Kembara KL-Sekinchan naik Porsche Cayenne facelift

oleh Mohamad Hanif|
Porsche Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu trip The Cayenne Great Escape jarak dekat dari Kuala Lumpur menuju ke Sekinchan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pengamal media serta individu pempengaruh tempatan untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan SUV Cayenne facelift versi pemasangan tempatan yang telah dilancarkan sebelum ini.

Untuk makluman, Porsche Cayenne facelift datang standard dengan enjin bentangan V6 3.0 liter turbo yang mampu menghamburkan kuasa 348 hp dan 500 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
 

cayenne


Sementara ruang kabin pula mendapat naiktaraf di mana susun atur papan pemuka kini lebih mirip kepada Porsche Taycan, dengan kelengkapan seperti skrin tengah 12.3 inci, skrin kluster digital 12.6 inci, serta sistem bunyi Bose Surround.

Selain daripada itu, pembeli juga turut mendapat kelengkapan standard yang lebih menyeluruh, termasuklah Kawalan Jelajah Adaptif, pakej Sport Chrono, pintu tutup lembut, serta menyediakan opsyen naik taraf sistem infotainmen untuk penumpang belakang.

 

Pemanduan

cayenne


Kami memulakan perjalanan dari The Club Saujana tepat jam 9.30 pagi, dan untuk permulaan penulis memulakan tugas sebagai penumpang belakang.

Daripada tempat duduk penumpang, penulis dapat merasakan talaan terhadap sistem suspensi Porsche Cayenne ini cukup selesa tanpa memberikan sebarang kekasaran dan kebisingan yang ketara.

Dalam hati: "eh, not bad juga Cayenne CKD ni!"

 

cayenne


Setelah hampir sejam berehat, tiba giliran penulis untuk memegang roda stereng.

Bermula dari mod pemanduan Normal, terdapat sedikit sela masa yang diperlukan untuk Cayenne bergerak dari pegun, namun ia bukanlah satu masalah yang besar, terutama untuk SUV yang selalu digunakan untuk membawa penumpang.

Berikan ia sedikit masa, dan Cayenne boleh bergerak dengan lebih lancar dan bertenaga.

Hanya beberapa kali sahaja penulis bertukar kepada mod Sport dan Sport Plus, kerana berpendapat mod pemanduan Normal sahaja sudah cukup memadai.
 

cayenne


Sistem suspensi adaptif dengan teknologi 2-chamber, 2 valve itu sememangnya berkhidmat dengan cemerlang, memastikan SUV ini sentiasa lekat di laluan berselekoh, dan dalam masa yang sama bisa membuatkan penumpang sebelah tidur dengan lena.

Apa yang penulis dapat rasakan sepanjang pemanduan jarak singkat tersebut ialah suasana di dalam ruang kabin yang senyap, walaupun ketika enjin dikerah keras untuk memotong kereta hadapan yang sedang mencari rumah sewa di tengah lebuh raya.

Bunyi bising enjin tersebut kedengaran jauh dari telinga dan selepas mencapai kelajuan cruising tiga angka, ia menjadi semakin sayup-sayup dan hilang di celah-celah alunan muzik rock yang dialunkan menerusi pembesar suara Bose.
 

cayenne


Respons stereng juga sangat memuaskan hati, kerana ia patuh sahaja pada setiap arahan pemandu untuk bergerak dengan lincah atau sekadar menikmati pemanduan santai.

Daripada sudut pandang pemandu, susun atur papan pemuka Cayenne sememangnya mengingatkan kita kepada Porsche Taycan, dengan tombol gear yang lebih kecil dan agak sukar untuk membiasakan diri pada mulanya.

Seperkara yang penulis kurang gemar ialah posisi papan pemuka yang agak tinggi, dan jika tempat duduk tidak ditinggikan, agak sukar untuk mengagak jarak di hadapan terutama ketika sedang melalui jalan yang agak sempit.
 

cayenne


Sampai sahaja di Sekinchan, kami dibawa menempuh laluan bertanah untuk menilai sejauh mana kemampuan Cayenne menawan jalan soft-road yang menjadi satu kelaziman di mana-mana kawasan luar bandar.

Kesimpulan yang boleh didapati: Cayenne mampu menawarkan keselesaan tersendiri biarpun tayar terpaksa bersilat menempuh kehadiran lubang dan batu-batu di laluan tersebut.

Di kawasan destinasi di tengah-tengah bendang sawah padi yang panas terik itu, Porsche Malaysia turut menyediakan sebuah lagi Cayenne yang dilengkapi dengan khemah bumbung.
 

cayenne


Dapatlah merasa saat merehatkan mata daripada skrin laptop buat seketika waktu, cuma cuaca panas membahang menyebabkan penulis terpaksa mencari payung dan kerusi untuk berteduh.

Untuk makluman, khemah bumbung berharga RM40,000 ini boleh didapati menerusi pakej Porsche Tequipment khusus untuk para pemilik Porsche menikmati aktiviti luar serta mencipta kenangan terindah bersama-sama ahli keluarga tercinta.

Selain daripada Porsche Cayenne, khemah tersebut juga boleh dipasangkan pada model Porsche seperti 911 dan juga SUV Macan.

Selepas selesai 'bermain-main' di tengah bendang, kami dibawa menuju ke sebuah restoran tepi laut untuk menikmati juadah makan tengah hari melalui jalan kampung.
 

cayenne


Di sini, ia menyediakan laluan sempit yang menguji keupayaan pemandu untuk mengendalikan Porsche Cayenne, selain perlu berhati-hati dengan struktur jalan yang tidak rata dan (sebilangan kecil) orang kampung yang tidak suka memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal.

Sekali lagi, penulis memuji sistem suspensi Cayenne kerana berkhidmat dengan baik untuk memastikan keselesaan penumpang sebelum dan selepas makan, sebelum kami keluar semula ke jalan besar menuju ke Shah Alam.

Secara kesimpulannya, Porsche Cayenne merupakan sebuah SUV 'all-rounder' yang boleh dipertimbangkan dan boleh diharap, terutama jika anda mempunyai kemampuan memiliki sebuah model pada harga melepasi julat setengah juta ringgit.
 

cayenne


Ia menawarkan keupayaan enjin yang bertenaga, lancar, dan jimat minyak, serta kemampuan untuk memastikan perjalanan yang lebih selesa dan senyap, serta tidak ketinggalan ciri-ciri moden yang kini wujud pada sebuah SUV pemasangan tempatan.

Mungkin tidak salah untuk penulis sifatkan Cayenne baharu ini sebagai sebuah 'Taycan' petrol yang jauh lebih praktikal.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa, kerjasama itu memupuk dialog dengan jurugambar wanita…
Berita Domestik
Cayenne CKD Kulim ini didatangkan dengan nadi bentangan V6 3.0 liter turbo yang mampu menjana 348…
Berita Global
Daripada jumlah tersebut, 36,574 unit telah diserahkan kepada pelanggan di Eropah, dengan kenaikan…