Honda Insight baharu ini ibarat Accord + Civic baharu. Syukurlah sudah tidak pelik!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Malaysia adalah syarikat yang tangkas mengambil peluang untuk memperkenalkan barisan produk hibrid di pasaran tempatan. Polisi kerajaan untuk kenderaan mesra alam juga banyak membantu pengenalan model-model hibrid Honda.

Sejumlah model hibrid telah diperkenalkan di pasaran tempatan sejak 2007. Pengguna tempatan juga menyambut baik teknologi ini selain daripada penjenamaan Honda yang kukuh di sini. Maka tidak hairanlah untuk bertemu pelbagai model hibrid Honda di atas jalan raya. 

Dari Civic, Jazz, hingga kepada CR-Z. Satu yang menarik apabila Malaysia adalah satu-satunya negara yang ditawarkan dengan Jazz dan City Hybrid selepas Jepun. Mungkin Honda HR-V Hybrid pula selepas ini #eh.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda Insight Prototype

 

Di antara model terawal hibrid Honda yang ditawarkan dan masih banyak di atas jalan raya ialah Insight. Keunikan Insight terletak pada reka bentuknya yang tersendiri dan tidak meminjam mana-mana model petrol seperti Civic dan Jazz.

Setelah lama tiada pengganti dan mungkin terhenti setakat model itu sahaja, ingatkan Honda sudah melupakan model ini. Rupa-rupanya dalam diam Honda sedang menyiapkan model pengganti dengan unit prototaip sudah pun siap untuk dipertontonkan kepada orang awam.

Honda Insight Prototype bakal membuat penampilan perdana di 2018 North American International Auto Show pada 15 Januari 2018 di Detroit, Amerika Syarikat.

 

Honda Insight Prototype

 

Dari gambar yang diberikan, nampaknya Insight sudah tidak mempunyai reka bentuk tersendiri seperti model sebelum ini. Ia nampak seperti kereta normal dan tidak kurang juga adunan gaya di antara Honda Accord dan Civic baharu. 

Paling ketara ialah pengaruh kuat Accord pada bahagian depan dan belakang model prototaip ini dengan profail sisi seakan Civic baharu.

Satu perkara menarik ialah, Honda memaklumkan bahawa Insight bakal diposisikan di atas Civic dan ini bermakna ia lebih premium daripada model itu. Sistem kuasa Insight juga canggih melalui penggunaan generasi baharu sistem hibrid dua motor Honda.

 

Honda Insight Prototype

 

Honda Insight generasi pertama diperkenalkan di AS pada tahun 1999 dan secara rasminya adalah kenderaan hibrid pertama negara itu. Bentuknya tersangatlah unik disebabkan ekploitasi aerodinamik dan menggunakan struktur aluminium yang ringan.

Insight generasi pertama dengan dua pintu ini adalah kenderaan Honda pertama yang menggunakan sistem hibrid Integrated Motor Assist (IMA). Insight generasi kedua diperkenalkan pada tahun 2009 dan menjadi kereta hibrid paling mampu milik di AS.

Insight generasi kedua ini turut diperkenalkan di pasaran tempatan dan reka bentuknya kali ini lebih mesra visual selain daripada mempunyai lima pintu dan boleh diibaratkan sebagai kereta hibrid keluarga. 

Honda Insight Prototype

 

Insight generasi ketiga ini mengambil pendekatan reka bentuk yang langsung berbeza daripada dua model sebelum ini. Syukurlah kereta mesra alam sudah kembali kepada bentuk asas sebuah kereta tanpa elemen pelik-pelik.

Kali ini Honda mempakejkan Insight dengan ciri-ciri premium selain daripada teknologi terkini sistem dua motor hibrid yang memberikan penjimatan bahan api setara model kompak hibrid lain.

Honda cekap berkerja dan mereka melakukannya dalam diam. Sebelum ini mereka mendedahkan 'Civic telur' dengan kuasa elektrik tanpa bising-bising dan kali ini bakal mempamerkan Insight baharu pula.

Honda Insight Prototype

 

Apa yang bagus ialah, pelanggan tidak perlu menunggu makan tahun untuk memiliki model ini kerana Honda merancang untuk memperkenalkannya pada tahun depan di AS.

Berdasarkan kecenderungan Honda menawarkan model hibrid di pasaran tempatan, mungkin juga Insight baharu ini akan ditawarkan di sini. Apa pun masih terlalu awal untuk menjangkakannya, selain itu terasa banyak pula model Honda ditawarkan di sini jika dinisbahkan dengan jumlah keseluruhan pasaran automotif tempatan.

Sekali lagi, syukurlah kenderaan hibrid sudah tidak pelik seperti dahulu!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti kei-car lain, N-VAN digerakkan enjin 660 cc bagi varian G, L, FUN, FUN STYLE+ NATURE …
Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…