Jalan licin punca Beto Kusyairy kemalangan ketika konvoi

oleh Hamimah Hamid|
KEMALANGAN melibatkan empat penunggang motosikal termasuk pelakon, Beto Kusyairy di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah pada Isnin lalu dipercayai akibat jalan licin ketika hujan.

Kemalangan sekitar pukul 5.30 petang itu berlaku ketika 60 motosikal Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) ASEAN ke Masjid Negeri Perak di Ipoh manakala lima peserta konvoi skuter jenis Yamaha XMax dalam perjalanan dari Sepang, Selangor ke Gurun, Kedah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, akibat kemalangan itu empat motosikal iaitu dua skuter dan dua motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson mengalami kerosakan manakala Beto hanya cedera ringan.

 

"Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan di Hospital Tapah mendapati lelaki berusia 43 tahun yang menunggang skuter dan Harley Davidson berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah.

 

"Seorang lagi penunggang Harley Davidson berusia 43 tahun cedera ringan, manakala penunggang skuter berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

 

Superintenden Mohd Naim berkata, kemalangan itu dipercayai berlalu ekoran permukaan jalan raya yang licin kerana hujan.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faizan Ahmad@Mohammed Razikin di talian 013-2087919 untuk membantu siasatan.

 

Isnin lalu, Beto bersama legenda rock tanah air, Datuk Awie berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh untuk menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

 

Konvoi diketuai kelab motosikal Wings Motor Gang Society (WMGS) Asean bersama 11 lagi kelab motosikal berkuasa tinggi lain.