KENALI 5 MODEL MOTOCROSS PALING RARE - MANA SATU PILIHAN ANDA?

oleh Afandi Che Muhamad|
Sebut sahaja motosikal lasak atau lebih dikenali sebagai motocross, pasti ramai daripada kita terbayangkan aksi tunggangan di trek offroad yang berlumpur.

Pelbagai jenama motocross dapat dilihat. Hari ini, Careta ingin mengajak anda untuk mengenali beberapa nama model motocross klasik dengan nilai estetika tersendiri.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kebanyakan daripada model motosikal ini memiliki reka bentuk yang unik selain boleh dianggap sebagai rare (jarang dilihat) terutamanya oleh generasi masa kini.

1.    1971 Hodaka 100 Super Rat

Terlebih dahulu diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dengan enjin bersesaran 90cc pada tahun 1964. Motosikal digelar Hodaka Ace 90 ini telah mendaki puncak populariti yang begitu mendadak sebelum syarikat pengeluar bersama bagi model berkenaan, Pacific Basin Trading Co. (Pabatco) dan Hodaka memilih menukar namanya kepada Hodaka 100 Super Rat pada tahun 1969 susulan langkah pemasangan nadi enjin baharu bersesaran 100cc.

Harus diketahui, model ini sepatutnya diberi nama sebagai Ace 100 MX. Pemilihan nama 'Super Rat' itu bermula selepas seorang staf di Pabatco, Roger Philips bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur sarkastik mengenai prototaip model tersebut yang dicat dengan huruf SR pada bahagian kotak udara.

Ketika ditanya mengenai terjemahan singkatan perkataan itu, staf yang lain membisu sebelum Philips kemudian berseloroh dengan memanggil model itu sebagai Super Rat. Terkejut dengan kenyataan Philips, seorang staf lain tampil menjelaskan kepadanya bahawa SR merupakan definisi kepada singkatan perkataan Special Racer.

Peringkat awal kemasukan Hodaka 100 Super Rat ke AS, Pabatco dan Hodaka sepakat meletakkan harga permulaan serendah AS$495 (RM1,954) seunit.

Cuba teka apa yang terjadi selepas itu? Model ini laris terjual seperti goreng pisang panas! Untuk rekod, sebanyak 18,000 unit Hodaka 100 Super Rat terjual dari tahun 1970 hingga 1973. Laris bukan?

Maka, tidak menghairankan jika model ini banyak digunakan dalam siri perlumbaan motosikal lasak (motocross) di sana ketika itu. Malah ada antara pelumba ketika itu seperti Bob Rutten, Tommy Croft, Brad Lackey, Cordis Brooks, Jim Pomeroy, Tom Rapp, Gary Bailey, Chuck Sun dan Jody Weisel beranggapan bahawa bagi memenangi perlumbaan, mereka perlu menunggang Hodaka 100 Super Rat.

Malangnya, nasib tidak menyebelahi Hodaka 100 Super Rat apabila syarikat pengeluar motosikal berkenaan jatuh muflis pada tahun 1978.

2.    1975 CZ 250 Falta Replica

Pada tahun 1975, peminat dunia pemotoran dikejutkan dengan kemasukan model CZ 250 Falta Replica. Unit motosikal dari Republik Czech!

Jangan tidak tahu. Penghasilan motosikal buatan berkenaan mengambil inspirasi daripada model sebenar digunakan pelumba motosikal lagenda Republik Czech sendiri, Jaroslav Falta dalam perlumbaan motosikal dunia kategori 250cc pada tahun 1974.

Dalam perlumbaan berkenaan, Falta muncul naib juara selepas tercicir enam mata di belakang juara, Gennady Moiseev.

Masih mengekalkan ciri asal daripada model ditunggang Falta, motosikal ini memiliki tali kulit pemegang tangki (buatan tangan), rim dan suspensi aloi jenis air shock. Model CZ 250 Falta Replica tersebut dijual serendah AS$1,490 (RM5,882) ketika itu (1975).

Sama seperti Hodaka 100 Super Rat keluaran tahun 1971, model berkenaan turut gagal meneruskan survival pada tahun 1977 berikutan kelahiran beberapa model motosikal baharu dari negara Matahari Terbit (Jepun).

3.    1978 Yamaha HL500

Menunggang seunit Yamaha HL500 keluaran tahun 1978 ini boleh diibaratkan seperti menunggang lembu rodeo.

Bercerita serba sedikit mengenai model ini, aspek reka bentuk Yamaha HL500 dihasilkan menerusi cetusan idea pereka industri terkenal ketika itu, Sten Lundin dan Torsten Hallman.

Justeru, wajar nama mereka berdua terpahat sebagai sebahagian daripada nama model berkenaan. Jika diteliti, huruf HL itu membawa maksud Hallman dan Lundin.

Memiliki lengan ayun aluminium, suspensi jenis air shock jenama Fox dan batang fork jenis teleskopik terbalik jenama Simons di bahagian hadapan, Yamaha HL500 hanya merekodkan berat sekitar 247 paun (112kg).

Tahukah anda, Yamaha HL500 telah digunakan pelumba motosikal era 70-an, Bengt Aberg pada kejuaraan Grand Prix Motosikal Lasak Dunia di Luxembourg pada tahun 1977.

Pada perlumbaan berkenaan, Aberg diumumkan sebagai juara bagi kategori 500cc.

4.    1967 Greeves 250 Challenger

Nah! Motosikal dua lejang ini begitu unik. Lihat sahaja pada seni reka bentuk dimiliki model Greeves 250 Challenger keluaran tahun 1967 ini.

Cukup menggamit nostalgia zaman dahulu kala. Perhatikan sahaja pada bahagian suspensi model ini. Berbeza sama sekali dengan batang fork jenis teleskopik yang banyak digunakan pada zaman sekarang.

Motosikal ini menggunakan suspensi jenis batang bersambung (leading-link). Selain kuat, penggunaan batang fork jenis ini boleh dikatakan memiliki beberapa kebaikan berbanding teleskopik sebagai contoh ia lebih susah untuk mengelongsor terutamanya ketika melalui permukaan berlumpur.

5.    1966 Matchless 500 G85CS

Biar betul? Motosikal ini langsung tidak kelihatan seperti motosikal lasak (motocross). 

Jika itu tanggapan anda, anda salah. Ia sememangnya motocross bahkan turut digunakan dalam perlumbaan suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, bahagian casis motosikal ini tidak jauh berbeza dengan unit sama didapati pada motosikal Norton. Cuma ia memiliki enjin dipadankan bersama karburetor jenama Amal GP, batang fork lebih ringan dan penampilan lebih kemas berbanding model Norton.

Pun begitu, motosikal ini disifatkan kurang berjaya baik dari aspek penjualan mahu pun dalam perlumbaan.

Berikut merupakan senarai model motocross lagenda yang sempat Careta kongsikan kali ini. Mana satu pilihan anda?

Berita Berkenaan

Tekno Careta
 C-ABS yang membawa maksud Combined Anti-Lock Braking System.   Seperti yang diketahui ramai, ABS…
Gaya Hidup
Individu yang dimaksudkan ialah Mohd. Shukri Samar, 43.
Berita Domestik
BMW Motorrad Malaysia kini telah memperkenalkan empat motosikal premium pada acara BMW Motorrad…