Jaguar Classic E-type Zero, kuasa elektrik dalam badan kereta klasik!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Salah satu kereta klasik yang kekal anggun sehingga kini ialah Jaguar E-Type. Model ini dikeluarkan dari 1961 hingga 1975 dalam tiga model iaitu Series 2, Series 2 dan Series 3.

Enzo Ferrari yang sukar untuk memuji sesebuah kereta sendiri memperakui model ini sebagai kereta paling cantik pernah dihasilkan.

Sekarang ini juga trend pengeluar melihat kembali kepada model klasik. Ada yang pergi lebih jauh dan bukan sekadar baik pulih sahaja.

Paling ke hadapan dalam bidang ini ialah Jaguar apabila mengumumkan kelahiran semula E-type bukan dengan enjin asal tetapi nadi kuasa elektrik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Jaguar E-type Zero

 

Dari situ terhasil nama baharu iaitu Jaguar E-type Zero yang bermakna sifar emisi.

Model ini pertama kali dipertontonkan kepada umum pada September 2017 semasa Jaguar Land Rover Tech Fest.

E-type Zero kemudian menerima perhatian ramai apabila digunakan semasa perkahwinan Putera Harry dan Meghan Markle pada Mei lalu.

Model ini akan ditawarkan oleh Jaguar Classic yang merupakan pakar dalam baik pulih kenderaan klasik Jaguar. Satu perkara menarik tentang E-type Zero ialah ia berkongsi teknologi dengan Jaguar I-PACE, sebuah SUV EV moden.

Ia adalah projek klasik dengan gabungan teknologi moden. Khidmat ini akan turut ditawarkan kepada pemilik sedia ada E-type.

 

Jaguar E-type Zero

 

Timbul pula satu persoalan kepada peminat sejati, adakah ia akan merosakkan nilai warisan E-type apabila enjin asal ditanggalkan?

Jaguar Classic telah memikirkannya dan memberi jaminan pertukaran EV tersebut boleh diundur semula kepada enjin asal. 

Berikut ialah ciri-ciri Jaguar E-type Zero Concept:

  • Model ini boleh bergerak sehingga 273 km dengan cas penuh
  • Dikuasakan oleh bateri 40kWh dan boleh dicas dengan masa di antara enam hingga tujuh jam bergantung kepada jenis punca kuasa
  • Selain daripada nadi kuasa, panel instrumen dan sistem hiburan sesentuh dan juga lampu utama LED, model ini mengekalkan keasliannya
  • Motor elektrik terletak di belakang pek bateri dan menggantikan tempat kotak gear E-type
  • Bateri lithium-ion yang sama saiz dan berat dengan enjin standard XK E-type enam silinder petrol dan juga lokasi sama
  • Saiz dan kedudukan ini membolehkan E-type mengekalkan banyak komponen asal tanpa perubahan seperti struktur, suspensi dan brek
  • Ini membolehkan pengalaman pemanduan yang sama seperti E-type asal  
  • Pemanduan, pengendalian dan brek sama dengan model asal manakala nisbah berat depan dan belakang tidak berubah

 

Jaguar E-type Zero

 

Kepada mereka yang berminat, Jaguar Classic sudah pun menerima tempahan dari pelanggan. Jaguar E-type Zero akan mula dihantar kepada pemilik pada tahun 2020.

Spesifikasi terperinci dan harga akan diumumkan kemudian yang pastinya tidak murah. 

Dengan tawaran ini Jaguar E-type akan kekal relevan dan anggun untuk berpuluh tahun akan datang.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Jaguar E-type Zero