Kenapa Perodua patut ada varian Sport

oleh HEZERI SAMSURI|

 

Perodua, pengeluar kenderaan nombor satu negara memang sangat mahir dalam menghasilkan kenderaan-kenderaan mengikut kehendak pasaran.

Bermula dari sebuah kenderaan yang cukup basic, Kancil, kini Perodua diberi kepercayaan oleh rakan teknikal mereka, Daihatsu untuk merekabentuk sendiri "upper body" atau bahagian atas kenderaan mereka.

Perodua juga berjaya menaikan nama produk aksesori mereka sendiri, Gear Up yang telah siap sedia untuk dijual apabila model baharu dilancarkan.

Ini ialah sesuatu yang Proton masih tidak dapat lakukan, walaupun jenama R3 mereka lebih kuat dari jenama Proton sendiri.

 

 

Namun begitu Gear Up lebih dilihat kepada aksesori-aksesori biasa, dan barangan  Gear Up untuk Myvi generasi ketiga membuktikan bahawa ia lebih kepada kosmetik dan kepingan krom melampau yang Careta dapat tahu turut tidak diperakui oleh bahagian rekabentuk Perodua sendiri.

Dua tahun lalu Perodua membawa beberapa media (termasuk Careta) ke Jepun untuk melihat kesesuaian sebuah model sporty Daihatsu dipasang di Malaysia dan dijadikan sebuah Perodua.

Ia adalah cadangan sebagai "hero-car" untuk Perodua, tetapi sayangnya projek itu tidak diluluskan. Sehingga kini, "fans" atau peminat Perodua tidak mempunyai idola atau model yang boleh dibanggakan.

Dan pastinya barangan Gear Up  hanya menjerumus kepada kelengkapan yang praktikal (seperti boot tray dan sebagainya), atau krom-krom yang digemari oleh pakcik dan makcik.

 

 

Pasukan rekabentuk dan R&D Perodua dikatakan berjuang mati-matian dengan Daihatsu untuk mendapatkan rekabentuk yang lebih dinamik untuk Myvi generasi ketiga ini.

Cukup sayang jika ia dibiarkan begitu dan tidak ada usaha-usaha untuk memastikan bentuk sporti Myvi ini kena dengan prestasinya.

Selepas memandu uji model terbaharu ini beberapa hari, ia memang mempunyai potensi yang besar untuk diperbaiki dari segi handling dan juga prestasi enjin. Secara dasar, ia sudah mempunyai pengendalian yang baik tetapi masih ada ruang untuk menjadikan ia sebagai sebuah hothatch sebenar.

Kerana itu Careta merasakan bahawa Perodua patut memikirkan varian sport yang mampu menarik minat lebih ramai lagi pembeli.

 

 

Careta meminta pakar rendering automotif yang terkenal di Malaysia dan juga di dunia, Theophilus Chin untuk membuat lakaran komputer akan bentuk sebuah Myvi generasi ketiga yang telah diberi sentuhan sporty.

Theo telah memberikan Myvi generasi ketiga ini sistem gantungan sporty yang merendahkan Myvi ini sebanyak 15 mm, roda aloi bersaiz 17-inci dengan tayar low-profile, bumper depan dan belakang dengan ciri aerodinamik untuk stabiliti, efek "blacked-out" untuk gril, lampu hadapan dan cermin sisi, muncung ekzos berkrom dan akhirnya dikenakan pula warna kuning perlumbaan.

Nyata Myvi ini terus nampak gah, dan ia patut diberikan sedikit sentuhan teknikal agar ia menghasilkan lebih sedikit kuasa kuda dan tork. Ini boleh dilakukan dengan cara mudah - penalaan sistem ECU. 

Dan akhir sekali, sudah sampai masanya Perodua kembali aktif di arean motorsports kerana tidak ada hadiah paling baik kepada peminat-peminat jenama Perodua selain dari melihat sebuah Perodua memenangi perlumbaan.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perodua nampaknya sekali lagi berjumpa dengan resipi yang tepat kerana sudah lebih 20,000 tempahan…
Telah Diuji
  Perodua melancarkan Myvi generasi ketiga mereka bulan lalu dan ramai media telah memuat-naik…
Tekno Careta
Careta berani katakan apa yang membuatkan ramai rakyat Malaysia terlopong besar - sistem Advanced…