Memetik laporan daripada Car Expert Australia, brosur produk yang didapati dari Mitsubishi Jepun itu menampilkan perubahan seperti lampu nyalaan siang LED yang lebih nipis, muka Dynamic Shield yang lebih agresif, serta penambahan butiran pada kluster lampu utama.
Bukan itu sahaja, di bahagian belakang juga turut menampilkan rekaan lampu signatur serba baharu, dan banyak diinspirasikan daripada model konsep e-Evolution yang pernah diperlihatkan sebelum ini.
Selain daripada perubahan di bahagian luaran, Eclipse Cross juga diberitakan bakal hadir dengan opsyen trenkuasa plug-in hybrid, menjadikannya SUV PHEV paling murah ditawarkan oleh Mitsubishi.
Tiada sebarang perincian didedahkan berkenaan trenkuasa tersebut, namun unit yang ada pada Outlander PHEV terdiri daripada enjin 2.4 liter petrol dengan dua motor elektrik dan bateri 13.8 kWh.
Semenjak diperkenalkan pada tahun 2017, Eclipse Cross dilihat berjaya merapatkan jurang antara ASX dan Outlander, sekaligus menyumbang kepada angka jualan yang memberangsangkan di pasaran luar negara.
Namun, untuk menjadikan penawaran SUV mereka lebih berkesan, Mitsubishi sebelum ini mengumumkan bahawa model ASX akan mengecil saiznya berbanding model terkini, sementara Outlander pula difahamkan akan bertambah dimensinya.
Sumber: Car Expert AU