Jambatan runtuh, 5,000 penduduk terjejas

oleh Hamimah Hamid|
JAMBATAN Enggor yang menjadi penghubung penduduk di sekitar Kampung Enggor, Kuala Kangsar runtuh menyebabkan aktiviti harian kira-kira 5,000 penduduk terjejas.

Jambatan sepanjang 13 meter itu runtuh dalam kejadian pada 11.40 malam Rabu lalu disebabkan arus Sungai Enggor yang deras berpunca daripada hujan lebat sejak seminggu lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut penduduk, ia kejadian ketiga dalam tempoh 20 tahun, sejak jambatan berusia 123 tahun itu dibina.

 

Penduduk, Rafli Md Nor, 50 tahun berkata, jambatan yang dibina pada tahun 1900 itu sudah uzur serta tidak selamat digunakan oleh penduduk walaupun ia merupakan laluan utama penduduk sekitar yang perlu pergi bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“"Sebenarnya dalam tempoh 20 tahun, jambatan ini pernah runtuh sebanyak tiga kali namun pihak berkaitan hanya melakukan kerja pembaikan dengan menambak semula jalan tersebut. 

“Jadi, kami memerlukan jambatan baharu yang kukuh dan selamat," katanya.

Menurutnya penduduk kampung boleh menggunakan laluan alternatif di Kampung Loh yang jaraknya empat kilometer ke pekan Karai namun hanya kenderaan ringan seperti motosikal dan kereta sahaja boleh melalui jalan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Qarib Khairuddin, 54 tahun berkata jambatan itu juga adalah laluan utama pelancong ke Jambatan Victoria yang terletak kira-kira hanya satu kilometer dari jambatan berkenaan.

"Jadi, pelancong yang menaiki kenderaan berat seperti bas tidak boleh lagi ke Jambatan Victoria disebabkan laluan alternatif yang ada tidak sesuai dilalui kenderaan berat," katanya.