Isu keselamatan jalanraya - Kementerian Pengangkutan kurang upaya?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Negara Malaysia ialah antara negara elit yang mempunyai syarikat automotif mereka sendiri.

Ia juga kekal sebagai negara Islam tunggal yang berada di dalam kumpulan negara-ngeara pembuat kenderaan.
Automotif, seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, ialah barangan yang paling diperdagangkan di dunia (menurut laporan  World Economic Forum - The Most Traded Goods).

Dalam tahun 2016, jumlah dagangan industri automotif mencapai nilai US$1,350 billion, atau 4.9 peratus dari jumlah keseluruhan export global.

Ini jauh lebih tinggi dari barangan perdasarkan petroleum bertapis, 3.0 peratus atau US$825 billion.

Apapun, usaha kementerian seperti MITI dan agensinya, MAI memberikan insentif dengan tujuan untuk membawa pelabur asing dan teknologi tinggi masuk ke dalam negara sememangnya berhasil.
 

 

Honda, Toyota, Nissan, Mercedes-Benz, BMW, Kawasaki dan banyak lagi jenama terkemuka global sudah masuk dan membina kilang pemasangan kenderaan di dalam negara. Ia menjana pekerjaan dan mewujudkan vendor-vendor bertaraf dunia.

Begitu juga dengan Perodua yang mempunyai kilang automotif termoden di Asean, hasil kerjasama mereka dengan rakan teknikal mereka, Daihatsu. Proton juga akan membawa masuk pelaburan dan teknologi luar bila Volvo bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab rantau ini untuk jenama Sweden itu.

Kemudian kita mempunyai Kementerian Pengangkutan yang tidak kurang banyak berjasa dalam menghiburkan rakyat dengan gelagat mereka.

Jika dibandingkan dengan kemajuan pesat industri yang dibawa masuk, ‘jasa’ Kementerian Pengangkutan tidak harus kita lupakan.

Di bawah ialah senarai sumbangan Kementerian tersebut yang sekarang ini ketuai oleh Datuk Seri​ Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Datuk Ab Aziz Kaprawi, keduanya memang diyakini mempunyai pengalaman yang tinggi dalam industri automotif dan pengangkutan.

 

 

1. Menjadikan nombor pendaftaran kenderaan sebagai satu janaan pendapatan yang menguntungkan

Sebelum ini, nombor pendaftaran kenderaan digunakan di seluruh dunia untuk memberikan identiti kepada sebuah kenderaan. Ia juga digunakan untuk memberikan informasi tentang asal kenderaan itu dan samada ia kenderaan baharu atau sudah lama.

Dahulu, kenderaan baharu akan diberi nombor plet mengikut kod abjad negeri ia didaftarkan. Namun ia menyusahkan untuk pemilik kenderaan baharu untuk membeli plet dari nombor lain.

Kementerian Pengangkutan telah berjaya mengubah dasar itu dan membenarkan sesiapa sahaja boleh membeli nombor plet dari mana-mana negeri. Selalunya ia diberikan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan, Persatuan Sukan dan kadang kala kepada agensi kerajaan negeri.

 

nombor

 

Seperti contoh nombor Patriot, VIP dan Rimau. Kebiasaannya, Kementerian Pengangkutan memberikan ruang kepada badan-badan ini untuk meraih hasil jualan nombor plat istimewa tetapi mereka perlu memberikan jumlah RM1 juta sebagai bayaran muka kepada Kementerian. 

Ini menjana pendapatan yang sangat tinggi dan kita boleh lihat di pasaran sudah mula tumbuh agensi-agensi penjualan nombor pendafataran kenderaan. 

Ia juga kelihatan seolah-olah fungsi kod negeri pada plat kenderaan tidak lagi diperlukan.Penukaran dasar ini berlaku dengan senyap dan tanpa sebarang penangguhan.

Hairan kerana jika perkara lain, sangat lambat proses penukaran akta. Uber sudah pun dibeli oleh Grab, tetapi dasar untuk menghalalkan industri e-hailing masih lagi belum ada hitam-putihnya. 

Nombor pendaftaran untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah menggunakan huruf ‘V’ dan ‘F’. Adalah bukan menjadi sesuatu rahsia lagi bahawa huruf baru untuk KL adalah dicadangkan kerana ini menggalakkan lagi banyak bidaan nombor siri istimewa setelah kegunaan nombor tiga huruf di hadapan seperti contoh WAA 1234 A tidak mendapat sambutan orang ramai untuk bidaan nombor istimewa.

Khabarnya, pendapatan JPJ melalui bidaan nombor siri istimewa telah naik mendadak setelah huruf ‘V’ dan ‘F’ diperkenalkan pada 2016.

Bagus kerana ia menjana hasil kepada kerajaan, tetapi mungkin hasil yang didapati boleh disalurkan kembali kepada kepentingan keselamatan pengguna di jalanraya.

 

 

2. Tiada keseragaman dan penguatkuasaan spesikasi nombor plat pada kenderaan

Beberapa tahun dahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cuba untuk membanteras nombor plat ‘fancy’ atau keadaan plat dan nombor yang tidak mengikut spesikasi peraturan yang ditetapkan oleh JPJ. 

Tetapi, kami telah mendapat perkhabaran bahawa operasi penguatkuasaan telah diberhentikan kerana arahan Menteri Pengangkutan setelah orang ramai mengamuk dan tidak gembira dengan operasi banteras perkara ini.

Namun, sekarang ini bersepah nombor plat kenderaan yang langsung tidak mencerminkan bahawa negara ini ada undang-undang jalanraya. Kita boleh lihat nombor dengan font yang pelbagai dan selalu tidak kelihatan jelas untuk pengamatan orang ramai.

Mungkin orang ramai tidak faham bahawa spesikasi nombor plat yang betul dapat membantu di dalam penguatkuasaan keselamatan jalanraya dan juga membantu pihak polis serta mangsa jenayah mengenal pasti nombor plat kenderaan suspek.

Careta difahamkan semenjak tahun 2007, JPJ telah cuba untuk menyeragamkan pembuatan nombor plat daripada apa yang kita dapat lihat hari ini iaitu terlalu banyak kedai-kedai aksesori yang menjual nombor plat tanpa pengawasan. Ini mengakibatkan tuan punya kenderaan serta penjenayah telah mampu membuat apa sahaja bentuk nombor plat kenderaan.

Apakah telah terjadi kepada kertas kerja dasar N-Plat atau ‘national number plate’ yang telah lama dibentang kepada Menteri dan Timbalan Menteri untuk dilaksanakan JPJ?

Dimanakah perlaksanaan terhadap cadangan untuk memastikan keseragaman pembuatan nombor plat seperti pembuatan diberikan kepada banduan penjara untuk mengurangkan kos, pengedaran RFID, E-Plate atau pun seliaan kepada kedai-kedai kecil menerusi pendaftaran bersama JPJ? 

Kami dimaklumkan Kementerian Pengangkutan masih teragak-agak kerana mereka memikirkan faktor kos serta apakah bentuk perlaksanaan dapat dilakukan tanpa melibatkan kos tambahan kepada kerajaan. 

 

 

3. Isu cermin gelap

Khabarnya Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan JPJ untuk tidak bertegas tegas atau hanya bersikap memerhati terhadap penggunaan cermin gelap yang melampau oleh ramai tuan punya kenderaan yang berlagak seperti mereka adalah ahli mafia atau VIP atau orang politik yang sangat penting.

Bukankah penggunaan cermin gelap telah mendapat permintaan dari PDRM kepada JPJ agar ada penguatkuasaan serius kerana ini memberikan ancaman keselamatan kepada anggota polis serta orang ramai?

Apakah dengan hanya menaikkan denda dan hukuman penjara kepada pesalah tegar dibawah Kaedah-kaedah oleh Menteri Pengangkutan akan menyebabkan ramai mematuhi undang-undang?

Maaf, jika kami terkasar bahasa. Tetapi jika tiada penguatkuasaan oleh JPJ, adakah Kementerian Pengangkutan mahu menggalakkan orang ramai termasuk penjenayah bahawa ia adalah satu perkara yang mudah dan menjadi biasa untuk cermin gelap yang melampau berada di jalanraya?

 

 

4.  Penggubalan undang-undang terhadap keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan

Bukan menjadi sesuatu yang rahsia lagi bahawa Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri masih lagi teragak-agak dan keberatan untuk menjadikan penggunaan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak sebagai sesuatu yang wajib di dalam kenderaan penumpang sebagai sebahagian amalan keselamatan dan peraturan jalanraya.

Rancangan asal yang sepatutnya dilaksana pada 2017 seperti disarankan oleh JPJ dan Miros kepada Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri telah ditolak kerana bimbangkan kemarahan rakyat.

Kami ingin bertanya – adakah nyawa kanak-kanak dan bayi lagi penting atau kemarahan rakyat dan ibu bapa yang sentiasa mencari jalan mudah untuk tidak mengamalkan keselamatan jalanraya lebih penting untuk Kementerian Pengangkutan?

Seterusnya, 2019 telah dicadangkan untuk peraturan pengunaan mewajibkan kanak-kanak berada dalam sistem keselamatan ini.

Namun, sehingga kini kami tidak nampak sebarang usaha kempen mahu pun peringatan diberikan oleh Menteri dan Timbalan Menteri terhadap sikap ambil mudah oleh ramai ibu bapa yang menganggap seolah-olah kanak-kanak bukan komiditi penting ketika berada di dalam kenderaan menyusuri jalanraya.

 

 

5. Usaha tidak serius Kementerian Pengangkutan untuk keselamatan jalanraya

Semakin banyak rungutan didengari dari penyokong keselamatan jalanraya terhadap sikap Kementerian Pengangkutan dalam menyeragamkan pelbagai usaha untuk mengurangkan kematian dan nahas di jalanraya.

Dari perihal tiada belanjawan diturunkan kepada agensi terbabit untuk kempen kesedaran jalanraya sehingga kepada usaha penyelidikan dan kurangnya usaha serius meningkatkan penyeragaman di kalangan agensi penguatkuasa seperti PDRM, SPAD, JPJ dan pihak berkuasa tempatan, ini sudah menjadi seperti muzik kepada pengamal keselamatan jalanraya.

Malah, usaha menyebarkan rangkaian AES adalah lebih bertujuan untuk meraih pendapatan kepada kerajaan daripada melihat kepada penguatkuasaan serius dan menangkis jumlah kematian di jalanraya yang semakin tinggi setiap bulan dan setiap tahun.

 

 

6.  AES tidak merangkumi lokasi dan kumpulan risiko yang sebenarnya

Jika benar AES adalah untuk mengurangkan kematian dan nahas jalanraya, mengapakah AES tidak menumpukan kepada penunggang motosikal di jalan-jalan negeri kerana jelas kumpulan pengguna jalanraya ini telah mencatatkan kematian tertinggi di kawasan kampung, pendalaman dan separa bandar tanpa gagal setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun?

Bukankah mengikut laporan statistik PDRM setiap tahun, bahawa kematian tertinggi dan kekerapan nahas setiap hari yang semakin tinggi yang dicatatkan pada setiap bulan dan setiap tahun berlaku di jalan-jalan negeri berdekatan kampung-kampung serta di kawasan urban dan separa-bandar? Mengapakah tiada AES di kawasan tersebut? 

Kami masih tercari jawapan mengapakah Kementerian Pengangkutan tidak mengarahkan Miros dan JPJ untuk memasang AES di kawasan pendalaman, jalan-jalan kampung dan bandar-bandar kecil?

Mengapakah AES lebih tertumpu kepada lebuhraya bertol dan jalan-jalan persekutuan yang sibuk?

Mengapa AES banyak di lebuhraya bertol sedangkan kadar kematian dan nahas di lebuhraya adalah jauh lebih rendah dari angka kematian di jalan-jalan negeri?

 

 

7. Memberikan kelonggaran kepada pesalah trafik AES dan AWAS

Sistem kamera AES memang terbukti berjaya menurunkan halaju kenderaan di kawasan sekitar kamera itu terpacak.

Penurunan jumlah kemalangan bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kerana kebanyakan lokasi AES yang kami nampak terletak di kawasan laluan lurus tanpa risiko kemalangan yang tinggi.

Namun begitu, pemandu yang engkar halaju maksimum yang dipaparkan pada papan tanda memang wajar dihukum dan AES memang direka untuk tujuan itu.

Sejak November tahun 2012, tidak ada satu pun kes AES yang dibawa ke mahkamah yang telah menyebabkan pesalahan menerima hukuman atau pun mendapat keputusan hakim. 

Seperti yang kita tahu, kes-kes AES telah dibekukan dari Disember 2012 dan tiada usaha setakat ini untuk membawa mereka yang dianggarkan berjumlah sebanyak 3.7 juta kes AES tertunggak sehingga hari ini.

Bagus untuk pelaku kesalahan kerana mereka belum lagi mendapat hukuman tetapi ini tidak bagus untuk perlaksanaan menyeluruh termasuk hal perundangan dan memberikan kesan secara serius.

Diharapkan mereka tidak akan menjadi Menteri Pendidikan kerana ini bukan satu cara yang baik untuk mendisiplinkan pelajar.

 

 

8. Pesalah sistem AWAS/KEJARA tidak dihukum

Sama seperti kes AES, setakat ini tidak ada satu pun kes di bawah AWAS iaitu satu sistem pengawasan jalanraya yang mempunyai hubung kait dengan KEJARA yang dilancarkan April tahun lalu telah dibawa ke mahkamah.

Ini bermakna sistem disiplin yang diperkenalkan dalam usaha untuk mengubah perangai pengguna jalanraya negara masih tidak dipraktikan.

Kami juga difahamkan tidak ada satu pun pesalah jalanraya yang tegar dikenakan mata demerit sehingga hari ini semenjak Kejara dilancarkan 12 bulan lalu.

 

 

9. Mengajar pengguna agar jangan membayar saman kompaun awal

Pengumuman untuk menawarkan diskaun sebanyak 70 peratus ke atas sebahagian besar dari  saman dan kompaun sebagai ‘hadiah’ ulangtahun JPJ cuma memberikan satu mesej - bayar saman awal merugikan kerana tiada diskaun.

Langkah ini dilihat kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan Kerajaan daripada menumpukan kepada langkah serius mengawal sikap tuan punya, operator pengangkutan serta pemandu dan penunggang kenderaan yang enggan mematuhi peraturan di jalanraya

Setakat ini, kami belum lagi mendengar sesiapa memuji tindakan ini dan menganggap Timbalan Menteri itu hero. Yang pasti, ramai yang berkata ini ialah satu keputusan murahan.

Kami sarankan, penasihat beliau ditukar kerana memberi informasi yang salah dan menyebabkan Timbalan Menteri itu tidak nampak bijak.

Kami juga tidak pernah mendengar bahawa terdapat hadiah habuan atau insentif diberikan selama ini kepada mereka yang patuh kepada peraturan jalanraya. Sebaliknya, pesalah jalanraya terus menerus mendapat keistimewaan dari pihak berkuasa sejak sekian lama.

Apakah iltizam Kementerian Pengangkutan cuba sampaikan sebenarnya?

 

 

Penulis: Shahrim Tamrin

* Artikel ini ialah pandangan peribadi penulis yang telah lama memperjuangkan isu-isu keselamatan jalanraya negara.