Sudah semestinya hidrogen dilihat sebagai salah satu alternatif penjana kuasa yang dapat membantu mengurangkan jejak karbon pada alam sekitar selain daripada kuasa bateri litium-ion.
Berikut merupakan beberapa faktor yang menyebabkan minat terhadap kenderaan hidrogen;
- Kebimbangan Alam Sekitar
Kesedaran dan kebimbangan tentang perubahan iklim dan pencemaran udara kini turut semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, terdapat kesedaran yang semakin meningkat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Oleh itu, penggunaan sel bahan api hidrogen dapat menghasilkan pelepasan sifar pada titik penggunaan, menjadikan kereta hidrogen menarik untuk mengurangkan jejak karbon.
- Kemajuan dalam Teknologi
Terdapat kemajuan ketara dalam teknologi sel bahan api hidrogen pada industri automotif, menjadikannya lebih cekap, boleh dipercayai dan menjimatkan kos.
Penambahbaikan itu juga telah menjadikan kereta hidrogen lebih sesuai dan menarik kepada pengguna dan pengeluar automobil.
- Sokongan Kerajaan
Kini terdapat banyak kerajaan di seluruh dunia sedang melaksanakan dasar dan insentif untuk menggalakkan penggunaan kenderaan sifar pelepasan.
Perkara ini turut termasuk subsidi, insentif cukai dan pelaburan infrastruktur yang menyasarkan kenderaan sel bahan api hidrogen secara khusus.
- Jarak gerak dan Masa Mengisi Bahan Bakar
Kereta hidrogen turut menawarkan jarak gerak yang lebih panjang dan masa mengisi semula yang lebih pendek berbanding kenderaan elektrik (EV) yang hanya bergantung pada teknologi bateri.
Perkara tersebut dapat menangani kebimbangan tentang jarak gerak dan masa pengecasan yang lama, menjadikan kereta hidrogen lebih praktikal untuk perjalanan jarak jauh.
- Kepelbagaian Sumber Tenaga
Hidrogen boleh dihasilkan daripada pelbagai sumber, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan suria, serta daripada gas asli atau biojisim.
Kepelbagaian kaedah pengeluaran tersebut turut menyumbang kepada kepelbagaian tenaga dan daya tahan dalam sektor pengangkutan.
- Pelaburan Industri
Pengeluar kereta seperti Toyota, Hyundai, dan Honda, juga telah melabur dalam teknologi sel bahan api hidrogen dan mengeluarkan kenderaan hidrogen yang bertujuan untuk komersial.
Pelaburan tersebut menandakan keyakinan terhadap potensi hidrogen sebagai alternatif yang berdaya maju kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman tradisional dan EV berkuasa bateri.
Berikut merupakan antara model yang telah dibangunkan serta dihasilkan dengan menggunakan teknologi sel bahan api hidrogen;
-Toyota Mirai yang kini telah memasuki generasi kedua merupakan sebuah sedan mewah dengan jarak gerak sehingga 640km dan dijual dengan harga bermula dari $49,500 (RM230,000).
-Selain itu, Hyundai turut menghasilkan Hyundai Nexo, sebuah SUV dengan janaan hidrogen yang mempunyai jarak gerak sehingga 600km dan dijual dengan harga bermula $60,135 (RM280,000).
Secara keseluruhannya, gabungan keprihatinan terhadap alam sekitar, kemajuan teknologi, sokongan kerajaan, infrastruktur dan pelaburan industri telah membawa kepada lonjakan minat terhadap kereta hidrogen.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai salah satu penyelesaian yang bakal menjanjikan untuk pengangkutan yang mampan.
SUMBER : GREENCARS