Kedai tayar bergerak - pertama di Malaysia!

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk ramai pemilik, menghabiskan masa di kedai tayar bukanlah suatu perkara yang menyeronokan.

Walaupun ada yang menyediakan bilik menunggu dengan pendingin hawa, siaran TV satelit dengan saluran terhad kecuali cerita drama Kantonis dan majalah-majalah yang berusia lebih tua dari anak kita sendiri, ramai yang mengeluh kerana terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di sana.

Kerana itulah ramai yang malas untuk melakukan tyre rotation atau pergiliran tayar yang penting dalam memastikan tayar-tayar sama rata hausnya.

Melihat masalah itu sebagai suatu peluang perniagaan, Suman Mathevan dan rakan kongsinya, Dennis Melka memulakan perniagaan Mister Tyre ini.

Operasi servis tayar mobil ini bukanlah satu perkara baharu tetapi sudah wujud di Eropah. Suman mengakui idea asal memang datang dari sana dan kerana itu, ia lebih mudah untuk diadaptasikan di Malaysia.

suman

 

Operasi Mister Tyre menggunakan sebuah van panel Ford Transit yang dilengkapi dengan lantai chequered plate besi, sebuah mesin pengimbang tayar, mesin pembuka tayar/rim, mesin penjajaran roda laser, generator elektrik berkuasa diesel, mesin penyedut minyak pelincir enjin, jek hydraulik dengan had beban 7 tan, komputer diagnostik ECU kereta dan segala macam alatan khusus untuk kerja mereka.

“Kami melaburkan dalam RM350,000 untuk van dan kelengkapan sahaja,” terang Suman. 

Buat masa sekarang, Mister Tyre mempunyai 12 orang pekerja dan lima orang khusus untuk operasi mobil yang akan bergerak ke lokasi pelanggan.

Ketua mekanik ialah Visa Rao Hanumantra Rao yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun di pusat servis BMW.

Juruteknik lain mempunyai pengalaman bekerja dengan kedai tayar.

Perkhidmatan yang dilakukan oleh Mister Tyre ialah jualan tayar baharu, pemasangan tayar, penjajaran dan imbangan roda, penggiliran tayar, penghantaran bateri dan servis penukaran minyak pelincir dan penapis enjin kereta.

Semuanya dilakukan di hadapan rumah anda atau mana-mana lokasi lain yang boleh memuatkan kereta anda dan van transit mereka. 

Bayangkan sebuah pit-crew pasukan Formula 1 tiba-tiba hadir di hadapan rumah anda dan menukar tayar-tayar kereta anda, sambil anda berdiri di tepi pintu melihat dengan berpakaian singlet cap Pagoda dan kain pelikat cap Gajah Duduk, menghirup kopi 434 panas.

Ya, ia memang boleh dilakukan sekarang.

Servis tayar selalunya memakan masa di bawah satu jam. Cara-cara untuk menempah perkhidmatan mereka cukup mudah:

  1. 1Muat turun aplikasi Mistertyre (satu perkataan) di PlayStore (untuk iOS, aplikasi Mistertyre akan dilancarkan pada 7 November ini).
  2. Daftar kereta dan lokasi anda dengan memasukkan informasi yang berkaitan.
  3. Pilih perkhidmatan yang diperlukan (tayar baharu, bateri, minyak pelincir dan penggiliran tayar).
  4. Pilih tarikh dan waktu (Mister Tyre perlu enam jam sebelum tarikh dan waktu ditempah) dan mereka beroperasi 7 hari seminggu, dari jam 8.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Buat masa sekarang, Mister Tyre hanya untuk pelanggan di dalam kawasan Lembah Kelang - sejauh Sungai Buloh, bandar Klang, Cheras, Cyberjaya dan Putrajaya. 

Untuk tayar baharu, Mister Tyre menawarkan 23 jenama global. Mereka juga mempunyai empat jenama bateri dan lapan jenama minyak pelincir yang anda boleh tempah.

Harga untuk tayar baharu mereka juga sangat, sangat sangat kompetitif. Ini ialah kerana mereka mengambilnya terus dari pengedar. Kos imbangan, penjajaran dan penggiliran tayar pula bermula dari RM70. 

Mister Tyre memberi perkhidmatan untuk semua jenis kenderaan penumpang, termasuk kenderaan-kenderaan mewah seperti Mercedes-Benz, BMW, Audi, Lexus dan kenderaan-kenderaan lazim seperti dari Perodua, Proton, Honda, Toyota dan sebagainya.

mekanik

 

Pelanggan pertama mereka ialah sebuah Golf GTI dan GT86 ini ialah pelanggan ke 110 mereka sejak operasi bermula pada bulan September lalu.

Perancangan masa hadapan ialah melebarkan sayap perkhidmatan Mister Tyre dengan menubuhkan pasukan yang sama di Pulau Pinang, Johor Bahru, Singapura, Bangkok dan Jakarta, seawal tahun hadapan.

Untuk menghubungi mereka, hantar mesej di Facebook mereka - MisterTyre

 

Add new comment