Ju - jentera minimalist Kenstomoto

oleh HEZERI SAMSURI|
Rasanya sekarang semua peminat motosikal tempatan tahu akan Kenstomoto.

Malah, mat saleh di luar negara pun sudah tahu mengenai Kenstomoto, customiser tempatan yang menghasilkan rekabentuk motosikal yang sangat detail dan teknikal.

Kenny Yeoh, teraju tunggal di belakang Kenstomoto kini muncul dengan sebuah lagi hasil karya beliau, Kenstomoto Ju.

Walaupun motosikal ini ialah projek keempat beliau selepas P650R, BOBR dan MechaStallion, Ju bermaksud 10  dalam bahasa Jepun.

"Saya mahu kekalkan sifat Jepun motosikal ini, dan kerana ia sebuah Kawasaki ZX10R, nama Ju memang sesuai kerana ia bermaksud 10!" terang Kenny semasa sesi fotografi dan tunggang uji baru-baru ini.

Kawasaki ZX10R model tahun 2004 ini sebenarnya mempunyai sejarah yang unik, dan menyedihkan juga. Pemilik sebenar motosikal ini meninggal dunia semasa menunggang motosikal hariannya pulang dari tempat kerja.

Abang kepada pemilik tersebut yang juga sahabat kepada Kenny meminta beliau untuk mengambil alih ZX-10R itu kerana tiada siapa hendak menjaganya.

Sebenarnya, ZX-10R ini memang sebuah jentera litar sahaja dan kerana itu ia masih menggunakan tayar litar, tanpa bunga.

Dari segi bentuk, Kenny mempunyai tujuh rekabentuk cadangan untuk Ju ini dan akhirnya beliau memilih konsep minimalist yang ada sekarang, dengan warna Bumblebee kuning hitam untuk menaikkan sifat garangnya.

Kerangka dibiarkan sama, cuma sub-frame belakang dicantas habis dan dibuat satu rangka kecil untuk pelana.

Pelana itu sendiri memang sesuai untuk seorang yang ramping seperti Kenny kerana seperti pelana perlumbaan, ia cuma cebisan span (foam) yang dilekatkan di atas rangka itu.

Bahagian hadapan memang kekal stail Kenstomoto - lampu LED yang disimpan cantik dalam perumah fibre hasil rekabentul Kenny.

Seperti biasa, Kenny mempunyai lukisan teknikal CAD untuk setiap komponen jenteranya. Ini yang membuatkan komponen beliau nampak kemas dan ini juga yang membezakan Kenny dari customiser yang lain. Dan kerana itu juga setiap komponen itu boleh dihasilkan semula dan Kenny memang menjual kit-kit modifikasi beliau ke serata dunia.

Selain dari lampu LED, Ju ini mempunyai satu perbezaan ketara - gril hadapan dengan bentuk honeycomb yang memang mengingatkan kami pada sebuah kereta.

"Perlu ada sedikit kelainan," ujar anak jati Pulau Pinang yang sangat terkenal dengan merendah diri, walaupun tugas harian beliau sebenarnya sebagai ketua R&D bagi syarikat SKS Bus.

Beberapa panel lain menghiasi kiri dan kanan Ju ini sementara tangki, panel meter, sistem gantungan dan enjin dibiarkan standard.

Ekzos pula, Kenny menggunakan jenama Ampang Hoong Motor atau AHM, buatan tempatan.

"Kita kena sokong barang buatan Malaysia juga bro!" kata Kenny yang kami sambut dengan anggukan tanda menyokong.

Penunggang uji kami, Hafiz Takumi dibenarkan untuk mencuba Ju ini di kawasan tertutup, dan menurut Takumi, posisi menunggangnya sangat radikal.

"Bar hendal jauh ke bawah, dan pelana ke belakang dan tinggi sedikit. Memang ia direka untuk berlumba dan kerana posisi yang agresif itu, selekoh dapat diserang dengan yakin," ujar Takumi.

Cuma mungkin tayar yang sudah berusia itu kurang grip dan Takumi tidak dapat turun habis. 

"Yang lain, ia seperti ZX-10R biasa yang sudah siap untuk berlumba. Sedap!" sambung Takumi sebelum beliau balik ke rumah untuk mengelap helmet beliau.

Ju kini menjadi produk Kenstomoto yang paling menarik dari segi prestasi dan juga yang paling boleh ditunggang, walaupun bukan setiap hari.

Careta mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kenny, dan kami juga sangat berterima kasih kepadanya yang walaupun sudah jauh popular di merata dunia, beliau masih ingat akan Careta yang sebesar hama ini. 

Careta juga ingin menekankan kepada pembaca bahawa ilmu yang ada bukan terhad digunakan untuk kerja sahaja. Contohi Kenny yang menggunakannya untuk hobi beliau, dan hobinya kini mampu membuahkan hasil.

Untuk mereka yang mahu membuat sesuatu seperti Ju, atau mungkin ada projek-projek lain, hubungi Kenny di laman Facebook Kenstomoto beliau.

Kenny Ju

 

Add new comment