Kapchai Limosin Lanchang!

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Honda C70 panjang ini memang sudah beberapa kali menggemparkan peminat automotif negara, dan juga di luar negara.

"Sebenarnya, Honda C70 panjang atau Kapchai Limosin ini bukan ada sebuah tetapi beberapa buah," ujar Dzulkarnaen Adnan, pemilik Kapchai Limosin hijau dari Lanchang, beberapa kilometer dari pekan Karak, Pahang.

Dzul berkata beliau mendapat inspirasi dari sebuah lagi Kapchai Limosin di Johor Bahru, dan beliau menghubungi pemilik itu untuk mendapat nasihat teknikal.

Berusia 42 tahun dan masih bujang, Dzul tinggal menemankan ibu bapanya di Kampung Bolok Hilir, beberapa kilometer dari Pusat Sanktuari Gajah Kuala Gandah.

Dzul menghabiskan pendidikan beliau di Sekolah Menengah Datuk Bahaman di Lanchang dalam Tingkatan 1.

kapchai limo 1

 

"Saya buat kerja-kerja kampung, dan lama kelamaan saya mula menunjukan minat kepada bidang mekanikal seperti membaiki kenderaan," terang Dzul yang sentiasa tersenyum.

Lima tahun lalu, Dzul membuka sebuah bengkel membaiki motosikal di Karak tetapi sayangnya terpaksa menutup perniagaan beliau selepas tiga tahun.

"Sewa kedai terlalu mahal dan saya tidak mampu lagi menanggung kos operasi," terangnya.

Sekarang, Dzul bertugas sebagai operator jentera berat di pekan Lanchang.

 

kapchai limo 2
Antara deretan motosikal Dzul, termasuk motosikal trike di hujung kanan sana.

 

Selepas kerja, Dzul akan kembali ke bengkel baharunya bersebelahan dengan rumah. Beliau masih meneruskan kerja-kerja bengkel beliau tetapi lebih bertumpu kepada bidang modifikasi seperti street-cub dan juga bahagian mengetuk badan kereta dan mengecat.

"Saya juga buat servis membaiki motosikal-motosikal."

Walaupun kecil, bengkel sementara beliau ini lengkap dengan alatan mengimpal dan lain-lain. Kerana itu, Kapchai Limosin ini dihasilkan sepenuhnya oleh Dzul sendiri.

Dzul memulakan projek ini tiga bulan lalu dan ia mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

kapchai limo3

 

Perkara pertama yang dilakukan oleh Dzul ialah untuk mencari satu lagi C70 untuk dijadikan komponen bahagian tengah dan ekor.

Kemudiannya, Dzul mengukur roda belakang dan belakang agar selari. Teknik "timbang air" seperti yang digunakan dalam pembinaan digunakan oleh beliau.

Rangka tengah ditambah dalam semeter untuk memanjangkan C70 ini. Besi yang digunakan ialah besi segi untuk pembuatan gril pintu dan tingkap rumah.

Ia diukur, dipotong dan dikimpal oleh Dzul sendiri. Ini bermakna Dzul tahu akan kekuatan dan kemampuan kenderaan istimewa beliau itu.

kapchai limo 4

 

"Enjin kekal dari Honda C70, tetapi saya telah tukarkan kepada silinder kepada jenis perlumbaan untuk model Honda Wave Dream," kata Dzul.

Transmisi juga diambil dari EX5 Dream, dan ini bermakna ia mempunyai empat nisbah.

Ekzos dipecahkan kepada dua dengan tabung di kiri dan kanan.

Sistem gantungan kekal sama tetapi spring gegelung dibahagian belakang dikeraskan.

Roda aloi digunakan untuk memuatkan tayar yang lebih lebar agar mendapat sedikit kestabilan semasa ditunggang.

kapchai limo 6

 

Untuk hantaran tenaga, Dzul membeli tiga paket rantai untuk C70 dan menggunakan dua setengah darinya untuk Kapchai Limosin ini.

Rantai kemudian ditutup rapi dan lampu LED dipasang di sepanjang penutup rantai.

Bateri diambil dari Modenas Jaguh dan ia dipasang pada bahagian belakang. 

Ada dua kunci untuk Kapchai Limosin ini, di depan ialah untuk enjin dan di belakang untuk aksesori yang menggunakan kuasa bateri. Kedua-dua kunci masih di posisi sisi.

kapchai limo 7

 

Aksesori yang dipasang oleh Dzul ialah pemain media dengan skrin LCD yang boleh dibuka untuk disimpan jika hujan, kamera digital pada hendal, siren dengan pembesar suara, sistem alarm, meter-meter digital dan analog, lampu-lampu hiasan LED dan kamera undur.

Dzul menganggarkan sebanyak RM5,000 telah dihabiskan oleh beliau untuk projek Kapchai Limosin ini. Murah kerana beliau yang membuatnya sendiri.

"Paling jauh, saya tunggang Kapchai Limosin ke Morib. Halaju maksimum saya ialah 130 kmsj," ujar Dzul.

Careta mencuba untuk menunggang Kapchai Limosin ini dan memang terasa enjinnya lebih dari mampu untuk membawa badan panjang itu.

kapchai limo 8

 

Cuma bahagian ekornya seperti terasa mempunyai "otak" sendiri kerana ia seperti tidak mahu mengikut arah yang kita hendak pergi.

Bila mengambil selekoh, memang terasa janggal kerana terasa seperti ada treler di belakang.

Menurut Dzul, memang perlukan sedikit masa untuk membiasakan diri mengendalikan jentera istimewa beliau itu.

Untuk projek masa hadapan, Dzul ingin membina sebuah motosikal empat roda seperti motosikal konsep Lazareth Wazuma dengan enjin 3.0L V8 dari Ferrari.

"Kalau ada rezeki, itu ialah projek masa hadapan saya," kongsi Dzul akan idamannya itu.

kapchai limo 9

 

Dzul aktif mengunjungi pameran motosikal dan sebagainya.

Sekiranya anda terserempak dengan Dzul, jangan lupa, salam tangan beliau dan ucapkan tahniah kerana masih mampu menghasilkan sesuatu yang menarik dari bengkel ringkas miliknya itu.

Usaha tangga kejayaan, jangan direka alasan untuk menghalang kemajuan.

Syabas Dzul dan terima kasih kerana sudi menerima kunjungan team Careta.

Jika anda ada cerita-cerita seperti Dzul ini, hubungi Careta di Facebook kami, caretadotmy.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Berdasarkan perancangan, katanya pelaksanaan kerja menaik taraf laluan LPT terbabit dijangka…