailand dan Indonesia di mana pasaran domestik mereka jauh lebih besar dari Malaysia.

Saya pasti niat Tok Pa memang baik cuma telinga saya pedih diperli rakan-rakan di negara-negara luar. Dahulu, mereka memang tabik spring kepada kita kerana kita mempunyai segalanya tetapi kini, media mereka sendiri lebih banyak ke luar negara untuk mencuba kenderaan baharu berbanding dengan media tempatan kita. 

Apa kata kita lihat Proton dahulu ataupun Modenas, dan sambil itu kita naikkan jenama-jenama tempatan yang lain atau vendor kita kerana jika ada pun projek kenderaan Asean itu, saya kira kemungkinan besar vendor akan datang dari Thailand dan Indonesia juga.

Indonesia juga sudah semakin berkembang, terutama di dalam bidang penghasilan motosikal. 

Dengan pasaran sebanyak 6 juta unit motosikal setahun, kita sudah boleh lihat bagaimana Honda menggunakan Indonesia sebagai hab untuk penghasilan CBR 250 RR (gambar atas) untuk US dan Eropah.

Mungkin kita perlu mencapai tahap sebegitu dahulu sebelum kita berani menyebut projek kereta Asean kerana secara hakikatnya, kita tidak ada apa-apa sangat untuk dibanggakan di luar sempadan negara tercinta kita ini.

Kita masih lagi mengejar jualan domestik sedangkan Indonesia dan Thailand sudah mengira jumlah yang dieksport. 

Kita juga belum lagi menjadi pusat R&D untuk apa-apa pun kecuali jenama tempatan, yang 90 peratus dijual di dalam negara.

Malah kita sendiri sudah tidak memiliki jenama tayar bertaraf antarabangsa, tidak seperti Indonesia dengan GT Radial (Gajah Tunggal) dan Giti Tires mereka. 

Thailand sendiri boleh berbangga dengan jenama roda aloi Lenso yang sudah jauh masuk ke pasaran global, termasuk jenama-jenama akeseori 4X4 mereka yang popular di US dan Australia. 

Bukan niat saya untuk merendahkan negara kita tetapi saya cuma risau kita ini kembali ke perangai lama.

Belum duduk sudah berlunjur.

Biarlah alang-alang berminyak biar licin.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut pengumuman dari Nathaniel Madarang, Presiden untuk GoodYear Asia Pasifik, tindakan itu…
Berita Domestik
Malaysia yang juga akan menjadi ibu pejabat Stellantis untuk Asia Pasifik turut menjadi pusat…
Berita Domestik
Untuk pasaran Malaysia, kumpulan itu sekarang diwakili oleh Peugeot sahaja dan bulan November lalu…