Difahamkan, SUV off-road itu bakal ditawarkan dalam dua versi trenkuasa.
Versi aras mula menampilkan enjin 1.5 liter petrol dengan tetapan dua motor elektrik (90 hp gandar depan/201 hp gandar belakang).
Sementara versi yang lebih berkuasa pula membawakan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 80 hp pada gandar depan, dan motor 150 hp pada gandar belakang.
Kapasiti pek bateri masih belum didedahkan, namun Haval Xianglong bakal dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion phosphate dengan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km.
Rupa paras Haval Xianglong boleh dilihat banyak mengambil inspirasi (tiru?) daripada model Land Rover Defender, seperti unit lampu utama berbentuk bulat, kehadiran skid plate, jeriji besar, diikuti dengan gugusan empat lampu LED merah pada bahagian belakang.
Terdapat juga tayar simpanan bersaiz penuh yang diletakkan pada pintu belakang.
Dari segi ukuran, Haval Xianglong membawakan dimensi sepanjang 4,800 mm, lebar 1,916 mm, tinggi 1,822 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,738 mm.
Model SUV baharu ini dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.