Irwann Chen - pemuda di sebalik RX-Z Twin Boss dua enjin!

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Malaysia digegarkan baru-baru ini dengan penampilan motosikal custom RX-Z Twin Boss yang bakal menanti pengunjung bertuah ke acara Art of Speed tahun ini.

Menurut pengasas dan pemilik Art Of Speed, Asep Ahmad Iskandar, projek Twin Boss ini lebih bertujuan sebagai promosi untuk acara Art of Speed yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang kelak dan ia juga untuk meraikan semangat custom yang semakin menular di dalam rantau Asean ini.

"Pemilihan motosikal RX-Z untuk projek ini sesuai dengan taraf legenda yang ada pada model Yamaha itu. Ia juga dalam julat kos yang kami peruntukan," terang Asep.

twin boss 1

 

Careta berpeluang untuk menyaksikan sendiri kali pertama Twin Boss itu dihidupkan.

Tertarik dengan projek teknikal itu, Careta menghubungi salah seorang dari teraju di dalam usaha Twin Boss itu.
Cheng, atau nama sebenarnya, Mohamad Irwann Mohd Azlan (gambar di atas) ialah seorang jurutera muda yang juga merupakan anak jati Ipoh.

Berusia 26 tahun, Cheng mendapat pendidikan di Sekolah Anderson, Ipoh dan kemudian menyambungkan pelajarannya di Sekolah Mengengah Teknik Ipoh.

Kemudian, Cheng terus ke UiTM Pulau Pinang untuk mengambil diploma Kejuruteraan Mekanikal dan beliau mendapat ijazah dalam bidang yang sama di UiTM Shah Alam.

 

twin boss 7

 

Masih teruna, Cheng sekarang bekerja di sebuah kilang membuat penapis air di Batu Gajah.

"Sebenarnya, nama Cheng ini berasal dari nama cikgu subjek yang saya paling minat dahulu - Kemahiran Hidup," terang Cheng.

"Nama guru itu ialah Cikgu Chen, dan kerana saya terlalu minat akan subjek itu, saya digelar anak angkat Cikgu Chen. Untuk kelainan, ia ditukar menjadi Cheng, anak angkat Cikgu Chen," ujar jurutera itu dengan ramah tetapi tetap bersopan bila berkata-kata.

Motosikal pertama yang "disentuh" oleh Cheng ialah sebuah motosikal Kawasaki AR80.

"Saya buat top overhaul untuk Kawasaki itu," katanya.

Kemudian, Cheng terus bermain-main dengan modifikasi motosikal dan beliau bijak membahagikan masa dengan pelajarannya.

Selepas tamat belajar, Cheng pernah bekerja dengan bengkel custom terkenal di Malaysia, Beautiful Machines yang terletak di Sunway.

"Di sana, saya belajar untuk melakukan modifikasi bagi motosikal seperti Harley-Davidson dan Yamaha XR. Sebelum itu, saya pernah membaiki dan melakukan modifikasi untuk motosikal kapchai, Honda CG dan CB serta Jaguh."

Di Beautiful Machines Cheng membina Harley-Davidson dan Yamaha XR dengan turbo.

 

twin boss 2

 

Idea untuk membuat Twin Boss sebenarnya sudah lama di dalam minda Cheng.

"Ia bermula ketika saya keluar makan dengan rakan saya. Semasa itu, saya bekerja di Beautiful Machines."

"Saya berkata pada rakan saya, saya mahu membuat projek motosikal custom dengan dua enjin RX-Z," terang Cheng.

Kembali dari makan tengahari, Cheng membuka komputer dan melakukan lukisan ringkas akan projek RX-Z dua enjin itu tetapi ia tinggal sebagai idea sehingga Asep mendapat tahu tentang konsep itu dan menawarkan Cheng untuk membuatnya bagi pihak Art of Speed.

"Rakan saya dari Rusty Factory di Ipoh sebenarnya yang memberitahu Asep akan idea RX-Z saya itu, dan esoknya Asep terus menelefon saya."

 

chain

 

Dan dari situlah Cheng memulakan projek Twin Boss ini.

Di bawah ialah ringkasan dari apa yang kami pelajari dari Cheng akan projek mantap itu.

  • Perkara pertama yang dilakukan Cheng ialah melakar konsep projek ini untuk menentukan gaya dan saiz tayar. 
  • Selepas Asep memberikan lampu hijau, baharulah Cheng mula duduk memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk projek tersebut.
  • Tiga hari berfikir, Cheng memulakan projek Twin Boss dengan membina kerangka utama motosikal konsep drag ini.
  • Rangka dibuat menggunakan tiub dari bahan "mild steel" dan dipateri sendiri oleh Cheng dengan menggunakan mesin TIG.
  • Rangka Twin Boss ini boleh dipecahkan kepada tiga, iaitu rangka sisi kiri dan kanan (besi sekeping di bawah yang berlubang-lubang itu) dan tulang belakangnya.

 

twin boss 1 sit down

 

  • Cheng membuat kajian bagaimana caranya untuk menyambungkan dua enjin RX-Z itu dan beliau berjumpa dengan dua cara - menyambungkan kotak gear dengan rantai (konsep popular tahun 1950-an bagi mesin-mesin drag) dan cara menggunakan talisawat atau belting.
  • Konsep sambungan dengan rantai dipilih kerana ia selari dengan tema jentera drag tahun 50-an dan juga ia menepati kos yang disediakan.

 

twin boss 4

 

  • Setiap enjin mempunyai pendawaian yang sendiri, bermakna Cheng tidak perlu risau akan "firing sequence" untuk kedua-dua enjin itu.
  • Crank atau engkol disambungkan agar satu penendang (kick starter) diperlukan untuk menghidupkan kedua-dua enjin dua lejang itu.
  • Enjin hadapan masih mempunyai kotak gear kerana tidak sempat dibuang, tetapi ia tidak mengganggu operasi tersebut.

 

twin boss 2

 

  • Kotak gear dari enjin belakang masih ada dan digunakan untuk tujuan pacuan.
  • Menurut Cheng, kiraan tenaga tidak semudah kuasa kuda maksima kedua enjin dicampurkan. "Ada power loss di dalam sistem ini, terutamanya dari rantai yang menyambungkan enjin hadapan dengan yang di belakang", terangnya. "Paling mudah, kuasa terhasil ialah dalam 70 peratus lebih tinggi dari kuasa kuda maksima satu enjin.
  • Cheng bukan berseorangan di dalam projek ini. Amir Hamzah membuat modifikasi ekzos dan juga pemasangan balik semua komponen sebelum ia dihantar untuk proses cat, dan bengkel Beautiful Machines yang membuat sub-frame atas yang terdiri dari pelana dan tangki bahan api (semua itu boleh diangkat ke atas ala jentera drag dahulu).
  • Cheng yang berminat dengan motosikal genre easy rider, terutama model Harley-Davidson Sportster Iron itu sangat berpuas hati kerana projek idamannya menjadi kenyataan.
carb twin boss

 

Bila ditanyakan projek idaman, Cheng terus berkata beliau mahu mencuba melakukan laluan laju di Bonneville Salt Flats, Utah, US.

"Jika ada penaja, saya akan menghasilkan jentera lain khusus untuk pecutan di Bonneville," seloroh beliau.

Cheng juga memberi sedikit nasihat dan petunjuk kepada mereka yang mahu memulakan projek restorasi atau custom mereka.

Pesan Cheng, belajar dan selidik mengenai projek utu dan terus mulakan dengan segera.

"Makin lama menunggu, semakin tinggi kebarangkalian projek itu tidak akan bergerak," kata Cheng.

twin boss 8

 

Cheng menggunakan perisian Catia untuk kerja-kerja rekabentuk Twin Boss.

"Banyak ilmu-ilmu yang saya belajar dari UITM itu saya praktikan dalam pembinaan Twin Boss itu," jawab Cheng.

"Dengan adanya ilmu, kita mampu melakukan projek-projek custom yang lebih mencabar," ujar Cheng sebelum menamatkan perbualan.

Careta berharap kejayaan Cheng ini mampu memberikan sedikit suntikan minat kepada golongan muda untuk belajar bersungguh dan menyambungkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.

Siapa kata Malaysia tak ada boleh? 

*Temui Twin Boss dan Cheng juga di Art Of Speed 2017, dari 29 dan 30 Julai ini di MAEPS, Serdang. 

 

twin boss family

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Acara tersebut telah berlangsung di Dewan A Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) selama…
Berita Domestik
Diinspirasikan daripada acara gaya hidup outdoor tahunan terbesar di Jepun FIELDSTYLE, OTG 2024…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah…