Jumlah jualan kenderaan 2018 dijangka meningkat sedikit - MAA

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata tadi bahawa jumlah jualan kenderaan keseluruhan industri (TIV) untuk negara tahun ini dijangka akan meningkat sebanyak 2.9 peratus (590,000 unit, berbanding jualan tahun lalu pada 576,635 unit), sejajar dengan unjuran pertumbuhan tinggi ekonomi negara antara lima hingga 5.5 peratus.

"Unjuran peningkatan jualan itu juga selari dengan pertumbuhan jualan kenderaan global yang dijangka oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan meningkat daripada 3.6 peratus kepada 3.9 peratus," ujar beliau.

Namun begitu Aishah mengingatkan bahawa garis panduan ketat oleh institusi kewangan akan syarat pemberian pinjaman akan menjadi cabaran terbesar industri automotif pada masa hadapan.

Jualan kenderaan penumpang dianggarkan berkembang sebanyak 2.3 peratus tahun ini (dari 514,679 unit kepada 536,500 unit).

Kenderaan perdagangan dilihat akan meningkat penjualannya sebanyak 2.5 peratus, iaitu dari 61,956 unit tahun lalu kepada 63,500 tahun ini.

MAA turut mendakwa bahawa industri automatif kekal lemah dalam tahun lalu, meskipun 2017 meihat pelbagai pemulihan ekonomi dan kempen jualan yang agresif dari syarikat kenderaan.

 

 

"TIV merosot dua tahun berturut-turut, bermula dari tahun 2016."

"Jualan kekal tidak berubah pada 2017, menyumbang kepada tekanan inflasi yang menjejaskan pendapatan boleh guna yang menyebabkan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati," katanya.
  
Presiden MAA itu juga berkata prestasi ringgit yang bertambah baik akan membantu pemain industri memperoleh margin lebih tinggi, terutamanya bagi urus niaga dalam dolar AS dan yen Jepun.

"Bagaimanapun, sekiranya ia didagangkan dalam euro dan pound sterling, mereka akan rugi kerana ringgit lebih lemah berbanding mata wang ini," katanya.

Mengulas mengenai harga bahan api tinggi, Aishah berpendapat kesannya adalah minimum kerana terdapat banyak kenderaan cekap bahan api dan tenaga dikeluarkan.

Mengenai jangkaan terhadap kajian semula Dasar Automotif Nasional 2018, yang dijangka diumumkan pada pertengahan tahun ini, beliau berkata butiran terperinci belum dibincangkan dengan MAA kerana ia masih di peringkat awal. 

"Saya rasa kebanyakan orang akan ambil pendekatan tunggu dan lihat, terutamanya dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Kami harap pengumuman itu akan dapat meningkatkan industri dan untuk kita dapat mengembangkan jualan dengan menumpukan kepada eksport," katanya. 

Bagi tempoh 2019 hingga  2022, MAA mengunjurkan pertumbuhan TIV masing-masing antara 2.0, 2.1, 2.2 dan 2.3 peratus.

*Berita dipetik dari Bernama