Hyundai Santa Fe 2024 - generasi kelima dengan rekaan berani, keupayaan off-road

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai baru-baru ini memperlihatkan secara rasmi SUV generasi kelima Hyundai Santa Fe bagi menggantikan SUV generasi keempat yang telah wujud di pasaran sejak 2018.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berbanding Santa Fe yang terdahulu, Santa Fe generasi terkini menampilkan perubahan rekaan yang agak radikal dan berani dengan rekaan berkotak yang disasarkan untuk pengguna yang mementingkan gaya hidup off-road.

Rekaan berpetak dengan ruang belakang yang lebar itu juga bertujuan untuk memaksimumkan kapasiti ruang kargo, menjadikannya lebih sesuai dan lebih versatil untuk kegunaan aktiviti luar.
 

Santa Fe


Bukan itu sahaja, jarak antara roda Santa Fe telah bertambah panjang, menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas di dalam kelasnya.

Di bahagian hadapan, Santa Fe 2024 ini membawakan rekaan lampu bersegi dengan grafik berbentuk H dengan garis hud yang agak tinggi, diikuti dengan rekaan arka roda bersegi yang menempatkan rim bersaiz 21 inci depan dan belakang.

Tema grafik H juga turut dibawakan pada bahagian lampu belakang, di mana bahagian tersebut kini tampil ringkas bertujuan untuk mencipta keseimbangan rekaan secara keseluruhan dan menjadikan kehadiran Santa Fe di atas jalan raya yang tersendiri, baik pada waktu siang atau malam.
 

Santa Fe


Ruang kabin Santa Fe generasi baharu ini membawakan susunan tiga baris tempat duduk yang boleh disesuaikan untuk pelbagai kegunaan keluarga muda.

Antara ciri moden yang dimuatkan termasuklah kehadiran skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infohibur 12.3 inci di dalam paparan melengkung panorama, pengecasan peranti tanpa wayar, serta motif rekaan huruf H yang boleh didapati pada papan pemuka dan corong pendingin hawa.

Sementara di bahagian konsol tengah terdapat skrin tambahan yang dikhususkan untuk kawalan iklim, ruang meletakkan botol, serta tempat meletakkan barang di bahagian bawah.
 

santa fe


SUV baharu Hyundai Santa Fe ini juga turut mementingkan alam sekitar, di mana terdapat penggunaan bahan yang lestari termasuklah headliner suede, alas lantai, serta pelapik tempat duduk baris kedua dan ketiga daripada bahan plastik yang dikitar semula, diikuti dengan trim pintu daripada bahan kulit palsu mesra alam.

Perincian trenkuasa Hyundai Santa Fe tidak didedahkan, namun berdasarkan gambar yang dibekalkan, besar kemungkinan ia bakal ditawarkan dengan pilihan enjin 2.5 liter turbo Smartstream G2.5T-GDi yang mampu  menghasilkan 277 hp dan 422 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.

Butiran lanjut hanya bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Santa Fe yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos nanti.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kedua-dua model tersebut bakal dipamerkan buat kali pertama di acara paultan.org Premium Auto Car…
Berita Global
Hyundai Santa Fe 2024 dijangka akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada separuh pertama…