Kelas teratas, harga terendah

oleh ONNY IZWAN|

Latarbelakang Einspritzmotor Klasse

Ini merupakan model E-Class terbaharu (generasi ke-5) yang hadir dalam bentuk CKD atau dipasang sepenuhnya di Malaysia. Pada waktu model CKD ini dilancarkan pada bulan April lepas, terdapat tiga varian yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia, iaitu E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive. Dari ketiga-tiga varian tersebut, model E 200 Avantgarde, yang kami pandu uji, ditawarkan pada harga RM348,888 (OTR), ialah model harga terendah, sekitar RM30,000 lebih murah dari model berikutnya dan RM42,000 lebih murah dari harga asal model sama yang diimport sepenuhnya.

E200A-1

Barisan E-Class ialah model segmen D yang amat popular dikalangan eksekutif-eksekutif sedunia yang inginkan sebuah sedan mewah empat pintu yang bersaiz sederhana, iaitu lebih kecil dari model S-Class tetapi lebih besar dari model C-Class. Berbeza dari generasi E-Class sebelum ini, rangkaian model sedan empat pintu Mercedes-Benz kini direka dengan rekaan lebih mirip dari satu sama lain. 

E200A-6

Enjin yang dikongsi tiga

Enjin

Walaupun terdapat banyak perbezaan dari segi hiasan dan kelengkapan antara ketiga-tiga varian, kesemuanya menggunakan enjin yang sama, iaitu 1991cc turbo empat silinder. Namun begitu, tahap penalaan enjin berbeza, dengan varian E 200 Avantgarde mencatatkan kuasa kuda sebanyak 184 hp pada 5500 rpm dan tork sebanyak 300 Nm pada 1250 rpm.  

 

 

Apakah perkara-perkara penting yang anda perlu tahu tentang kereta ini?

Walaupun ia adalah varian harga terendah dalam barisan E-Class, namun tiada terdapat apa-apa tanda visual (selain dari lencana E 200) jelas membezakan ia dengan varian E-Class lain. Ini adalah suatu perkara yang baik kerana jika anda tidak berupaya untuk membeli model E-Class lain (yang lebih mahal), tiada apa-apa tanda ketara pada badan kereta yang dapat membezakan varian ini dengan varian yang lain. Malah, bentuk muncung gril E 200 Avantgarde ialah dari jenis sport gril, yang berkelihatan lebih moden dan segak dari gril Mercedes yang berupa tradisional. Dari sudut belakang, bentuk E 200 Avantgarde mengingatkan kami pada model S-Class, suatu penampilan yang amat berprestij.

E200A-2

Dan bersesuaian dengan perkembangan penggunaan enjin berkapasiti kecil dan berkuasa turbo dikalangan pengeluar-pengeluar kereta dunia masa kini, enjin berkod M 274 DE 20 AL yang digunakan adalah enjin berkapasiti kecil yang canggih dari segi kejuruteraannya, yang berupaya menghasilkan prestasi yang setanding dengan enjin berkapasiti lebih besar. 

E200A-7

Disambung pada kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic, kami dapati aliran kuasa dan kelancaran penukaran gear sangat memuaskan, tidak sekalipun berasa kekurangan dari segi tork ataupun daya pecutan. Apabila dipandu pada kelajuan normal dalam kawasan bandar, kadar kelajuan pusingan enjin jarang bertambah dari tahap 1900 rpm. Ia juga mampu memecut dari 0-100km/j dalam hanya 7.7 saat, suatu kadar pecutan yang hebat bagi kereta sebesar dan seberat 1605 kg ini. Kadangkala, sewaktu memecut dan memotong, kami boleh terlupa yang enjin yang dipakai hanya ada empat silinder dan bukan enam silinder seperti yang selalu digunakan pada kereta eksekutif buatan Jerman.

E200A-8

 

Apakah antara ciri-cirinya yang menarik?

Hiasan ruang dalaman E 200 Avantgarde, sama seperti rekabentuk badannya, tidak banyak berbeza dari varian E-Class lain. Ini bermakna anda akan dapat menikmati hiasan papan pemuka yang serba mewah, yang boleh dikatakan menjadi kebanggaan model E-Class terbaharu. 

E200A-4

E200A-9

Kombinasi bahan-bahan hiasan yang diperbuat dari kulit, logam, plastik dan kayu venir berkilat sentiasa memenuhi dan menawan mata pemandu dan penumpang pada setiap masa. Yang kurang menarik ialah bahan yang dibuat dari permukaan gelap pada bahagian tengah yang kami dapati senang tercalar. 

E200A-5

Terdapat juga ciri lampu keliling yang menyelubungi bahagian papan pemuka dan pintu. Lampu ini sama seperti yang dinyalakan dalam ruang penumpang kapalterbang, dan anda boleh memilih antara 64 kombinasi warna-warni untuk menghiasi ruang keliling anda. 

E200A-10

Tambah pula, setiap kali anda duduk pada kerusi pemandu, pandangan anda akan tertumpu pada paparan dua skrin warna gergasi berukuran 12.3 inci yang membuatkan anda berasa seolah-olah anda sedang berada dalam sebuah kereta yang bakal dibuat pada zaman akan datang. 

E200A-11

Oleh kerana saiz skrinnya yang besar, anda boleh melihat dengan sekaligus semua maklumat-maklumat yang penting sewaktu memandu dengan mudah dan amat jelas, tidak kira pagi atau malam.

Maklumat yang dipaparkan pada skrin-skrin ini boleh diubahsuai mengikut kemahuan pemandu, dan kami dapati butang-butang kawalan yang disediakan untuk memilih maklumat-maklumat seperti stesen radio, telefon, panduan arah dan lain-lain amat mudah untuk dipelajari dan boleh digunakan semasa mengendalikan kenderaan tanpa masalah. Ini kerana pada papan pemuka ini terdapat lebih dari satu butang atau pemicit ubah yang anda boleh gunakan untuk membuat pengubahsuaian atau penukaran maklumat. 

E200A-12

Malangnya kami telah mencuba menyambung telefon Android kami pada sistem audio tetapi ia tidak berfungsi. Menurut Mercedes-Benz Malaysia, fungsi Android Auto belum disediakan untuk pasaran Malaysia. Tetapi terdapat juga fungsi Apple CarPlay yang boleh disambung pada iPhone anda tanpa masalah.

 

Adakah ia sesuai untuk kegunaan perjalanan jauh?

Seperti yang biasa kita maklum, Mercedes-Benz sememangnya sebuah jenama yang pakar untuk memberikan tahap keselesaan terbaik untuk perjalanan jarak jauh. Tetapi bagi varian E 200 Avantgarde, sedikit keselesaan tersebut telah berkurang mungkin disebabkan oleh tayar kalis pancit yang agak keras. Hentakan dari permukaan yang tidak rata atau jalan yang mempunyai bahagian yang tertimbul, kadangkala menganggu nikmat kelancaran dan kelembutan perjalanan. 

E200A-10

Ruang penumpang belakang cukup luas, sesuai untuk seorang pegawai eksekutif mahupun kaum keluarga. Dan juga terdapat penambat kerusi kanak-kanak. Tetapi kami dapati permukaan kerusi kulit Artico sedikit keras dan kaku dari balutan kerusi kulit biasa. Walaupun begitu, bentuk kerusi depan yang lebih ramping memberikan kelegaan ruang dan permandangan lapang untuk penumpang belakang.

E200A-13

Tahap penebatan bunyi sangat baik sepanjang perjalanan kami, ia berjaya mengasingkan anda dan penumpang dari dunia luar, tetapi kadangkala terganggu oleh bunyi aliran udara pendingin hawa yang agak bising jika berada pada tahap maksimum. Walaupun begitu, kedua-dua pemandu dan penumpang akan sentiasa berada dalam keadaan selesa kerana terdapat sistem kawalan iklim yang khusus bagi tempat duduk depan dan belakang.

E200A-14

Kadar penggunaan bahanapinya berbeza dari kawasan bandar dan luar bandar. Jika dipandu dengan lancar dan tertib, ia boleh mencapai kadar rasmi sekitar 6 liter/100 km tetapi angka ini meningkat dengan tinggi jika digunakan dengan kerap untuk tujuan memotong. Tetapi ini adalah kebiasaan bagi kebanyakan kereta berenjin turbo. Kadar ruang but pula adalah memuaskan bagi kereta bersaiz seperti ini, iaitu sebanyak 540 liter. Tangki bahanapinya ialah sebanyak 66 liter. Kami anggarkan harga pengisian penuh pada sekitar RM120-130. 

 

Apa pendapat Careta?

Kami tertarik dengan keseluruhan prestasi dan penampilan E 200 Avantgarde. Walaupun tidak sempurna dari semua aspek, ia tetap mampu menawarkan tahap kemewahan yang luarbiasa berbanding model generasi sebelumnya. Tidak kurang juga ciri-ciri keselamatan seperti 7 beg udara dan brek aktif yang disertakan sebagai kelengkapan standard. Mercedes-Benz Malaysia telah berjaya memberi pembeli-pembeli suatu pilihan yang menawan dalam segmen D. E 200 Avantgarde adalah kereta eksekutif yang serba lengkap pada harga yang berpatutan.

E200A-15

SaveSave

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Pertengahan tahun 2017 menjadi titik kebanggaan Mercedes-Benz Malaysia kerana ia berjaya…