Laporan dari Reuters, pegawai di Berlin memaklumkan tentera laut negara ini akan kekal pada laluan perdagangan biasa dan tidak akan berlayar melalui Selat Taiwan.
Berlin menegaskan misi tersebut bertujuan memberi penekanan bahawa Jerman sekeras-kerasnya menolak tuntutan wilayah oleh China.
Namun, langkah itu dilihat bakal memberi kesan kepada hubungan ekonomi antara Jerman dan China memandangkan Beijing merupakan satu daripada rakan dagang terpenting Berlin.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Jerman, Annegret Kramp-Karrenbauer berada di pelabuhan Wilhelmshaven untuk menyaksikan kapal frigat Bayern berlepas dan bakal menempuh pelayaran selama tujuh bulan menuju ke Australia, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.
Kapal itu dijangka merentasi Laut China Selatan pada pertengahan Disember ini, sekali gus menjadikan kapal perang Jerman yang pertama melalui wilayah itu sejak 2002.
“Kami mahu undang-undang sedia ada dihormati, laluan laut bebas dilayari, masyarakat dilindungi dan perdagangan dijalankan secara adil mengikut peraturan,” kata Kramp-Karrenbauer.
Beberapa negara termasuk Britain, Perancis, Jepun, Australia dan New Zealand juga dilaporkan memperluaskan aktiviti mereka di Pasifik untuk menentang pengaruh China.