Hyundai Tuscon, varian Turbo GDi dan 2.0 CRDi diesel yang mana menjadi idaman kalbu?

oleh SALINA JALIL|
Kami diberi tugas untuk mengolah sebuah model yang didatangkan dengan dua varian iaitu Hyundai Tuscon 1.6 turbo GDi dan 2.0 CRDi (diesel), dan kedua-dua telah kami pandu uji untuk beberapa hari bagi mengenal pasti kehebatan dan kekurangan kedua-dua varian.
Kawasaki Legend Reborn

Kami ringkaskan di sini perbezaan spesifikasi terlebih dahulu supaya senang diceritakan lebih lanjut:-

1.  Berbeza dari segi harga, RM145,688 (turbo) dan RM155,788 (CRDi) tanpa insuran.
2.  Perbezaan segi enjin iaitu Gamma 1.6 turbo GDi dan R 2.0 CRDi 
3.  Perbezaan dari segi transmisi, 7-kelajuan bagi versi Turbo dan 6-kelajuan untuk CRDi
4.  Tork yang lebih tinggi untuk varian CRDi iaitu 400 dan 265 untuk Turbo GDi
5.  PS GDi adalah 177 dan 178 untuk CRDi
6.  Persamaan dari segi rupa bentuk 
7.  Persamaan bahagian dalaman kabin 
8.  Lain-lain aksesori dan dari aspek keselamatan ia adalah sama untuk kedua-dua varian
 

 

Apa yang kami suka tentang kedua-dua varian adalah ia jimat dari segi penggunaan bahan api. Ia sangat rendah walaupun kami berulang alik dari Kinrara ke Putrajaya dan bandaraya Kuala Lumpur berulang kali dengan pelbagai kelajuan, jarum di panel minyak bergerak setakuk dua sahaja! Lebih-lebih lagi varian CRDi, ia lebih rendah dari GDi. Kami difahamkan bahawa secara purata penggunaan bahan api cuma 8.7L/100km untuk varian CRDi dan 7.6L/100km untuk turbo DGi walaupun memandu dalam kelajuan yang tinggi! Jimat bukan?
 

 

Bercerita tentang sistem pengendalian suspension, kami berbeza pendapat kerana bagi sebuah SUV kompak, di jalan raya yang 'bergelora' kami rasakan ia sedikit 'lembut' dan ini menyebabkan kami tidak begitu yakin untuk membuat aksi Fast & Furious apabila mengambil selekoh tajam. Pada kami, jentera dari Korea samada Hyundai atau Kia perlu memperkasakan dan memperbaiki sistem pengendalian seperti kenderaan dari negara Jerman. 

Walaubagaimanapun, semasa memandu di lebuhraya yang lurus tanpa banyak selekoh tajam, ia amat mantap dan mudah dikendalikan dan kami rasakan Tuscon ini cukup lengkap untuk mengalahkan beberapa SUV segmen D samada dari negara Jepun mahu pun China. Dalam bahasa yang mudah difahami, Tuscon pasti 'sap sap soy' sahaja mendahului dan meninggalkan pencabar mereka!

 

Menyentuh tentang ruang dalaman (interior) Tuscon ini mempunyai beberapa elemen yang kami suka dan kurang minat, contohnya, kami suka kamera bahagian hadapan, yang mana membantu semasa memarkir kenderaan besar gedapak ini. Walaubagaimana pun kamera undur Tuscon ini amat 'comel' bentuknya kerana ia terletak di cermin undur (rear mirror). Ia juga menitik berat dari segi teknologi, seperti butang 'auto hold', jadi tidak susah apabila berada di lampu isyarat kerana tidak perlu menukar gear ke N (neutral) atau menarik brek tangan, cuma anda perlu menekan butang 'auto hold' sahaja. 
 

 

Bahagian papan permukaan atau dashboard, kami rasakan ia terlalu ringkas dan perlu diperbaiki apatah lagi ia kelihatan terlalu 'plastik keras'. Begitu juga bahagian Infotainment, walaupun didatangkan dengan 4.2" TFT LCD, ia agak kompleks untuk digunakan.

Sistem audio juga boleh diperbaiki. Pada bahagian pemangkasan atau trimming pada panel pintu dan tempat duduk sememangnya ia kemas dan kelihatan sedikit eksklusif.

Untuk ruang boot pula, dengan keluasan 488 liter, ia memadai untuk sebuah keluarga sederhana yang mempunyai empat orang anak.
 

 

Untuk bahagian luar pula (exterior), kami amat meminati lampu hadapan dari LED ini, ia amat terang untuk memudahkan pemanduan pada malam hari. Tuscon ini juga didatangkan dengan spoiler belakang yang dilengkapi dengan lampu brek ketiga yang terang benderang. Sekiranya anda masih tidak nampak lampu brek ketiga ini, maknanya anda cuma tinggal tiga Jumaat sahaja lagi.
 

 

Jentera dari Korea ini juga tidak menghampakan dari aspek keselamatan, dengan enam beg udara beserta ABS (anti-lock brake system), ESC (electronic stability control), HAC (hill-start assist control), DBC (downhill brake control), BAS (brake assist sistem) dan VSM (vehicle stability management), sememangnya kami tidak meragui bahawa Hyundai sememangnya mementingkan keselamatan pengguna dan anak-anak mereka dengan adanya Isofix di bahagian tempat duduk, walaupun ada rakyat Malaysia yang masih kedekut untuk membeli kerusi kanak-kanak (child seat).

 

Jangan terkejut jika kami katakan bahawa varian CRDi lebih berkuasa dari turbo, sumpah kami tidak tipu! Kerana torknya lebih tinggi dari turbo GDi. Dengan tiga mod pemanduan; eco, biasa dan sport, ketiga-tiga ini memberikan pengalaman berbeza di mana mod sport telah 'memberatkan' stereng dan kami rasakan pengurangan transmisi penukaran gear. Dan kami rasakan di sini lah keenakan menggunakan paddle shifter di mana ia memudahkan pemandu.

 

Secara keseluruhan kami sememangnya berpuas hati dengan kedua-dua varian Tuscon ini, tetapi sekiranya berkemampuan, 2.0 CRDi adalah pilihan kami kerana kami dapat menjiwai kuasa dan pemanduan yang lebih jitu. Tetapi varian Turbo juga tidak kurang menariknya dan berbaloi untuk dimiliki.  

Untuk makluman, Hyundai-Sime Darby Motors buat masa ini mempunyai promosi di mana diskaun sebanyak RM7,500 diberikan (tertakluk kepada terma dan syarat), berserta lima tahun warranti atau 300,000 km (yang mana terdahulu), sekiranya anda masih was-was dengan penulisan kami ini, apa kata anda pandu uji dan nilaikan sendiri dengan syarat anda berfikiran terbuka.

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pelanggan yang telah menempah model Hyundai IONIQ Hybrid dan Tucson (terhad…
Berita Domestik
Kesemua harga jualan terbaru model Hyundai akan berkuatkuasa bermula 1 Jun 2018. Berikut merupakan…
Berita Domestik
Nampaknya tiga model menarik dari Hyundai, sedan segmen D Sonata, SUV besar Santa Fe dan kereta…