Enjin itu menghasilkan 280 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 355Nm pada 4,700 rpm.
Walaupun besar, enjin Ridgeline mempunyai teknologi Pengurusan Enjin Boleh Ubah yang mematikan silinder dan Sistem Bantuan Eko untuk penjimatan bahan api.
Beberapa tahun di pasaran kini tiba giliran Ridgeline dipertingkatkan dan Honda turut memperkenalkan Ridgeline TrailSport dengan ciri-ciri lebih lasak.
Varian ini dilengkapi suspensi talaan off-road, tayar semua permukaan (A/T) dan perlindungan bawah badan besi bagi melindungi takungan minyak dari batu tajam.
Suspensi Ridgeline TrailSport menggunakan kadar pegas gegelung khas, penalaan pada injap penyerap hentak dan bar penstabil.
Perkakasan itu untuk meningkatkan keupayaan dan mutu pemanduan di laluan off-road tanpa mengorbankan keselesaan di jalan raya dan pengendalian.
Turut membantu di laluan lasak ialah tayar General Grabber™ A/T Sport saiz 245/60R18.
Set tayar itu meningkatkan cengkaman di laluan bertanah, berpasir, berselut, berbatu dan salji dan kekal senyap dan selesa di jalan raya.
Sistem pacuan semua roda kawalan kuasa (torque-vectoring) i-VTM4™ meningkatkan lagi keupayaan pemanduan lasak.
Sistem asas pada kesemua varian Ridgeline tersebut menghantar sehingga 70 peratus daya kilas enjin kepada roda belakang secara automatik.
Pada masa yang sama sistem membahagikan daya kilas tersebut di antara roda belakang mengikut keadaan pada setiap roda.
Untuk kawalan tambahan, sistem Kawalan Cengkaman Pintar membolehkan pemandu menyesuaikan sistem i-VTM4™ mengikut kesesuaian seperti pasir, salji, selut dan jalan biasa.
Dari segi rekaan, Ridgeline TrailSport berbeza pada corak jeriji, tiang pintu, cermin sisi dan palang di atas jeriji warna hitam.
Bahagian bawah tengah bampar dibuat dalam warna Pewter Gray dan sepadan dengan rim lima bilah baharu.
Identiti TrailSport turut diserlahkan dengan logo warna jingga dan warna badan khas Diffused Sky Blue yang sebelum ini diperkenal pada Pilot TrailSport 2024.
Bahagian dalam dihiasi lampu suasana jingga dan sulaman pada stereng, kerusi dan panel pintu juga dalam warna sama.
Logo TrailSport terpampang pada kerusi dan alas kaki getah semua musim.
Dari segi keselamatan, kesemua Ridgeline dilengkapi teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing seperti Kawalan Suai Pandu (ACC) dan sebagainya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin